KelabMama

Petua Hilangkan Demam Panas Kanak-Kanak: Info, Fakta & Tips Daripada Pakar

petua menjaga anak demam panas
Dr Simon Foo Hee Wei,
Pakar Perunding Kanak-Kanak, Gastroenterologi Kanak-Kanak dan Pakar Hepatologi

Walaupun demam panas merupakan reaksi semula jadi tubuh untuk melawan jangkitan, namun suhu badan yang tinggi boleh menyebabkan ketidakselesaan dan juga membawa kepada kemudaratan buat si kecil.

Ramai Mama Papa sering tertanya-tanya apakah petua hilangkan demam panas kanak-kanak yang terbaik, terutamanya bagi first-time parents yang mungkin buntu mencari penyelesaian.

Dalam artikel kali ini, Dr Simon Foo Hee Wei, Pakar Perunding Kanak-Kanak, Gastroenterologi Kanak-Kanak dan Pakar Hepatologi dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) akan kongsikan informasi dan petua hilangkan demam panas kanak-kanak, serta rawatan kecemasan di rumah.

1. Boleh doktor jelaskan mengapa golongan bayi dan kanak-kanak ini lebih mudah diserang demam panas?

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan bayi dan kanak-kanak lebih mudah untuk demam.

Pertama, sistem imuniti bayi dan kanak-kanak kecil berbeza daripada sistem imun kanak-kanak yang lebih tua atau orang dewasa. Terutamanya bagi bayi di bawah umur tiga bulan kerana sistem imuniti mereka masih kurang matang.

Bayi dan kanak-kanak juga lebih mudah untuk mendapat jangkitan kerana pelbagai faktor – kekurangan perlindungan antibodi, kurang pendedahan kepada antigen organisma patogen untuk penghasilan antibodi tertentu, pendedahan yang berterusan kepada jangkitan dalam komuniti (seperti di taska/pusat penjagaan, sekolah dan dari saudara mara), dan daripada tingkah laku kanak-kanak.

Contohnya apabila menyentuh dan memasukkan objek ke dalam mulut, dan tidak mencuci tangan selepas menyentuh permukaan yang kotor.

Selain itu, perbezaan anatomi dan saiz tubuh yang jauh lebih kecil menjadikan kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada jangkitan.

Walaupun bayi dan kanak-kanak yang masih menyusu memperoleh antibodi pasif mereka daripada IgG (antibodi) Mama dan IgA dalam susu Mama, ia tetap tidak mencukupi untuk memberi perlindungan untuk semua patogen penting.

Selain itu, sistem imuniti bayi dan kanak-kanak masih naif dan perlu dilatih mengikut peredaran masa selepas berulang kali terdedah kepada jangkitan tertentu.

Oleh itu, manifestasi demam berbeza mengikut tindak balas imun dan tindak balas terhadap setiap jangkitan.

Apabila terdapat pencerobohan mikroorganisma atau yang lain ke dalam tubuh, termasuk tumor, sistem imuniti badan akan mengeluarkan bahan kimia (sitokin dan mediator), menjadikan lebih banyak sel darah putih, termasuk makrofaj (fagosit), dan akan menghasilkan antibodi secara aktif. Proses ini boleh menyebabkan demam.

2. Berapakah suhu demam untuk seorang bayi dan kanak-kanak?

Suhu badan normal berbeza mengikut umur, waktu/masa, aktiviti yang dilakukan serta faktor-faktor lain.

Ia juga berbeza mengikut tempat yang diambil suhu (contohnya, mulut, ketiak, telinga (tympanic membrane), dan rektum).

Suhu rektum adalah standard untuk mengesan demam pada bayi di bawah umur tiga bulan, manakala suhu yang diambil di bahagian ketiak (axillary membrane) dan telinga kurang dipercayai.

