Okay, sekarang ni kita ada dua pilihan untuk pilih tadika buat si manja.
Pilihan pertama:
Bayaran pendaftaran: RM2,000. Yuran bulanan: RM350 untuk separuh sesi dan RM500 untuk sesi sehari penuh. Kos setahun: antara RM6,200-RM8,000! Kelebihannya, ia terkenal dan dekat dengan rumah.
Pilihan kedua:
Bayaran pendaftaran RM1,200. Yuran bulanan: RM150-RM300 dan kos setahun antara RM3,000-RM4,800 tetapi jaraknya agak jauh dan perlukan perkhidmatan van sekolah.
Mahalnya! Kalau Mama Siti pun mahu berpeluh melihatkan yuran yang tinggi melambung tu. Mengalahkan belajar kat universiti. Tu belum masuk kos pengangkutan dan penjagaan tambahan di rumah transit (penjaga) kalau Mama Siti kerja overtime.
Kalau mama pilih tadika untuk anak yang tinggi kos pengajiannya, mahu tak mahu memang mama kena korek juga tabung simpanan untuk beri pendidikan awal kepada si kecil yang biasanya dihantar pada umur empat atau lima tahun. Nak hantar ke yang lebih murah pun, jumlah pendapatan ibu bapa pula terkeluar daripada kelompok yang layak. Haih…
Jadi, Mama Siti ada satu soalan untuk ibu-ibu di luar sana, hantar anak ke tadika dengan bayaran setinggi tu dapat jamin anak yang dihantar kuasai seluruh subjek yang diajar ke? Atau bahasa senangnya, anak lancar membaca, menulis dan mengira ke?
Bagi ibu bapa yang berkemampuan, soal duit memang perkara kecil. Tapi ada sesetengah ibu bapa yang pilih tadika kerana nak dapat nama, walhal duit dalam poket hanya cukup-cukup makan.
Bulan September dah dekat dan ramai ibu bapa yang mula sibuk nak pilih tadika terbaik untuk cahaya mata masing-masing.
Banyak yang kita fikirkan. Bermacam kriteria kita pertimbangkan contohnya yuran pendaftaran, yuran bulanan, silibus pembelajaran, jarak dari rumah dan faktor sampingan yang lain.
Pilih Tadika Yang Popular?
Namun, kalau mama lihat trend sekarang, ada segelintir ibu bapa yang sangat taasub dengan jenama. Katanya, tak ada duit tak apa. Duit kita boleh cari, asalkan si kecil dapat belajar di tadika ‘popular’ itu. Eh, macam tu pula?
Mama Siti pun jadi keliru bila ibubapa buat keputusan macam ni. Yang pilih jenama dari pembelajaran ni sebenarnya nak kejar populariti ke? Habis pendidikan anak mama macam mana pula?
Mengupas mengenai pemilihan tadika buat cahaya mata, Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Hazhari Ismail berkata, secara ringkasnya terdapat DUA jenis tadika di negara ini yang perlu diketahui setiap ibu bapa.
- Tadika jenis pertama- pentingkan aspek pendidikan dan pengasuhan kanak-kanak mengikut kriteria terbaik
- Tadika jenis kedua- hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata.
“Atas faktor itu, ibu bapa tidak boleh tergesa-gesa atau sekadar mengikut trend masa kini, perlu teliti setiap sudut mengenai tadika yang ingin dipilih secara terperinci bagi mengelak sebarang masalah atau kekesalan di kemudian hari.
“Perlu ada usaha untuk duduk semeja meneliti dan membanding perbezaan tadika yang ingin dipilih terutama mengikut kemampuan diri. Tidak semestinya yang yurannya rendah atau jenamanya tidak popular itu tidak bagus kerana apa yang penting adalah silibus dibawa dan cara didikan,” katanya.
Ibu Bapa Perlu Teliti Dalam Pemilihan Tadika
Antara isu yang mama dengan papa perlu fikirkan buat si manja:
- Pendekatan pembelajaran yang bakal dilalui anak – proses pembelajaran tak terlalu formal dan kerja yang perlu disiapkan di rumah pun tak banyak.
- Kenal pasti jadual tadika – rutin dan aktiviti tadika
- Ambil tahu sama ada tadika itu pernah ada isu berbangkit contohnya lesen operasi yang sah
- Tenaga pengajar – mempunyai diploma dan ke atas (selari dengan hasrat kerajaan yang mewajibkan diploma sebagai syarat kelayakan minimum tenaga pengajar menjelang 2020)
- Yuran dan lokasi tadika
- Nisbah kanak-kanak dalam kelas – 2 guru untuk 25 kanak-kanak
- Keadaan semasa tadika
“Tadika yang dipilih juga perlu melakukan aktiviti membabitkan ibu bapa bagi memastikan pihak tadika tidak menyorokkan sesuatu daripada pengetahuan ibu bapa.
