Bila dah kahwin dengan pasangan impian, macam-macam kita pasang angan-angan kan? Nak beli baju tu, nak beli jam ni. Yalah, mesti dua-dua mahukan pasangan bahagia kan? Tapi, mama pernah terfikir tak macam mana nak rancang kewangan bila dah berkeluarga ni? Especially kalau dah ada anak.
Buat pengetahuan mama, bijak merancang dan uruskan kewangan adalah unsur penting dalam membentuk keluarga sejahtera dan stabil. Memang wang bukan segala-galanya tapi kalau nak hidup, wang ni kena ada tau! Perancangan dan pengurusan kewangan keluarga membabitkan perbelanjaan, perlindungan daripada risiko, simpanan dan pelaburan.
Kadang-kadang, sedar tak sedar sebenarnya mama sedang hadapi masalah kewangan. Antara petunjuk keluarga hadapi masalah kewangan adalah :
- Hutang keliling pinggang
- Bil tertunggak
- Ambil pinjaman baru untuk bayar hutang lama
- Bergantung kepada pendapatan tambahan
- Guna kad kredit untuk penuhi keperluan hidup
- Guna simpanan untuk keperluan harian
Pernah alami tak situasi macam ni? Semua yang tersenarai dalam list ni bukan bermaksud keluarga mama berpendapatan rendah tapi ia menunjukkan yang kewangan keluarga sebenarnya tak diuruskan dengan cekap!
Kalau tak tahu macam mana nak uruskan duit yang banyak dalam bank tu, tak apa. Mama Siti akan kongsikan macam mana nak rancang kewangan keluarga dengan bijak supaya tak ada la time akhir bulan saja dah kena ikat perut, makan nasi bujang saja. Tak syokla macam tu kan?
Tips Rancang Kewangan Dengan Bijak
1. Catat Perbelanjaan Setiap Hari
Mama dan papa boleh cuba buat dalam jangka masa sebulan dulu. Berpandukan rekod ni, keluarga boleh rancang perbelanjaan dengan lebih realistik. Kalau terlebih belanja, usaha untuk berjimat cermat. Jangan ikutkan nafsu sangat. Ada sesetengah tu pakai konsep, alang-alang dah terlebih belanja, belanja sajalah semua duit ni.
Tak boleh macam tu ye. Salah konsep tu. Mama kena ingat, berjimat cermat adalah langkah pertama ke arah mengumpul kekayaan!
2. Buat Tabung Pecahan Keperluan
Bila dah tahu jumlah pendapatan masing-masing, kena pandai agihkan perbelanjaan bulanan ikut keutamaan. Inagt, utamakan keperluan yang penting seperti barang dapur, belanja makan, belanja utiliti, ansuran kereta, rumah dan sebagainya.
Mama jangan lupa dengan tabung kecemasan! Malang itu tak berbau. Bila-bila masa saja, mama mungkin terdesak untuk gunakan sejumlah duit. Jadi dengan adanya tabung kecemasan, mama boleh bersiap sedia untuk hadapi segala kemungkinan yang mendatang.
Berapa yang perlu disimpan dalam tabung kecemasan ni? Sebaiknya, mama dan papa perlu ada wang sebanyak 6 bulan gaji.
3. Menyimpan & Melabur
Bila dapat gaji saja, simpan sebahagian daripada wang tu. Paling minimum adalah 10% dari gaji. Kalau dapat simpan 50% gaji, lebih bagus dan sangat digalakkan.
Biasanya kita mesti berbelanja dulu, lebihan tu baru dijadikan simpanan. Tapi mama mesti konsisten dalam menyimpan wang. Kalau bulan ni simpan RM200, bulan depan jangan pula terkurang jumlahnya. Tak capai matlamat menyimpan tu namanya.
Bila dah simpan banyak wang, mama boleh start melabur di instrumen pelaburan yang dijamin selamat. Antaranya ialah Unit Amanah Islamik, hartanah, pelaburan emas, ASB Financing, AHB dan sebagainya.
4. Kad Kredit Satu Cukup!
Seronok saja bila tengok ada sesetengah orang mempunyai sampai 3-4 kad kredit. Nak beli apa-apa swipe kad tu, swipe kad ni. Seronok memang seronok tapi semua ni HUTANG! Bila kita cakap pasal hutang ni, tak ada yang seronok.
Pakai satu kad kredit saja untuk beli barang dapur, isi minyak dan sebagainya. Sebab tanpa pengurusan kewangan yang bijak, mama akan automatik overspend!
5. Bincang Dengan Pasangan
Ini paling penting. Sebab dengan berbincang inilah mama dan papa dapat pastikan sama ada dua-dua ikut pelan perancangan ke tak dan juga pastikan bahawa perbelanjaan rumah tak berat sebelah. Berbincang n bukan saja dapat tolong mama tetapkan kedudukan kewangan keluarga, tapi dapat eratkan hubungan suami isteri sebagai satu pasukan .
Komunikasi yang terjalin dalam mesyuarat dapat bina kepercayaan suami isteri dan tolong masing-masing agar berhenti risau tentang wang .
Apa-apa pun, mama memang kena utamakan keperluan dulu barulah kehendak.
Kita pun tak tahu apa yang bakal terjadi di masa depan kan? Jadi, mulakan rancangan kewangan dengan baik. Kalau suami isteri baru nak belajar tentang pengurusan kewangan, tak apa. At least belajar, ia lebih baik daripada leka kan? Bila suami isteri bijak kewangan dan pelaburan, bolehlah rancang masa depan dengan lebih teratur.
Sumber: pesonapengantin
BACA JUGA KOS PENDIDIKAN ANAK ANDA SEMAKIN MAHAL. MENABUNGLAH SEKARANG MAMA!
Pesanan Mama Siti:
Jangan pentingkan gaya hidup mewah kalau tak berkemampuan. Ia akan beri kesan negatif pada mama dan juga pasangan untuk jangka panjang. Bak kata pepatah, “ukurlah baju di badan sendiri” ketika berbelanja. Bila dapat urus kewangan dengan bijak, mama bukan saja stabilkan ekonomi keluarga malah jaga keharmonian suami isteri!