Suhu yang diambil di ketiak mungkin menunjukkan suhu yang lebih rendah daripada suhu rektum pada bayi, manakala, sentuhan inframerah dan termometer dahi tidak bersentuhan pula tidak sesuai untuk bayi yang masih kecil kerana keputusan yang bercanggah.

Bagi kanak-kanak yang lebih tua, suhu demam boleh ditakrifkan oleh suhu mulut antara >/= 37.8 hingga 39.4°C (100.0 hingga 103.0°F), dan demam yang membimbangkan sekiranya suhu mulut menunjukkan >/= 39.5°C (103.1°F).

3. Bagaimana demam panas boleh mengakibatkan kanak-kanak diserang sawan? Apakah langkah utama (rawatan kecemasan) yang boleh dilakukan sekiranya keadaan tersebut berlaku?

Kriteria yang menunjukkan kanak-kanak atau bayi diserang sawan termasuk peningkatan suhu badan lebih daripada 38°C, kanak-kanak yang berumur lebih daripada enam bulan dan lebih muda daripada enam tahun, jika tiada jangkitan atau keradangan sistem saraf pusat (CNS), dan tiada sebarang keabnormalan metabolik sistemik akut (seperti paras gula dalam darah rendah, paras elektrolit tidak normal) dan tanpa sejarah sawan sebelum ini yang tidak dicetuskan oleh demam.

Kekejangan berlaku sebelum usia enam tahun disebabkan oleh perkembangan sistem saraf pusat kanak-kanak (mielinasi dan peningkatan jumlah otak secara beransur-ansur).

Oleh itu, dalam CNS yang tidak matang, bahan kimia (sitokin) dihasilkan dan dilepaskan semasa tindak balas keradangan akut yang menyebabkan demam dan mengakibatkan sawan.

Faktor risiko untuk sawan demam termasuk demam gred tinggi, jangkitan virus, dan kerentanan genetik (sejarah keluarga dengan sawan demam).

Semasa sawan demam, kanak-kanak biasanya pengsan dan mempunyai pergerakan menyentak pada lengan, kaki, atau muka. Kebanyakan sawan berlaku kurang daripada 5 minit, dan kanak-kanak mungkin keliru atau mengantuk untuk masa yang singkat.

Semasa sawan, Mama Papa atau pengasuh harus meletakkan kanak-kanak itu di sisi mereka, tidak memasukkan apa-apa ke dalam mulut mereka, atau cuba menghentikan pergerakan menyentak kanak-kanak sawan tersebut. Ia juga penting untuk merekod tempoh sawan berlaku.

Jika sawan berlaku lebih daripada 5 minit, segera hubungi bantuan medikal atau ambulans.

4. Daripada sudut perubatan, adakah petua tradisional juga diakui berkesan merawat demam panas kanak-kanak?

Ubat tradisional dan homeopati kadangkala digunakan untuk menurunkan suhu demam pada kanak-kanak, tetapi ia tidak disyorkan dalam amalan klinikal kerana bukti saintifik klinikal yang tidak mencukupi.

Minuman halia, ekstrak kunyit, kayu manis, dan madu sering digunakan disebabkan oleh sifat anti-radang dan antioksidannya. Teh herba juga kadangkala digunakan terutamanya dalam masyarakat Cina.

Walau bagaimanapun, kesemua ini hanya boleh dianggap sebagai rawatan tambahan dalam pengurusan demam.

Tiada garis panduan atau sokongan kukuh untuk menggunakan rawatan semulajadi tersebut, terutamanya dalam menguruskan demam pada bayi dan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang demam digalakkan untuk minum air secukupnya, banyakkan berehat, mandi dengan air suam, dan memakai pakaian yang tidak berlapis.

Ramai juga akan mengesyorkan pengambilan vitamin C semasa sakit kerana ia mungkin mempercepatkan proses pemulihan kerana sifat antioksidannya.

Sekali lagi, data penyelidikan perlu disertakan tentang khasiat sebenarnya dalam pengurusan demam.

