KelabMama

PETUA BERGUNA UNTUK MAMA KETIKA BERPERANG DI DAPUR

Dapur yang cantik dan bersih merupakan idaman setiap wanita. Tak kisah la kita ni suka masak atau tidak, tetapi setiap wanita sering mengidamkan dapur yang kita sentiasa impikan. Untuk yang sering masak, masalah utama ialah bagaimana kita dapat membersihkan peralatan yang sentiasa digunakan? Nak jugak barang-barang dapur cantik macam baru beli kan!

Nah! Ada beberapa tips yang boleh membantu meringankan sedikit masalah Mama di dapur.

 HILANG BAU BAWANG DI PENGISAR

Bila kita gunakan blender untuk mengisar bawang, baunya pasti akan ‘melekat’ bukan? Jadi agak sukar untuk anda menggunakan blender yang sama bagi tujuan mengisar jus atau sebagainya. Ada cara yang boleh dicuba untuk menghilangkan bau bawang ini. Apa yang boleh anda boleh lakukan ialah:

BAHAN-BAHAN:

1 biji limau nipis

3 sudu makan beras

Air secukupnya

CARA-CARA:

  1. Ambil limau nipis. Potong kecil.
  2. Isi air dalam blender dan letakkan sedikit beras di dalamnya.
  3. Masukkan limau nipis tadi dan kisarkan bersama beras.
  4. Kisar selama 15-20 saat dan cuci bersih blender anda.

Gunakan hampas limau tadi untuk membersihkan bahagian dalam dan luar  blender. Ia mampu menghilangkan bau yang ‘kurang enak’ itu.

MENGHILANG BAU BUSUK PADA BEKAS PLASTIK

Garam: Bau pada bekas plastik atau tupperware  seringkali datang dari sisa-sisa makanan yang bersembunyi dalam alur-alu pada bekas plastik. Ambil garam dan gosoklah perlahan-lahan. Ia  boleh menghilangkan kesan makanan yang terperangkap, seterusnya menghilangkan bau.

Kertas surat khabar: Jika masih berbau, cuba pula menggunakan kertas surat khabar. Remas-remas beberapa halaman surat khbar kemudian celupkan dengan sedikit air. Dan letakkannya ke dalam bekas tersebut dan  tutupkannya. Biarkan beberapa hari kerana bahan karbon yang terkandung dalam kertas surat khabar boleh menyerap bau dari bekas plastik atau tupperware.

Kopi:  Ini salah satu lagi cara bijak menghilangkan bau, kerana kopi boleh membantu menyerap bau.  Untuk bekas kecil, cukup masukkan satu atau dua sudu makan biji kopi. Untuk bekas lebih besar, gunakan 3-5 sudu makan biji kopi. Masukkan kopi ke dalam bekas plastik tersebut kemudian biarkan beberapa hari baru dicuci seperti biasa.

Ada cara mudah untuk menanggalkan biji cili sebelum anda mengisar dan memasaknya. Apa yang perlu dilakukan ialah:

PETUA MELERAIKAN BIJI CILI DENGAN MUDAH

CARA-CARA:

  1. Ambil beberapa biji cili dan gesel menggunakan tangan sehingga anda merasakan biji cili sudah lerai dari tangkainya.
  2. Potong cili menggunakan gunting dan masukkan air.
  3. Toskan potongan cili dan kisar seperti biasa. Hasilnya masakan sambal anda akan bebas biji cili.

BERSIHKAN MICROWAVE PALING MUDAH

Isikan air dalam mangkuk (separuh mangkuk sahaja) kemudian perahkan jus lemon ke dalamnya atau dua biji limau nipis. Seterusnya masukkan mangkuk tersebut di dalam microwave. Hidupkan suis selama tiga hingga lima minit, kemudian tutup semula suis dan biarkan mangkuk dalam microwave selama  satu kedua minit, baru buka penutup microwave. Keluarkan mangkuk, lalu bersihkan microwave dengan mengelap segala kotaran yang melekat dengan mudah. Termasuk cermin  penutup microwave.

HILANG KARAT PADA CEREK ELEKTRIK

Cerek adalah antara kelengkapan di dapur yang kita wajib guna setiap hari. Namun, ada kalanya cerek elektrik yang terlalu lama digunakan mempunyai  kesan karat yang tidak menyenangkan. Walaupun dibasuh menggunakan span, kesan tersebut masih ada dan tidak bersih sepenuhnya. Ada petua yang boleh dicuba bagi mengatasi masalah ini. Untuk membersihkan kesan karat tersebut, masukkan air yang dicampur dengan sedikit cuka ke dalam cerek elektrik dan rendam selama beberapa jam. Selepas itu, basuh dan bilas menggunakan air bersih. Hasilnya, cerek anda akan kelihatan lebih bersih.

HILANGKAN LEMAK DAN LENDIR AYAM

Ketika membersihkan ayam, kita sering menghadapi kesukaran untuk membuang lemak dan lendirnya sehingga bersih. Untuk memudahkan kerja anda, selepas membersihkan ayam dengan air bersih, keringkan sedikit menggunakan tisu atau kain. Kemudian lumur ayam dengan sedikit tepung gandum sehingga rata. Tarik lemak dan lendir yang melekat pada tepung hingga bersih. Kemudian bilaslah semula dengan air yang bersih dan lihat hasilnya. Cara ini bukan sahaja menanggalkan lemak tetapi juga membuang rasa hanyir ayam.

MENGHILANGKAN KESAN KUNYIT PADA BLENDER

Jika anda perasan, pengisar jika digunakan untuk mengisar kunyit, pasti akan meninggalkan kesan kuning yang susah untuk dibersihkan.

Andai dibiarkan, lama kelamaan warna kuning kunyit ini akan menjadikan bekas pengisar anda menjadi kehitaman dan seakan berdaki.

Untuk mengatasi masalah ini, ada petua yang boleh anda cuba. Antara bahan yang diperlukan ialah

BAHAN-BAHAN:

2 sudu makan cuka

1 cawan air panas

CARA-CARA:

  1. Masukkan air panas dan cuka ke dalam bekas pengisar. Biarkan selama 2-3 minit.
  2. Kisar air bancuhan cuka tadi beberapa kali sehingga kesan kotoran pada mata pengisar hilang.
  3. Bilas sekali lagi dengan air panas dan keringkan.

Kredit: Majalah RASA