Kebanyakan wanita tidak tahu bahawa mereka mempunyai fibroid kerana tidak mengalami simptom penyakit hinggalah membuat pemeriksaan klinikal dan doktor mengesahkan di dalam rahim mereka ada ketulan terbabit. Fibroid ini boleh berlaku terhadap wanita pada semua peringkat usia yang sudah mencapai akil baligh, tetapi paling kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia 30 hingga 50 tahun. Dianggarkan 20 hingga 40 peratus insiden fibroid dalam rahim berlaku dalam kalangan wanita dalam tempoh reproduktif (tahun kesuburan).
Fibroid dalam rahim juga dikenali sebagai leiomyoma atau myoma adalah ketumbuhan benigna (bukan kanser) yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita. Saiz dan bentuk ketulan fibroid ini juga tidak sama dan boleh berlaku di pelbagai tempat seperti dalam rahim, luar rahim atau antara lapisan rahim atau melekat pada rahim seperti struktur akar. Malah, fibroid ini boleh tumbuh satu ketulan sahaja atau lebih banyak ketulan pelbagai saiz. Satu ketulan fibroid yang kecil ini juga boleh kekal sedemikian sehingga tempoh yang lama, namun ia boleh membesar dengan pantas secara tiba-tiba atau membesar perlahan-lahan dalam tempoh bertahun-tahun.
SIMPTOM FIBROID DALAM RAHIM
- Pendarahan haid yang teruk dan berpanjangan
- Senggugut
- Pendarahan faraj pada masa yang lain daripada haid
- Anemia
- Kesakitan selepas hubungan seks (dyspareunia)
- Tekanan pelvik
- Lemah kawalan kencing
- Pembesaran uterus dan abdomen
- Keguguran
- Ketidaksuburan
RAWATAN FIBROID
- Pembedahan yang biasa ditawarkan untuk merawat fibroid dalam rahim itu adalah miomektomi iaitu prosedur untuk membuang fibroid tanpa membuang rahim (uterus). Ia biasanya dilakukan kepada wanita yang masih mahu mendapatkan anak. Walaupun ketulan lama sudah dibuang, pesakit masih berisiko mendapat ketulan baru dan lebih banyak pembedahan terpaksa dilakukan.
- Histerektomi pula pembedahan membuang rahim dan biasanya serviks turut dibuang. Ia hanya akan dipertimbangkan selepas semua rawatan alternatif tidak berjaya atau ketulan terlalu besar. Malah, pesakit yang menjalani pembedahan ini tidak boleh mengandung.
- Pengurusan pesakit dengan fibroid dalam rahim sangat bergantung kepada keadaan semasa pesakit. Ini kerana, fibroid yang tidak menunjukkan simptom, bersaiz kecil dan berlaku dalam kalangan wanita hampir putus haid (menopaus) biasanya tidak memerlukan rawatan. Bagaimanapun, pesakit yang sengsara akibat simptom ketulan dalam rahim itu memerlukan rawatan sama ada pengambilan ubatan atau menjalani pembedahan atau kedua-duanya sekali.
- Biasanya pembedahan dianggap sebagai pilihan paling biasa untuk merawat fibroid dalam rahim dengan tahap simptom yang sederhana hingga teruk. Bagaimanapun, seperti mana-mana juga jenis pembedahan wujud risiko untuk berlaku komplikasi. Sebab itu, prosedur seperti histerektomi sering dikaitkan dengan morbiditi, kematian dan beban ekonomi ke atas sistem penjagaan kesihatan.
- Bagi sesetengah wanita, mereka rasa terhalang daripada menjalankan prosedur ini kerana ia bermakna peluang mereka untuk mengandung sudah tertutup. Bagi wanita yang mencari alternatif, miomektomi memberikan kelegaan sementara daripada fibroid dalam rahim yang dihadapi. Bagaimanapun, wujud risiko fibroid ini akan berulang di masa hadapan.
Sumber: Harian Metro