KelabMama

Jangan Panik! Petua Hilangkan Gatal Tekak Yang Pantas dan Berkesan

petua hilangkan tekak gatal

Tekak yang gatal atau sakit adalah masalah yang sering dialami oleh semua peringkat umur, termasuklah anak Mama. Petua hilangkan gatal tekak menjadi carian utama terutamanya apabila masalah ini mengganggu keselesaan harian mereka, seperti ketika makan, bercakap, atau tidur.

Walaupun tekak gatal adalah masalah biasa yang sering dialami oleh kanak-kanak, namun rasa gatal ini boleh menjadi semakin teruk jika tidak dirawat.

Selain mendapatkan rawatan moden, Mama Papa juga boleh mencuba kaedah semula jadi dan tradisional untuk melegakan rasa gatal pada tekak mereka.

Kaedah semula jadi sering menjadi pilihan kerana ia menggunakan bahan yang mudah didapati, selamat, dan sesuai untuk diamalkan di rumah.

Punca Gatal Tekak pada Kanak-kanak

  1. Alergi: kanak-kanak yang mempunyai alahan terhadap habuk, debunga, bulu haiwan peliharaan, atau makanan tertentu boleh mengalami gatal tekak sebagai reaksi tubuh.
  2. Jangkitan saluran pernafasan atas: selesema, batuk, atau tonsilitis adalah punca biasa yang menyebabkan tekak terasa gatal.
  3. Kekeringan udara: udara yang kering, terutamanya apabila menggunakan penghawa dingin, boleh mengeringkan saluran tekak, menyebabkan rasa gatal.
  4. Pencemaran udara: asap rokok, jerebu, atau bahan kimia di udara boleh merengsakan tekak kanak-kanak.
  5. Dehidrasi: kurang minum air boleh menyebabkan tekak kering dan terasa gatal.

Petua untuk Melegakan Gatal Tekak

1. Madu dan Air Suam

Berikan anak Mama satu sudu kecil madu yang dicampur dengan air suam. Madu mempunyai sifat antiradang yang membantu mengurangkan keradangan pada tekak dan sifat antimikrob yang melawan bakteria.

Selain itu, madu juga berkesan melembapkan tekak yang kering, memberikan kelegaan segera kepada anak. Tetapi Mama perlu ingat petua ini Mama boleh cuba untuk mereka yang berusia satu tahun ke atas sahaja.

2. Air Garam

Untuk anak Mama yang lebih besar pula, Mama boleh ajarkan mereka berkumur dengan air garam suam.

Larutan garam ini membantu membunuh bakteria dan virus yang mungkin ada di tekak. Ia juga boleh membantu mengurangkan keradangan dan memberi rasa lega kepada tekak yang gatal.

3. Humidifier

Mama boleh letakkan humidifier di ruang tamu Mama dan juga di dalam bilik anak Mama untuk mengekalkan kelembapan udara. Udara yang lembap membantu mencegah kekeringan pada saluran pernafasan.

Petua ini sangat berguna jika anak Mama selalu tidur dalam bilik berhawa dingin, kerana penghawa dingin boleh mengurangkan kelembapan udara dengan ketara.

4. Air Kelapa

Air kelapa semula jadi dapat membantu menghidratkan badan dan melegakan tekak yang kering.

Ia juga kaya dengan elektrolit yang dapat membantu mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan, dapat memastikan anak Mama tetap bertenaga dan sihat.

Kalau boleh Mama berikan air kelapa kosong sahaja tanpa tambahkan air gula dan ais dalam air kelapa.

5. Sup Ayam

Sup ayam yang hangat bukan sahaja sedap, tetapi juga membantu melegakan tekak yang gatal. Ia memberikan kehangatan yang selesa pada tekak dan membantu menenangkan saluran pernafasan. Tambahan pula, nutrien dalam sup ayam boleh menyokong sistem imun mereka.

Jika anak Mama kurang gemar makan sup ayam, Mama Siti ada cadangankan Mama gunakan bahagian ayam yang paling disukai oleh anak Mama.

Dengan cara ini, mereka pasti lebih berselera untuk menikmati sup ayam, walaupun sebelum ini tidak begitu suka.

6. Elakkan Makanan dan Minuman Berais

Makanan atau minuman yang terlalu sejuk boleh menyebabkan tekak semakin gatal. Sebaiknya, Mama berikan makanan suam atau pada suhu bilik, yang lebih mesra pada tekak.

Minuman suam juga boleh membantu melancarkan lendir yang mungkin menyebabkan rasa tidak selesa pada tekak mereka.

7. Hirisan Lemon dengan Madu

Berikan hirisan lemon yang dicampur dengan sedikit madu untuk anak hisap. Lemon membantu membersihkan tekak daripada lendir berlebihan, sementara madu memberikan kelembapan semula jadi pada tekak. Gabungan ini juga membantu meningkatkan rasa segar dan menyenangkan.

Bila Mama Perlu Bawa Berjumpa Doktor?

Jika gatal tekak anak Mama disertai dengan gejala lain seperti demam tinggi, kesukaran bernafas, atau tidak hilang selepas beberapa hari, segera dapatkan nasihat doktor. Ini mungkin petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Dengan langkah-langkah mudah dan perhatian yang Mama Papa berikan, gatal tekak pada kanak-kanak boleh diatasi dengan efektif. Sentiasa pastikan anak mendapat rehat yang mencukupi dan penghidratan yang baik untuk menguatkan sistem imun mereka.

Semoga petua hilangkan gatal tekak yang Mama Siti kongsikan ini dapat membantu Mama mengatasi masalah ini dengan mudah. Selamat mencuba, semoga anak Mama cepat sihat dan kembali ceria!


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan pelbagai jenis petua kesihatan yang lain di SINI.