Selain rukun, berpuasa adalah amalan yang bermanfaat bukan hanya kepada golongan dewasa tetapi juga kepada kanak-kanak, sama ada dari segi psikologi atau kesihatan. Seiring dengan kedatangan bulan Ramadan, ramai ibu bapa mula berkongsi persoalan yang sama: adakah sesuai untuk anak kecil saya berpuasa?
Persoalan ini melibatkan pelbagai pendapat. Ada sebahagian ibubapa menggalakkan prinsip melatih anak-anak berpuasa sejak kecil.
Tambahan pula, sesetengah kanak-kanak turut mempunyai keinginan untuk berpuasa setelah melihat ibu bapa atau rakan-rakan mereka berpuasa. Namun, ada juga yang berasa ragu—ragu.
Berapakah umur yang sesuai untuk anak-anak kecil berpuasa?
Dari segi perubatan, tiada had umur yang ditetapkan untuk kanak-kanak mula berpuasa. Ada pakar perubatan yang mencadangkan usia tujuh tahun sebagai usia yang sesuai untuk mula berpuasa, tetapi kanak-kanak boleh mula dilatih
untuk berpuasa pada usia enam tahun.
Bagi kanak-kanak yang ingin cuba berpuasa, penting bagi ibu bapa untuk melatih mereka secara berperingkat. Ini akan membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan proses berpuasa dan mengelakkan sebarang masalah kesihatan atau ketidakselesaan di kalangan mereka.
Perlu diambil perhatian juga bahawa proses ini adalah berbeza bagi setiap kanak-kanak dan mungkin mengambil masa mengikut kemampuan masing-masing.
Manfaat berpuasa bagi anak-anak kecil
- Menstabilkan tahap BMI (Body Mass Index) khususnya pada kanak-kanak yang obes.
- Membantu menyelaraskan metabolisme badan kanak-kanak, meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrien dalam tubuh.
- Mengawal tahap glukosa darah dalam badan kanak-kanak, yang dapat mencegah risiko diabetes pada masa hadapan.
- Membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah berat badan berlebihan untuk menguruskan berat badan mereka.
- Melatih kanak-kanak mengembangkan disiplin diri, kesabaran, dan kawalan diri.
Persediaan sebelum membenarkan anak-anak kecil berpuasa
Dalam memahami konsep pertumbuhan kanak-kanak, sumber nutrisi daripada makanan berkhasiat adalah sangat penting dalam membantu tumbesaran mereka.
Maka, ibu bapa haruslah memberi kelonggaran jika anak-anak ingin berbuka puasa lebih awal memandangkan kanak-kanak di usia enam hingga tujuh tahun ini masih belum diwajibkan untuk menjalani ibadah puasa.
Ibu bapa juga harus memastikan anak-anak mengambil nutrisi yang seimbang ketika waktu sahur dan berbuka puasa.
Selain itu, faktor kesihatan anak-anak adalah sangat penting. Ibu bapa perlu mengenal pasti tahap kesihatan anak-anak mereka untuk menentukan sama ada mereka sesuai untuk berpuasa atau tidak.
Pengenalan terhadap sebarang penyakit kronik, sensitiviti makanan, atau keadaan kesihatan lain yang mungkin mempengaruhi kemampuan anak untuk berpuasa sepanjang hari perlu diberi perhatian khusus.
Faktor-faktor seperti kekurangan zat pemakanan, masalah penyerapan makanan, atau keadaan kesihatan yang memerlukan pengambilan ubat secara berkala juga perlu diambil kira.
Dengan memahami kesihatan anak-anak secara holistik, ibu bapa dapat membuat keputusan yang bijak berkaitan dengan penyertaan anak-anak dalam ibadah berpuasa.
Bahaya memaksa anak berpuasa
Dalam menggalakkan anak-anak berpuasa, ibu bapa harus mengelakkan daripada menyuruh anak-anak berpuasa melebihi kemampuan mereka.
Tambahan lagi, faktor cuaca panas di Malaysia boleh menyebabkan mereka lebih cepat berasa lapar, letih dan dahaga. Jika tidak dipantau dengan baik, anak-anak berkemungkinan mengalami dehidrasi yang akan menjejaskan
kesihatan dan aktiviti harian mereka.
Selain itu, beberapa petanda penting yang perlu diperhatikan termasuklah menggigil, keadaan badan yang lemah, keletihan, peluh berlebihan, denyutan jantung yang cepat, dan pengsan.
Tanda-tanda ini menunjukkan kekurangan gula dalam darah. Ibu bapa juga perlu memperhatikan tanda-tanda seperti dahaga atau bibir kering pada anak-anak, yang menandakan keperluan untuk berbuka puasa.
Walaupun tanda-tanda ini mungkin muncul ketika hampir waktu berbuka, penting untuk anak-anak berbuka segera bagi mengelakkan risiko kesihatan yang lebih serius.
Oleh itu, sangat penting bagi ibu bapa untuk memahami batasan dan kemampuan anak sebelum memutuskan untuk membenarkan mereka terus berpuasa.
Jaga nutrisi anak anda ketika berpuasa
Antara langkah-langkah untuk memastikan kanak-kanak mendapat nutrisi yang mencukupi semasa berpuasa adalah dengan menyediakan sajian sahur dan berbuka mengikut konsep pemakanan yang sihat dengan memenuhi pengambilan nutrien yang disyorkan, iaitu suku karbohidrat, suku protein, dan separuh sayuran dan buah-buahan.
Pastikan juga anak-anak mengambil sahur pada hujung waktu sahur supaya mereka tidak berasa cepat lapar.
Elakkan anak-anak berbuka dengan makanan yang terlalu banyak, makan secara gelojoh, dan mengambil minuman bikarbonat. Sebaiknya, bimbing mereka untuk berbuka dengan mengambil kurma terlebih dahulu.
Kurma dapat membekalkan tenaga dengan cepat kerana ia mengandungi gula ringkas seperti glukosa, fruktosa, mannosa, rhamnosa, dan sukrosa.
Tubuh dapat menyerap tenaga daripada kurma dengan lebih pantas, dalam masa 30 hingga 45 minit, berbanding nasi yang memerlukan sekitar empat jam untuk dicerna.
Panduan khusus untuk melatih anak-anak berpuasa
#1 Membuat pilihan pemakanan yang sihat
Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat makanan yang seimbang serta berkhasiat sepanjang bulan berpuasa. Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan garam dan gula yang tinggi kerana makanan seperti ini boleh menyebabkan mereka cepat dahaga dan lapar sepanjang berpuasa.
#2 Memberi penghargaan
Dorong anak-anak dengan kata-kata semangat dan sokongan positif. Beri penghargaan kepada mereka atas usaha mereka, walaupun mereka masih belum mampu untuk berpuasa penuh.
#3 Mulakan dengan langkah kecil
Latih anak-anak untuk berpuasa secara berperingkat. Mula dengan membenarkan mereka untuk berpuasa hanya beberapa jam pada awalnya, dan secara beransur-ansur, tingkatkan tempoh puasa seiring dengan usia dan kemampuan mereka.
#4 Penyesuaian jadual aktiviti harian
Sesuaikan jadual aktiviti harian anak-anak dengan masa berbuka dan sahur. Pastikan mereka mempunyai waktu yang mencukupi untuk berehat dan kurangkan aktiviti-aktiviti berat supaya mereka tidak terlalu penat.
Tambah ilmu pengetahuan yang sahih dengan perkongsian pakar yang lain di SINI.