Gangguan haid berlaku oleh kerana berbagai-bagai punca seperti tekanan jiwa dan emosi, keadaan hormon yang tidak seimbang, kehamilan, penyusuan bayi, kegunaan hormon, penyakit dalam kelenjar pituitary atau ovary atau ketumbuhan seperti barah dalam rahim atau pangkal rahim.
Jenis-Jenis Gangguan Haid
- Berbagai jenis gangguan pada pusingan haid.
- Berapa banyaknya darah haid yang keluar.
- Jangka waktu haid yang berpanjangan.
- Pendarahan di luar waktu haid, seperti selepas persetubuhan.
- Kesakitan sebelum, semasa atau selepas haid.
- Kelewatan datang haid.
- Putus haid.
Kenapakah Kelewatan Haid Berlaku Di Kalangan Wanita?
Biasanya seseorang gadis akan mengalami haid pada umur 12 tahun sehingga usia gadis itu 16 tahun. Di dalam jankamasa ini ia masih dianggap normal. Jika usianya 16 tahun dan masih belum datang haid, ia perlu mendapat perhatian daripada doktor. Kegagalan turun haid ini mungkin berpunca daripada fungsi ovari atau kilang pituitary yang tidak normal. Kelewatan akil baligh mungkin disebabkan oleh kecacatan pada faraj atau perkakas peranakan sejak lahir. Kadang-kala berlaku di mana selaput dara menutupi keseluruhan lubang faraj (imperforate hymen). Dalam kaedaan ini gadis tersebut mungkin mengalami sakit perut setiap bulan tetapi haid tidak keluar. Faktor lain yang boleh mempengaruhi keadaan ini ialah taraf kesihatan yang kurang baik dan masalah tekanan jiwa dan emosi yang teruk.
Apakah Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengatasi Masalah?
- Langkah pertama ialah mengenalpasti punca kelewatan haid. Tanda-tanda seperti pertumbuhan buah dada, dan rambut di kemaluan dan ketiak menunjukan tanda pengeluaran oestrogen.
- Pemeriksaan tubuh dan perkakas peranakan adalah penting untuk mengesan kecacatan semula jadi, ujian ultrasound pada perut untuk mengesan ada atau tidak rahim dan ovari. Ujian darah untuk menyukat paras hormon adalah penting untuk mengenal pasti punca masalah.
- Rawatan bergantung kepada punca masalah. Pembedahan kecil perlu dilakukan untuk membuka selaput dara jika ia tertutup. Jika faraj tidak wujud, pembedahan untuk membentuk ‘artificial vagina’ dilakukan. Rawatan hormon diberikan jika puncanya ialah kecacatan pada kilang pituitary atau ovary.
Haid Tidak Teratur!
Pusingan haid yang tidak teratur, ialah pusingan yang kurang daripada 25 hari atau lebih daripada 35 hari. Ini dianggap tidak teratur, ada setengah wanita haidnya datang dua atau tiga bulan sekali. Keadaan ini sering berlaku di kalangan anak anak gadis yang baru masuk ke alam remaja atau wanita yang hampir putus haid. Keadaan ini bukanlah satu penyakit tetapi hanya disebabkan oleh gangguan hormon. Wanita yang mengalami masalah ini adalah kurang subur kerana ia kurang mengeluarkan benih.
Punca Terjadinya Gangguan Haid.
- Kegemukkan (obesity) merupakan punca penting yang menyebabkan pusingan haid menjadi terlambat atau jaraknya yang berpanjangan , mungkin jarak 6 – 9 bulan atau lebih di antara satu sama lain. Keadaan ini sering dikaitkan dengan ketidaksuburan.
- Ada di kalangan mereka yang tumbuh rambut pada kaki atau misai. Apabila dilakukan vaginal ultrasound kedua ovari mereka didapati bengkak dan tidak menetas ke dalam rahim(Polycystic ovary).
- Bagi seseorang yang perjalanan haidnya tetap dan teratur, jika beliau mengalami gangguan pada pusingan haidnya bermakna sesuatu perkara sedang berlaku. Salah satu puncanya ialah kehamilan. Apabila kehamilan terjadi haid dengan tersendirinya akan berhenti.
- Wanita yang menyusukan anak juga mendapati perjalanan haidnya terganggu. Ketika penyusuan bayi, hormon susu (Prolactin)meningkat dalam aliran darah ibu. Hormon ini menghalang penetasan telur berlaku dan menghentikan kitaran haid.
- Peningkatan paras hormon susu (prolactin) juga boleh disebabkan oleh ketumbuhan dalam kelenjar pituitary menyebabkan haid tidak datang atau datang sekali-sekala sahaja. Wanita demikian juga sering kurang subur. Gangguan hormon mungkin juga boleh berpunca dari ketumbuhan dalam kelenjar ovari. Ketegangan rohani atau tekanan jasmani seperti kesedihan oleh sebab kematian ibu bapa atau yang lainnya, boleh juga melambatkan kedatangan haid.
Sumber: Internet