Mama perasan tak masa tengah mengandung rambut mama gugur? Macam tu jugak bila selepas bersalin rambut tetap gugur kan? Hmm betul ke bila anak dah mula main air liur rambut akan bertambah gugur lagi? Alahai risau betul bila rambut dah makin menipis ni. Bukan sikit-sikit gugurnya, banyak pula tu! Yelah rambutkan mahkota wanita. Bila rambut asyik gugur je penuh kat lantai siapa yang tak stress kan?
Semoga perkongsian dari Bel Nawhen ini sedikit sebanyak dapat menjawab persoalan mama tentang rambut.
SOAL JAWAB TENTANG RAMBUT SEWAKTU HAMIL DAN SELEPAS BERSALIN
Pada waktu kehamilan ataupun melahirkan akan ada muncul beberapa pertanyaan berkaitan rambut.
Seperti kita tahu, rambut merupakan mahkota kecantikan bagi seorang wanita. Makanya, jika terdapat sedikit masalah berkaitan rambut, adatlah kan kalau kita mencari jalan penyelesaiannya.
Soalan 1
Boleh tak saya mengubah gaya rambut atau mewarnakannya semasa hamil?
Jawapan : Seeloknya elakkan dari melakukan perkara demikian kerana dikhuatiri bahan kimia dari pewarna atau ubatan pengubah gaya rambut itu allkan meresap ke dalam pori-pori dan kulit kepala ibu-ibu hamil.
Soalan 2
Benarkah selama kita hamil, ibu hamil tidak boleh potong rambut kerana bimbang bayi akan cacat?
Jawapan : Tidak ada kaitan antara potong rambut dengan bayi yang dikandung. Ia adalah mitos. Ibu hamil boleh sahaja kalau mahu potong rambut. Baru nampak segar dan kemas kan.
Soalan 3
Boleh atau tidak ibu-ibu bari melahirkan dari mencuci rambut. Benarkah ada larangan dari melakukan perkara demikian selama 40 hari?
Jawapan : Ia tidak benar. Sebenarnya, seeloknya ibu yang dalam berpantang terus menjaga kesihatan rambut. Sebenarnya larangan itu adalah bagi ibu-ibu yang mengalami komplikasi selepas melahirkan contohnya mudah pitam kerana dikhuatiri akan jatuh pengsan di dalam tandas. Cuba bayangkan kalau tak dibasuh selama 40 hari? Bau peluh yang terperangkap tu silap-silap akan buat kita pengsan.
Soalan 4
Boleh tak kita mandi selepas bersalin. Tak masuk angin ke dalam badan?Bila waktu yang sesuai untuk mandi?
Jawapan : Selepas melahirkan, kebiasannya badan kita akan cepat melekit dan berbau. Yelah, dah kita guna tenaga kan semasa meneran dan mengeluarkan baby. Memang berpeluhlah semasa meneran tu.
Dengan mandi, badan kita akan berasa segar. Logiknya, badan yang melekit tu akan merimaskan kita kan. Jika tak dibersihkan sisa-sisa peluh atau ketuban bimbang pula kuman mudah menjangkiti kita. Mandi sahaja dengan air suam.
Jika ada larangan bahawa jangan mandi kerap-kerap semasa berpantang, ikutkan sahaja, tetapi sekurang-kurang mandilah sekali sehari dan basuhlah rambut selang 2/3 hari sekali. Saya sendiri mandi dan membasuh rambut saya kerana mahukan keselesaan dan kesegaran. Kemudian, keringkan rambut dengan sempurna.
Soalan 5
Benarkah air liur yang disembur oleh bayi akan menyebabkan rambut banyak gugur selepas bersalin?
Jawapan : Rambut gugur selepas bersalin adalah normal. Ini disebabkan oleh penurunan hormon estrogen (yang mana semasa hamil ia telah meningkat dan menyebabkan rambut akan tumbuh dengan banyak). Jadi air liur bayi bukan penyebab kepada keguguran rambut.
Mitos mengatakan bahawa dengan mandi/membasuh rambut selepas melahirkan akan menjemput angin meroyan adalah salah.
Meroyan bukanlah disebabkan oleh angin yang datang dan duduk di dalam badan. Tetapi lebih kepada masalah perubahan hormon; masalah peribadi seperti kurang pengalaman dalam menangani bayi bagi ibu yang kali pertama melahirkan selain kurang sokongan emosi dari suami dan keluarga dalam menjaga bayi.
Rujuk:
www.ukm.my/geografia
www.mjphm.org.my/mjphm/journals
Jangan jadi pengotor dengan membiarkan rambut tidak dicuci sepanjang tempoh berpantang. Kebersihan itu sendiri suruhan agama.
Tips untuk kurangkan masalah keguguran rambut selepas bersalin
- Kurangkan penggunaan syampu – ini kerana semasa rambut mama tengah gugur supaya rambut tak terdedah lagi dengan bahan-bahan yang ada dalam syampu tu. Seeloknya guna pelembab rambut atau guna bahan-bahan yang organik.
- Jenis sikat yang mama guna – mama disarankan guna sikat yang bergigi jarang sebab sikat jenis ni dapat bantu kurangkan keadaan dimana bila rambut disikat terlalu rapat boleh jejaskan kesihatan kulit kepala.
- Gaya rambut yang sesuai – elakkan gaya rambut yang beri tekanan kepada kulit kepala dan buatkan rambut mama bertambah gugur. Jangan ikat rambut terlalu lama ye!
- Minum air kosong – Ni juga salah satu puncanya kalau mama kurang minum air kosong. Bila badan kurang air, kesuburan rambut pun terjejaslah.
- Tidur cukup – Tidur yang cukup dapat elakkan mama dari stress dan rambut pun kuranglah gugur.
- ‘Healthy food’ – Dah main bedal je macam-macam mana tak gugur rambut tu. Makanan pun main peranan penting tau. Terutamanya kopi dan makanan berminyak juga jangan ambil selalu.
Sumber : Bel Nawhen
Baca lagi untuk tahu KENAPA RAMBUT GUGUR DENGAN TERUK SELEPAS MELAHIRKAN ANAK?
Pesan Mama Siti
Mama Siti harap dengan perkongsian ini dapat menjawab segala persoalan mama yang berkaitan dengan rambut sebelum dan selepas bersalin. Tak dinafikan banyak sangat ‘fatwa’ pasal rambut ni sampai buatkan kita jadi confuse mana yang betul mana yang salah. Semoga tips yang Mama Siti share kan ni dapat bantu mama kurangkan masalah rambut gugur ni. Ingat, bila kita amalkan pemakanan yang sihat, badan kita pun akan sihat. Jadi kesuburan rambut kita pun akan bertambahlah. Tak gitu?