Mengelap badan dan tampalan gel penyejuk juga adalah antara langkah tambahan lain untuk menguruskan demam.

Sekali lagi, sebarang ubat dan cara alternatif untuk merawat demam perlu dikaji keberkesannya dalam ujian klinikal dan perlu ada lebih banyak maklumat tentang keberkesanan dan keselamatannya sebelum pengamal perubatan boleh mengesyorkan penggunan pelbagai cara alternatif ini kepada pesakit.

5. Jika ya (merujuk kepada jawapan nombor dua) boleh doktor jelaskan apakah petua yang selamat dan berkesan dalam merawat demam ke atas bayi dan kanak-kanak?

Kanak-kanak bukanlah orang dewasa, oleh itu tindak balas badan mereka terhadap demam berbeza. Selain itu, kebanyakan kanak-kanak tidak dapat meluahkan simptom atau penyakit mereka dengan baik, dan kadangkala komplikasi boleh berlaku.

Contohnya dehidrasi, jangkitan bakteria invasif, dan gangguan pernafasan kerana sistem anatomi, fisiologi, metabolik dan imun mereka yang berbeza berbanding orang dewasa.

Oleh itu, walaupun mendapatkan ubat tanpa preskripsi seperti paracetamol dan ibuprofen adalah mudah, amat penting untuk melihat dari sudut pelbagai faktor.

Contohnya, dos ubat, punca demam, atau punca jangkitan, dan mengenal pasti tanda-tanda komplikasi yang lain.

Bagi sesetengah jangkitan bakteria dan beberapa keradangan, seperti penyakit Kawasaki, demam biasanya tidak sembuh walaupun ubat demam sudah diberikan dengan mencukupi, dan kanak-kanak mungkin mengalami komplikasi lanjut jika keadaan tidak dirawat tepat pada masanya.

Sementara itu, rawatan simptomatik biasanya diberikan bagi demam virus. Mama Papa perlu tahu bahawa demam bukanlah penyakit tetapi tindak balas fisiologi.

Mama Papa harus membawa anak mereka ke hospital atau klinik untuk mendapatkan penilaian lanjut jika terdapat tanda-tanda penyakit serius, dan untuk mengurangkan demam tidak dapat membantu dalam menentukan sama ada kanak-kanak itu mempunyai jangkitan bakteria atau virus.

Ubat antipiretik harus diambil mengikut berat badan, bukan umur. Antipiretik dapat membantu memperbaiki ketidakselesaan yang disebabkan oleh demam, mengurangkan kehilangan air yang tidak diketahui, dan seterusnya mengurangkan risiko dehidrasi.

Ia juga mempunyai kesan analgesik, dan seperti kebanyakan ubat lain, ia mempunyai kesan sampingan, dan dos berlebihan boleh membawa maut. Antipiretik yang biasa digunakan ialah paracetamol dan ibuprofen.

Paracetamol oral secara amnya tidak disyorkan untuk bayi di bawah umur tiga bulan tanpa berunding terlebih dahulu dengan doktor kerana demam mungkin satu-satunya tanda jangkitan teruk pada bayi tersebut.

Paracetamol oral lebih disukai daripada paracetamol rektum kerana rekod keselamatannya yang panjang apabila dos terapeutik yang sesuai ditetapkan.

Selain itu, kepekatan paracetamol oral lebih mudah diramal. Paracetamol rectum boleh dijadikan pilihan apabila kanak-kanak tidak boleh mengambil ubat secara oral.

Ibuprofen tidak diberikan kepada bayi di bawah enam bulan tanpa penilaian oleh doktor. Sebagai tambahan kepada aktiviti antipiretik, ia mempunyai aktiviti anti-radang juga.

Walaupun menggabungkan kedua-dua paracetamol dan ibuprofen mungkin lebih berkesan daripada satu agen sahaja dalam mengurangkan demam, ia tidak disyorkan kerana risiko toksik, kekeliruan dadah dan sebagainya.

