Sambut ulang tahun hari lahir anak? Bunyinya memang menyeronokkan kerana ia suatu majlis yang menggembirakan semua orang. Baik orang yang menyambutnya, tetamu dan si empunya hari jadi. Kanak-kanak memang seronok menyambut ulang tahun hari lahir dan selalunya ia menjadi kenangan terindah dalam memori mereka. Seorang ibu muda mengadu, anaknya ramai jadi dia tidak menang tangan hendak menyambut ulang tahun hari lahir setiap seorang. Hendak menggunakan perkhidmatan katering mahal pula. Sebenarnya ulang tahun hari lahir anak boleh disambut secara sederhana di samping kemeriahannya tetap terasa. Apa yang penting perancangan awal dan menabung bagi tujuan itu.
- Kaedah merancang awal sangat disarankan. Rancang majlis ulang tahun hari lahir anak sekurang-kurangnya perlukan dua bulan lebih awal. Dari situ kita sudah tetapkan tarikh, masa dan bilangan tetamu.
- Begitu juga lokasi majlis yang sesuai dengan bilangan tetamu. Tema parti dan dekorasi juga penting dan jadi lebih menyeronokkan sekiranya empunya diri diajak berbincang kerana dari situ kita dapat tahu apa yang kanak-kanak mahu. Perancangan awal termasuk memilih kek dan menu. Tanya anak bagaimana kek yang mereka mahu dan dari situ kita boleh sama-sama membuat bajet. Tentu saja kata putus daripada ibu bapa yang mengeluarkan wang.
- Menu makanan pula bergantung kepada siapa tetamu kita. Jika menjemput ibu bapa sekali, mungkin kena sediakan makanan untuk orang dewasa. Cuma, makanan untuk majlis itu biarlah yang ringkas dan sederhana saja.
- Lagi menyeronokkan anak kita sekiranya kad jemputan pun dibuat. Kad jemputan elok dihantar sebulan sebelum majlis. Ini memudahkan tetamu merancang aktiviti mereka. Seeloknya kad jemputan dibuat sendiri, yang ringkas-ringkas saja, tetapi comel.
Merancang sambutan hari istimewa anak anda sememangnya perlukan ketelitian walaupun hanya kecil-kecilan. Ini himpunkan inspirasi tema untuk parti hari jadi anak anda nanti.
Tema superhero
Setiap kanak-kanak pasti ada satu watak superhero yang menjadi idola mereka. Contohnya The Avengers, Spiderman, Superman, Robocop dan lain-lain lagi. Jadi pilih salah satu darinya dan jadikan tema hari jadi buat mereka.
Tema Watak Kartun Kegemaran
Watak kartun seperti Upin Ipin, Mickey Mouse, Spongebob, dan lain-lain lagi mungkin menjadi kegemaran anak-anak anda. Pilih salah satu daripadanya yang pasti boleh buat anak anda melonjak kegembiraan.
Tema Sukan
Buat anak lelaki yang gemarkan sukan seperti bola sepak, badminton, rugby dan lain-lain lagi bolehlah anda cuba tema ini.
Tema Safari
Anak-anak yang sayangkan haiwan bolehlah anda cuba dengan tema ini. Mungkin lebihkan kepada tema hiasan saja sudah memadai.
Tema Pelangi
Seleksi warna pelangi menjadi tema hari jadi menceriakan lagi suasana parti anak anda.