Ramai orang masih mempertikaikan Postpartum Depression yang dialami oleh Mama selepas bersalin. Berdasarkan laporan FreeMalaysiaToday, Malaysian Mental Health Association (MMHA) mendefinisikan Postpartum Depression (PPD) sebagai episod kemurungan dalam tempoh empat minggu selepas bersalin. Simptom-simptom tersebut termasuklah mengasingkan diri daripada keluarga, sukar untuk menjalinkan hubungan dengan bayi, insomnia, menangis berlebihan dan hilang minat terhadap aktiviti yang menyeronokkan.
Presiden MMHA Dr Andrew Mohanraj mengatakan PPD juga boleh menyebabkan penderaan dan pengabaian anak. Begitu juga dengan Papa kepada bayi baru, anda juga boleh mengalami gejala kemurungan selepas kelahiran anak mereka.
Dr Lynne Yong, perunding psikologi klinikal, Hospital Adventist Pulau Pinang memberitahu TheStar bahawa terdapat tiga tahap kemurungan selepas bersalin, iaitu postpartum blues, postpartum depression, dan postpartum psychosis.
Tiga Tahap Kemurungan Selepas Bersalin
1. Postpartum Blues
Simptom-simptomnya adalah termasuk perubahan mood, bayi tidak berhenti menangis mengakibatkan stres, kebimbangan dan kesukaran tidur.
Ini adalah perkara biasa yang dilalui oleh mama dan papa baru. Ia akan berlaku selalunya bermula dalam masa dua hingga tiga hari pertama selepas bersalin sampai dua minggu.
2. Postpartum Depression
PPD adalah lebih serius dimana para mama perlu berjumpa dengan pakar psikiatri. Simptomnya termasuklah perasaan sedih dan kebimbangan boleh menjadi melampau serta mungkin mengganggu keupayaan mama untuk menjaga diri atau keluarganya.
3. Postpartum Psychosis
Tahap ini adalah tahap kecemasan psikiatri. Ini adalah kerana terdapat risiko dimana si ibu berpotensi mencederakan bayinya dan dirinya sendiri.
Ia adalah penyakit mental yang sangat teruk apabila ia bermula secara tiba-tiba dalam beberapa hari atau minggu selepas melahirkan anak. Simpton adalah berbeza-beza dan boleh berubah dengan cepat. Ia termasuklah mood yang tinggi (mania), kemurungan, kekeliruan, halusinasi dan khayalan.
Benar VS Perhatian
Baru baru ini, seorang suri rumah memuat naik video rakamannya semasa menjaga anaknya yang baru lahir seorang diri di rumah mereka. Di dalam video tersebut, dia meluahkan perasaannya semasa menjaga bayi dia yang sangat memenatkan mental dan fizikalnya. Video tersebut mendapat sambutan daripada ibu-ibu yang mengalami episod yang sama selepas melahirkan anak mereka.
Suri rumah tersebut menyatakan kesusahan dan cabaran yang dialami oleh para ibu yang sering tidak dibualkan atau diketengahkan. Hakikatnya, ramai ibu-ibu yang baru bersalin mengalami PPD dan hanya mereka yang dapat memahami situasi tersebut, tetapi kurang mendapat perhatian atau kesedaran tentang hal ini.
Mama yang bekerja juga mengalami nasib yang sama apabila sibuk bekerja dan pulang ke rumah harus menjaga anak-anak mereka. Namun begitu, jangan merendahkan para mama diluar sana yang mendapatkan pertolongan seperti bibik atau ibu bapa yang menolong mereka.
Terdapat juga golongan yang mempertikaikan kesahihan kemurungan selepas bersalin kerana wanita tersebut merekodkan kesedihan yang dia alami semasa menjaga anaknya. Tambahan pula, ada mengatakan mama ini perlukan perhatian sahaja.
Namun demikian, kita haruslah berwaspada dan peka terhadap Postpartum Depression serta membantu mama yang baru lepas bersalin kerana mereka mungkin mengalami stres dan emosinya belum stabil.
Dalam pada itu, laporan dari FreeMalaysiaToday mengatakan “Malaysia mempunyai salah satu kadar sokongan terendah di dunia iaitu 3%,”, ujar Valerie Lynn penyelaras Postpartum Support International’s Malaysia.
Ia menunjukkan bertapa kurangnya sokongan dari segi emosi yang dialami oleh para ibu di luar sana. Selain itu, ia boleh berlaku kepada mana-mana ibu sahaja. Sebab itulah, sokongan moral daripada orang sekeliling seperti suami, ibu bapa serta keluarga terdekat amatlah berharga.