KelabMama

Mama, Ini 4 Posisi Tidur Terbaik Selepas Bersalin Secara Pembedahan

Bagi kaum wanita yang bakal menempuh proses bersalin secara pembedahan atau caesarean, salah satu perkara penting perlu Mama berikan perhatian adalah posisi tidur selepas bersalin secara pembedahan tersebut.

Ya, berdepan situasi untuk melahirkan anak secara pembedahan bukanlah hal kecil. Malah dalam senario perubatan pun, caesar tidak digelar sebagai minor operation.

Mama yang bakal melalui prosesnya akan diberi suntikan bius di tulang belakang, dalam keadaan separa sedar Mama boleh rasa segala hal yang berlaku dalam bilik bedah. Meskipun tidak sakit, namun rasa perut dibelah, rasa kesejukan luar biasa dalam bilik pembedahan dan pelbagai lagi prosedur dilakukan tentunya menimbulkan ketidakselesaan teramat sangat.

Ingatkan sampai situ sahaja cabarannya. Eh, belum lagi! Cabaran sebenar ibu bersalin secara caesar ini adalah ketika ubat bius di tubuh habis.

Masa ni, nak bangun untuk duduk pun terasa sangatlah sakit. Pelbagai pergerakan anggota memberikan kesukaran termasuklah posisi tidur.

Berbeza dengan bersalin normal, caesarean memerlukan penjagaan lebih rapi termasuklah posisi tidur yang tepat dalam memastikan jahitan dan luka pembedahan cepat sembuh.

Kenapa Penting Untuk Tahu Posisi Tidur Yang Betul Selepas Bersalin Secara Pembedahan?

Bagi Mama yang belum berpengalaman mengalami caesar, pasti tertanya-tanya mengapa penting untuk tahu posisi tepat ketika tidur. Untuk pengetahuan Mama, jika salah cara, kesakitan di tempat luka itu sangatlah menyeksakan.

Malah, silap posisi juga membuatkan Mama tak dapat lena dan dikhuatiri menganggu proses penyembuhan parut pembedahan caesar.

Mungkin sebahagian orang menganggap caesarean sebagai prosedur harian biasa. Namun ia salah, kerana caesar adalah proses pembedahan besar melibatkan potongan ke dalam perut dan rahim. Lapisan demi lapisan perut dihiris hingga ke rahim dan sudah tentu kesakitan adalah sangat dahsyat sebaik bius Mama habis.

Disebabkan luka pembedahan berada di atas perut, keadaan itu sekali gus menyukarkan Mama untuk mencari kedudukan selesa tanpa memberikan tekanan kepada luka dialami, terutamanya ketika tidur.

#4 Posisi Tidur Selepas Bersalin Pembedahan Yang Disarankan

Berikut antara empat posisi tidur selamat dipetik daripada laman web Mom Junction yang Mama boleh praktikkan sepanjang luka pembedahan belum benar-benar sembuh.

1. Tidur secara terlentang

Ini paling selamat dan mudah Mama. Malah, tidur terlentang juga memberikan keselesaan buat para ibu yang berpantang lantaran posisi ini tidak disarankan setelah kandungan biasanya mencecah trimester ketiga.

Posisi ini tidak akan mengganggu luka Mama dan tidak akan merasa sakit kepada ibu. Oleh itu, Mama akan dapat tidur dan rehat yang berkualiti.

Namun, jika berasa sedikit tegang di bahagian jahitan, Mama boleh alaskan bawah lutut dengan bantal agar kaki Mama sedikit tinggi. Ia melonggarkan sedikit ketegangan di tubuh.

Walau bagaimanapun, dalam posisi ini, Mama perlu lebih berhati-hati untuk bangun daripada katil. Elakkan daripada terus duduk secara menegak. Sebaliknya gunakan kaedah ‘log roll’ ini:

  1. Sebelum mengalihkan kaki daripada katil, tukar posisi terlentang kepada mengiring ke sisi sepenuhnya dengan lutut dibengkokkan.
  2. Dengan menggunakan lengan, perlahan-lahan tolak badan ke dalam posisi duduk. Pastikan perut Mama sentiasa santai semasa bergerak.
  3. Pastikan Mama berada dalam kedudukan duduk tegak sepenuhnya sebelum berdiri. 

Mama juga perlu menggunakan kaedah sama secara terbalik sekiranya mahu berbaring semula di atas katil.

2. Tidur secara menyandar

Tidur secara menyandar adalah keadaan dimana Mama duduk namun hampir berbaring ke belakang. Tidur sebegini mampu mengurangkan tekanan pada luka pembedahan dan memastikan saluran pernafasan terbuka dan tidak terhalang.

Di samping itu, ia adalah satu keadaan biasa untuk ibu baharu mengalami sleep apnea atau nafas terhenti sebentar ketika tidur. Keadaan ini lebih cenderung terjadi buat mereka yang menjalani caesar.

Dalam situasi ini, Mama bersandar dengan menggunakan bantal sokongan mencukupi untuk membolehkan tubuh condong 45 darjah di atas katil.

Ia mungkin posisi pelik jika Mama tak biasa tidur dengan cara ini. Tetapi Mama mungkin akan mendapati posisi ini agak menyelesakan semasa tempoh pemulihan.

3. Tidur dalam keadaan duduk

Sekiranya bosan dan sakit badan apabila berbaring secara terlentang, Mama boleh menukar posisi kepada posisi tidur sambil duduk. Posisi ini dapat mengurangkan rasa sakit pada bahagian luka pembedahan.

Walaupun terlihat seperti tidak selesa namun ia mampu membantu Mama untuk mengurangkan rasa sakit tersebut. Mama boleh mendapatkan beberapa bantal sokongan yang gebu untuk menjadikan posisi tidur menegak ini menjadi selesa.

Bagi mereka yang melakukan penyusuan eksklusif, tidur menegak memudahkan kalian menyusukan si kecil, khususnya jika sesi penyusuan menjadi lebih kerap pada waktu malam.

Namun harus diingat bahawa posisi ini bukan penyelesaian jangka panjang. Sebaiknya selepas tempoh dua minggu, Mama disarankan untuk tidur di atas katil seperti biasa.

4. Tidur mengiring

Bagi sesetengah individu, selain tidur terlentang, posisi mengiring adalah kedudukan kedua paling menyelesakan. Buat mereka yang menjalani pembedahan perut, ini adalah pilihan terbaik kerana ia tidak memberikan sebarang tekanan tambahan pada parut pembedahan.

Di samping itu, ia juga memudahkan Mama untuk naik dan turun katil. Secara khususnya, Mama harus fokus untuk tidur mengiring ke kiri kerana ini memberikan aliran darah optimum dan memudahkan penghadaman.

Mama mungkin memerlukan alat bantuan untuk memberikan keselesaan dan sokongan yang betul pada bahagian perut dan pinggul seperti bantal.

Mama juga boleh mendapatkan lebih informasi yang terkini serta perkongsian menarik daripada pakar-pakar di Malaysia, dengan menyertai Motherhood New Mom Privilege.

Mama berpeluang untuk mendapatkan pelbagai baucar, welcome gift, cabutan bertuah bulanan, dan hadiah istimewa apabila anda mendaftar di New Mom Program yang dianjurkan Motherhood.com.my.

Apa tunggu lagi jom serang website Motherhood atau download aplikasi Motherhood sekarang!


Dapatkan tips dan panduan penjagaan selepas bersalin di SINI.