Kedua-dua paracetamol dan ibuprofen tidak boleh diberikan lebih daripada empat dos dalam tempoh 24 jam. Dapatkan nasihat daripada doktor sebelum menggabungkan atau menggantikan kedua-dua ubat.

Cara alternatif lain untuk penyejukan luaran seperti mengelap badan dan tampalan gel penyejuk boleh meredakan demam dan dijadikan rawatan tambahan kepada antipiretik.

Mengelap badan dengan air suam (sekitar 30’C) boleh memberi lebih keselesaan berbanding air sejuk.

Akhir sekali, jangan sekali-kali memberi aspirin kepada kanak-kanak tanpa nasihat doktor, kerana kanak-kanak mungkin berisiko mengalami keadaan teruk yang menyebabkan kecederaan otak dan hati (sindrom Reye).

6. Manakah yang lebih selamat bagi mengatasi masalah demam kanak-kanak, melalui kaedah tradisional atau pemberian ubat-ubatan?

Ia bergantung kepada jenis ubat tradisional yang diamalkan oleh Mama Papa dan punca demam anak. Ubat tradisional mungkin tidak diterima dengan baik dan sesuai, terutamanya untuk bayi dan kanak-kanak kecil.

Selain itu, sesetengah rawatan konvensional boleh menjadi tidak selamat untuk dimakan kerana kurangnya pemahaman tentang kesan sampingan dan keberkesanannya.

Oleh itu, ubat demam (antipiretik) seperti paracetamol adalah lebih selamat dan praktikal jika diberi dalam sukatan yang betul. Apabila tidak pasti, dapatkan nasihat daripada doktor.

7. Lambakan tips dikongsikan secara meluas pada hari ini menyebabkan terdapatnya beberapa petua tidak selamat. Justeru, bagaimana untuk membezakan petua tersebut sesuai atau tidak ke atas bayi dan kanak-kanak?

Lakukan apa yang Mama Papa rasa sesuai dengan anak-anak, tetapi ingat, keselamatan perlu diutamakan. Keputusan Mama Papa tentang kaedah rawatan boleh menjejaskan proses pemulihan kanak-kanak.

Selain pengambilan air yang mencukupi, rehat yang cukup, dan langkah-langkah pemulihan lain seperti memakai pakaian nipis, tidak banyak bukti saintifik tentang profil keselamatan rawatan alternatif atau tradisional untuk kanak-kanak dan bayi yang mengalami demam.

Apa yang penting, jangan biarkan rawatan lain yang dikendalikan sendiri melambatkan kanak-kanak mendapat intervensi perubatan yang tepat.

8. Boleh doktor kongsikan petua minum air kelapa dan fungsinya kepada kanak-kanak yang demam?

Salah satu ciri penting dalam pengurusan demam adalah untuk memastikan penghidratan badan yang mencukupi.

Ini boleh dilakukan dengan menggalakkan anak Mama minum banyak air (air kosong, susu, jus, atau sup). Mereka juga boleh mendapat cecair daripada makanan seperti bubur.

Air kelapa, dari segi sejarah, telah dianggap sebagai sumber cecair semula jadi yang sangat baik dan membekalkan elektrolit, glukosa, beberapa vitamin dan mineral.

Justeru, meminum air kelapa adalah cara terbaik untuk menambah cecair dalam badan, membantu dengan penyejukan dan detoksifikasi, disamping menambahkan beberapa nutrien penting yang diperlukan badan.

Bagi kanak-kanak yang sudah besar, terutamanya yang menghidap demam denggi (penyakit virus bawaan nyamuk), adalah sangat digalakkan untuk mereka minum air kelapa.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk Mama pastikan sumber air kelapa tersebut adalah segar, bersih, dan juga beri perhatian kepada tahap kesegaran, penyimpanan dan penyediaan air kelapa tersebut.

