Wanita yang menghadapi isu keputihan selalu berhadapan dengan situasi seluar dalam kotor, bertompok kuning dan perlu selalu tukar panty liner.
Terdapat enam punca keputihan dan cara-cara menghilangkannya dalam perkongsian kali ini. Baca dan fahamkan baik-baik agar keputihan segera hilang.
6 Punca Keputihan Kerap Dihadapi Wanita
#1 Hormon Tak Seimbang
Keadaan dimana hormon wanita tidak seimbang berlaku pada waktu-waktu berikut:
- Selepas haid (ovulasi)
- Ambilan pil perancang
- Menopaus
- Penyakit PCOS (Polycystic ovary syndrome atau kecelaruan hormon)
Nota: Sebanyak 10% wanita dalam usia reproduktif mereka iaitu 25 hingga 30 tahun menghidapi penyakit PCOS.
#2 Keputihan Kerana Mengandung
Seterusnya, keputihan juga boleh berlaku kepada wanita yang sedang dalam persiapan ingin hamil. Selain itu, individu yang mengambil langkah kontrasepsi juga boleh mendapat keputihan.
Nota: Kontrasepsi ialah langkah mencegah kehamilan melalui pil, suntikan atau alatan khusus.
#3 Ovulasi
Namun begitu, keputihan juga normal berlaku pada hari ke-14 kitaran haid sebagai persiapan tubuh badan melalui proses persenyawaan.
Rembesan keputihan juga menjadi lebih banyak dan pekat dari hari lain. Ini kerana sebaik sahaja telur dilepaskan dari ovari, keputihan perlahan-lahan menjadi pekat dan berwarna keruh.
#4 Vaginosis Bakteria (BV)
Ianya merupakan sejenis bakteria yang menganggu keseimbangan pH pada vagina wanita. Tergolong dalam bakteria ‘jahat’, bakteria ini tinggal dalam vagina dan mengganggu flora semula jadi kawasan kemaluan serta melawan bakteria ‘baik’.
Nota: BV wujud pada wanita yang aktif berhubungan seks dan tidak disebarkan melalui hubungan kelamin.
#5 Jangkitan Yis
Tanda-tanda Mama dijangkiti yis boleh diperhatikan melalui warna, kepekatan dan tekstur lendir keputihan itu.
Keputihan wanita yang dijangkiti yis akan berwarna putih, pekat dan berketul. Lagi tanda keputihan dijangkiti yis ialah rasa gatal dan pedih pada vagina.
#6 Ghairah
Ketika seorang wanita sedang ghairah, salur darah di kawasan vagina akan mengembang. Di samping itu juga, vagina akan merembeskan lebih banyak cecair untuk mengurangkan rasa sakit semasa hubungan seks.
Keputihan disebabkan hubungan kelamin dianggap normal dan tidak memudaratkan kesihatan.
Tips Hilangkan Keputihan
#1 Pakaian
Pemilihan pakaian dalam yang diperbuat daripada bahan kapas berfungsi menyerap kelembapan lalu menjadikan permukaan kulit sekitar vagina lebih kering.
Pastikan juga Mama tidak menggunakan pakaian dalam yang masih lembab atau belum kering sepenuhnya kerana ianya berisiko menyebabkan keputihan menjadi lebih banyak.
#2 Jaga Kebersihan
Salah anggap yang sering difahami kebanyakan wanita ialah menggunakan pencuci feminin (feminine wash) yang berbau wangi.
Cara terbaik menjaga kesihatan faraj adalah dengan membersihkannya dengan air atau sabun biasa.
Nota: Elakkan mandian berbuih di bahagian intim
#3 Tuala Wanita (Tampon, pad, panty liner)
Apa-apa jenis tuala wanita mestilah tidak mempunyai bau untuk mengurangkan dan menghentikan masalah keputihan.
Ianya juga perlu sentiasa diganti pada setiap dua hingga tiga jam setiap hari bergantung kepada keperluan. Lebih banyak keputihan, lebih kerap perlu ditukar.
#4 Gaya Hidup
Kalau nak masalah keputihan cepat-cepat selesai, Mama perlu lepaskan gaya hidup yang tidak sihat kepada yang lebih baik.
Gaya hidup pencetus keputihan:
- Diet tidak seimbang
- Tak cukup tidur
- Kurang rehat
- Kurang bersenam
- Abai kebersihan vagina
- Merokok
- Produk penjagaan faraj yang tidak sesuai
Lebihkan makanan yang seimbang serat, protein dan karbohidrat setiap hari untuk menghilangkan keputihan.
Rancang jadual harian dan berkomukasi dengan pasangan atau orang sekeliling agar Mama mendapat rehat dan tidur yang mencukupi serta waktu untuk bersenam.
Cuci faraj melalui pemilihan pakaian, cara membersihkan dan penggunaan produk penjagaan bahagian intim yang sesuai pada diri sendiri.
Kini, tiada lagi masalah seluar dalam kotor, bertompok kuning dan perlu selalu tukar panty liner. Semoga artikel kali ini membantu Mama mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik hendaknya.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Lebih banyak informasi tentang kesihatan wanita di SINI!