“Semua yang saya katakan tadi perlu menjadi keutamaan dalam membuat pilihan yang tepat untuk anak-anak anda. Jangan buat pilihan mengikut kehendak sendiri atau memilih tadika yang popular semata-mata.
“Pendidikan awal ini ibarat satu pelaburan jangka masa panjang dalam pembinaan modal insan anak-anak namun perlu diingat tadika bukanlah hotel atau rumah tumpangan sementara anda pergi bekerja,” ujarnya.
Hazhari berkata yang kebijaksanaan anak bukan bergantung pada aspek intelektual semata, yang lebih utama adalah perkembangan emosi dan sosial.
Jangan Terikut-Ikut
Hazhari menambah yang ibu bapa atau penjaga perlu bijak dalam melakukan keputusan dan jangan terikut-ikut kemampuan orang lain.
“Semua ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak namun berpijaklah di bumi nyata dan lihat kemampuan diri. Kos yuran atau jenama tadika tidak menjamin kebijaksanaan anak anda.”
Ibu bapa kena kenal pasti semua faktor penting dan jangan pilih ikut nafsu. Sentiasa utamakan anak kerana mereka sebenarnya langsung tak tahu mengenai jenama tadika dan semuanya terletak kepada ibu bapa sendiri.
Tambahnya lagi, ibu bapa juga boleh tukar tadika mengikut kesesuaian anak pada tahun berikutnya.
“Jika dalam tempoh setahun banyak perkara yang anda tidak puas hati atau anak kelihatan kurang seronok, tidak salah untuk anda memindahkan anak ke tadika lain namun sekali lagi perlu diingatkan, perkembangan kanak-kanak itu tidak sama. Ada yang cepat belajar dan ada juga yang lambat, oleh itu jangan membandingkan anak anda dengan anak orang lain.”
“Kalau ibubapa rasa semuanya okay, bagilah peluang kepada anak untuk nikmati zaman tadika kerana itu antara detik menyeronokkan dalam hidupnya,” ujarnya.
Pembelajaran Ceria
Seorang wanita bernama Siti Nur Faezah Othman berkata tadika Islam menjadi pilihan buat anak sulungnya, Aiman Faheem Anuar Shahril, 5, sejak awal tahun ini.
Selain ia tadika baru, dia tertarik dengan konsep ‘playschool’ yang diketengahkan kerana daripada pembacaannya, kanak-kanak akan lebih cepat belajar jika berada dalam suasana yang menyeronokkan.
Persekitaran tadika tersebut juga dalam keadaan terbaik dan silibus disediakan berdasarkan konsep Montessori, aktiviti yang melebihkan pembelajaran dalam cara permainan. Lokasinya juga dekat dengan rumah!
Nurul Farhana Razali pula lebih tertarik kepada tadika berkonsepkan Islam di kawasan perumahannya untuk beri pendidikan awal kepada Aleesya Nurani Muhammad ‘Ammar yang berusia lima tahun.
“Saya berpuas hati dengan pencapaian anak yang sudah berjaya menghafaz surah lazim dan surah al-Mulk dalam tempoh sembilan bulan.”
Dia melafazkan keinginan untuk anaknya melalui proses pembelajaran seimbang akademik dan ilmu agama selain pelajaran asas lain seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Sains dan Matematik. Beliau juga tak mempunyai masalah dengan yuran bulanan dan pendaftaran kerana yuran yang dikenakan adalah berpatutan dan tak membebankan.
Seorang lagi wanita bernama Nuzurul Huda Zam Hasri menghantar Naurah Ameena Muhammad Afiq, 5, ke tadika berkonsepkan Inggeris dan Islam sejak dia berusia empat tahun.
Katanya, silibus pembelajaran yang ditawarkan efektif dan jaraknya dekat dengan rumah! Dua kriteria ini merupakan kriteria utama buat Puan Nuzurul Huda. Puan Huda bersyukur yang Naurah Ameena dah boleh membaca dan menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik. Dan yang paling penting, dia sudah boleh solat dengan bacaan yang betul!
Menurut Jannatul Alia Abu Samah, dia dan suami sepakat pilih tadika Islam untuk anaknya, Laila Jameela Nur Ilham Fezry yang menerima kemasukan kanak-kanak yang masih dalam proses belajar untuk bebas daripada lampin pakai buang.
“Selain itu, tadika berkenaan tidak mempunyai ramai pelajar yang membuatkan guru lebih fokus untuk mengajar dan yuran bulan juga sangat berpatutan,” katanya.
Sumber: hmetro
BACA JUGA INI PERSEDIAN UNTUK HANTAR ANAK KE TADIKA. SADO KAN HATI YA MAMA!
Pesan Mama Siti:
Tadika yang mahal belum tentu bagus. Tadika yang murah tidak semestinya tidak bagus. Apa yang penting ialah tadika yang dipilih tu kondusif dan selesa buat anak-anak belajar dan menimba ilmu. Kalau mama dengan papa asyik fikir nak kejar populariti dan jenama saja, alamat koyakla poket sebulan-sebulan. Ingat, utamakan anak!