Meminum air kelapa yang telah rosak boleh membawa lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan dan boleh menyebabkan keracunan makanan.

Selain itu, air kelapa dengan sirap gula tambahan tidak digalakkan; terutamanya untuk kanak-kanak yang mengalami cirit-birit, kerana ia boleh memburukkan lagi gejala cirit-birit tersebut.

Namun begitu, bayi dan kanak-kanak masih bergantung kepada susu sebagai sebahagian daripada diet utama mereka, jadi mereka perlu meneruskan penyusuan susu mereka kerana pemakanan yang baik dapat membantu mereka pulih daripada jangkitan dengan lebih cepat.

Oleh itu, cuba untuk tidak hiraukan kepentingan pengambilan cecair; terutamanya minuman dengan kandungan gula yang tinggi kerana ia boleh menjejaskan diet yang betul bagi kanak-kanak dan bayi.

9. Kebanyakan Mama Papa memilih untuk menggunakan kaedah tradisional terlebih dahulu bagi kes demam ringan. Namun, terdapat juga mak ayah yang memilih untuk merawat demam anak secara sendiri pada peringkat awal, sehingga disahkan menghidap sakit yang lebih kritikal. Soalannya, bagaimana cara untuk mengetahui demam tersebut adalah demam biasa atau ianya petanda kepada masalah kesihatan serius?

Bayi di bawah tiga bulan dengan suhu badan 38’C perlu dibawa ke klinik atau jabatan kecemasan dengan segera kerana demam boleh menjadi satu-satunya simptom jangkitan yang serius.

Manakala bagi bayi dan kanak-kanak yang lebih berusia, bawa anak Mama Papa berjumpa doktor apabila anak Mama Papa menangis, kelihatan tidak bermaya, kelihatan letih (lesu), atau sukar untuk bangun, sakit kepala yang teruk atau sakit teruk di tempat lain, mengalami ruam, kelihatan sakit, mengalami masalah gastrousus seperti muntah-muntah yang teruk dan atau cirit-birit, mengalami sawan, risiko strok haba dan tidak dapat mengambil sebarang cecair, yang dikaitkan dengan masalah sukar kencing.

Juga ambil perhatian bahawa kanak-kanak yang mempunyai faktor risiko seperti kekurangan zat makanan, masalah sistem imun (kekurangan imun), kanak-kanak yang mengambil ubat-ubatan yang boleh menjejaskan sistem imun mereka.

Contohnya, kortikosteroid dan kemoterapi, kanak-kanak yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik, penyakit hati, jantung, paru-paru dan lain-lain berisiko mendapat jangkitan dan komplikasi yang teruk.

Oleh itu, mereka harus dinilai oleh doktor yang berpengalaman apabila mereka mengalami gejala seperti demam.

Oleh itu, apabila ragu-ragu, bawa anak Mama Papa berjumpa doktor untuk penilaian terperinci supaya intervensi perubatan yang tepat pada masanya dapat diberikan.

Campur tangan yang tepat pada masanya boleh menghindar komplikasi yang lebih teruk dan boleh mengurangkan risiko untuk dimasukkan ke hospital serta pemulihan yang lebih cepat.

Kelewatan dalam pengurusan demam yang betul dan mengenal pasti punca demam, terutamanya dengan ubat tradisional yang tidak diketahui, boleh menyebabkan kanak-kanak yang terjejas menjadi tidak selesa kerana demam yang berterusan, enggan makan dan minum dengan secukupnya, dan mungkin boleh bertukar menjadi penyakit yang lebih serius.

Semoga dengan perkongsian mengenai demam panas dan petua hilangkan demam panas kanak-kanak ini membantu Mama Papa. Yang penting, Mama Papa harus sentiasa pantau suhu badan anak-anak apabila mereka mula demam.


Dapatkan lebih banyak perkongsian pakar tentang kesihatan anak-anak serta tips berguna untuk Mama Papa di SINI.