Rempah-ratus dan herba bukan sahaja digunakan dalam masakan, tetapi ia berguna untuk tujuan rawatan kecantikan dan ‘merawat’ masalah seksual. Khasiatnya yang tinggi membuat segelintir pengguna lebih gemar menjaga kesihatan menggunakan kaedah tradisional berbanding cara moden. Evolusi penggunaan rempah-ratus dan herba telah melalui proses metamorfosis daripada satu fasa ke fasa yang lain, daripada satu zaman ke zaman yang lain, dan daripada satu generasi ke generasi yang lain.
Bahan Tradisional untuk Merawat Ibu Berpantang
+1 MANJAKANI
CUBA INI: Kandungan tannin yang tinggi menyebabkan manjakani digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional terutama untuk wanita selepas bersalin bagi mengetatkan rahim dan otot vagina. Risau kulit kendur?
Manjakani juga boleh menyelesaikan masalah, caranya rebus beberapa biji manjakani sehingga lembut. Kemudian picit manjakani sehingga mengeluarkan lendir ataupun getah, lumurkan getah itu di seluruh muka dan anggota badan. Biarkan kering kemudian dibilas. Elok diamalkan setiap hari sama ada pada sebelah pagi atau petang iaitu sebelum mandi.
+2 KUNYIT
CUBA INI: Di India, kunyit dijadikan penawar untuk menyembuhkanluka, batuk dan selesema. Kunyit juga membantu menghaluskan kulit, mengurangkan keputihan dan mencegah panas dalam badan.
Jika anda mahu menghaluskan kulit, campurkan kunyit yang ditumbuk halus bersama air suam, kacau sehingga sebati dan lulur pada anggota badan. Ia dijadikan skrub untuk haluskan kulit.
+3 PANDAN
CUBA INI: Pandan sering digunakan dalam masakan bagi mencipta aroma harum pada setiap hidangan. Selain itu, ia juga digunakan untuk tujuan kecantikan. Bagi yang ingin menghitamkan rambut, hiris halus daun pandan muda, rebus sehingga air berwarna hijau, lalu diembunkan semalaman.
Pada keesokan hari, campurkan air rebusan daun pandan tadi bersama perahan biji buah mengkudu. Sapu air tersebut pada rambut dan ramas perlahan-lahan selama 10 – 15 minit, kemudian bilas. Lakukan tiga atau empat kali seminggu.
+4 BERLUNTAS + KUNYIT + TEMU GIRING
CUBA INI: Campuran tiga jenis herba ini boleh merawat masalah bau badan. Ambil satu gengam daun berluntas, kunyit dan temu giring sebesar ibu jari. Bersihkan kunyit dan temu giring, kemudian dicuci. Kesemua bahan ditumbuk halus dan diperah serta ditapis untuk mendapatkan airnya. Ramuan herba ini hendaklah diminum sebanyak dua kali sehari dengan sukatan empat camca besar sekali minum.
+5 SERAI
CUBA INI: Serai adalah salah satu bahan yang bertindak mencairkan lemak pada badan. Caranya; rebus tiga batang serai bersama dua cawan air di dalam periuk sehingga mendidih. Minum air rebusan serai ketika ia masih hangat kerana hasilnya dalam menyingkirkan lemak pada badan lebih efektif. Amalkannya seminggu sekali untuk merawat masalah lemak di badan anda.
+6 KAYU MANIS + MADU
CUBA INI: Menurut kajian perubatan yang dijalankan di Kanada, campuran madu dan kayu manis mampu mencegah, merawat dan menghilangkan jerawat.
Caranya, campurkan tiga camca besar madu dan satu camca besar serbuk kayu manis. Kemudian sapukan campuran itu pada bahagian muka yang berjerawat, lakukan sebelum tidur. Keesokan pagi, bilas wajah anda dengan air suam, amalkan setiap hari selama dua minggu berturut-turut. Hasilnya ia akan menyingkirkan jerawat, sekali gus mencipta efek kulit halus.
+7 BUAH MENGKUDU
CUBA INI: Buah mengkudu atau buah Pace bukanlah sesuatu yang asing dalam kamus cantik cara tradisional. Buah mengkudu lazimnya digunakan untuk mencantikkan kulit. Ia boleh dijadikan sebagai masker muka.
Caranya; kupas buah mengkudu lalu hancurkan isinya, campur dengan setengah camca besar madu dan satu camca besar putih telur. Adunkan sehingga rata, sapukan pada muka dan tunggu hingga 30 minit sehingga masker mengering. Selepas itu, bilas dengan air suam dikuti air biasa. Lakukan satu hingga dia kali semingggu.
Ingat, ianya tidak sesuai untuk mereka yang berkulit kering.
+8 HALIA
CUBA INI: Halia dikhabarkan dapat mengembalikan semula bentuk badan langsing selepas bersalin. Caranya; ambil dua inci halia bara (halia cina), 10 biji lada hitam dan 30 ekor ikan bilis. Tumbuk kesemua bahan sehingga lumat dan perahkan air limau nipis. Selepas itu, makan bersama nasi panas waktu pagi dan malam. Lakukan setiap hari sewaktu berpantang untuk merawat badan yang lesu dan lenguh.
+9 DAUN TEH + LIMAU NIPIS
CUBA INI: Selain dijadikan minuman, daun teh juga boleh diaplikasikan dalam kamus cantik untuk menghaluskan kulit serta mencantikkan rambut. Caranya; cuci bersih daun teh, masukkan ke dalam gelas berisi air putih.
Tutup gelas dan biarkan semalaman. Keesokan harinya, campurkan air rendaman daun teh yang sudah ditapis dengan perahan limau nipis. Gunakan ramuan ini untuk membilas rambut setiap kali selepas bersyampu. Hasil rambut sihat bermaya pasti jadi milik anda.
Selamat mencuba!