Amalan kunjung-mengunjungi ketika Aidilfitri sudah sebati dengan masyarakat kita. Pergi rumah sanak-saudara, jiran tetangga dan kawan-kawan. Dalam seronok beraya, Mama Papa perlu sampaikan beberapa pesanan sebelum pergi beraya awal-awal pada anak-anak.
Pesanan ini adalah tentang apa yang mereka perlu lakukan apabila ingin pergi beraya di rumah orang. Ini untuk elakkan tuan rumah berasa kurang selesa, dan terjaga adab anak-anak kita sendiri.
Mama Siti faham anak-anak kecil ni sukar untuk dikawal, tetapi Mama Papa perlulah sentiasa berwaspada dan selalu ingatkan mereka tentang pesanan-pesanan di bawah.
6 Pesanan Penting Pada Anak-anak Sebelum Pergi Beraya
Mama Papa wajib pesan dekat anak-anak sebelum pergi beraya rumah orang. Pesan banyak-banyak kali pun tidak mengapa.
1. “Kalau tak dapat duit raya, jangan pula meminta!“
Time anak-anak beritahu nak tawaf satu kampung sebab nak beraya tu Mama Papa pesan siap-siap dekat anak-anak “jangan nak meminta duit raya dengan tuan rumah,”.
Pergi untuk beraya sahaja, makan dan minum apa yang dihidangkan. Kalau time nak balik tuan rumah tak bagi duit raya jangan minta. Sebab kita tidak tahu ekonomi tuan rumah.
Adakah mereka sediakan duit raya atau tidak. Tapi kalau tuan rumah berikan duit raya, maknanya itu rezeki.
2. “Dah dapat duit raya tu, elakkan buka sampul tu depan tuan rumah tau.“
Mama Papa pesan dekat anak-anak jangan terus bukak sampul duit raya depan tuan rumah. Pesan juga dekat mereka untuk tidak menyebut jumlah duit yang diberikan oleh tuan rumah.
Tunggu lah sampai rumah dahulu atau ketika berada di dalam kereta, baru buka sampul raya yang diberikan.
Perbuatan ini tidak beradab kepada tuan rumah dan boleh memalukannya sekiranya jumlah yang diberikan adalah sedikit atau riak wajah anak tidak suka dengan nilai duit yang diberikan.
Tidak semua orang mampu untuk beri duit raya dalam jumlah yang banyak seperti RM50 dan RM20. Kalau dapat duit raya RM2 atau RM1 tu pun dah kira beruntung dapat duit raya.
Mama Papa perlu terapkan dalam diri anak-anak untuk bersyukur dengan setiap pemberian walaupun semasa bukan hari raya.
3. “Jaga mulut tu. Jangan nak komen itu ini hal rumah orang.“
Ni pesanan sebelum pergi beraya yang paling penting tau! Mama Papa jangan lupa pesan dekat anak-anak tidak komen atau bergosip keadaan rumah orang.
Diam je kalau lihat rumahnya kecil, kena duduk bersial kerana tiada kerusi, atau kurang itu ini. Senang cakap, adab menziarah rumah orang ni;
Apabila kalian masuk rumah seseorang jadilah kalian seorang yang buta dan apabila kalian keluar daripadanya maka jadilah kalian seorang yang bisu.
Jadi, tak perlu nak meninggal komen atau sebagainya. Selesai beraya pun, tak perlu nak ‘sampaikan’ kepada yang lain tentang keadaan rumah tersebut. Pesanan ini adalah untuk mengajar anak mengenai adab menziarahi dan saling menghormati.
4. “Tangan tu jangan nak usik barangan tuan rumah.“
Ini paling risau kalau tetiba barang tuan rumah pecah sebab anak Mama Papa. Maklum lah semasa raya ni lah semua nak tunjuk pasu mahal, gelas kaca, tak pun bekas kuih raya.
Selain tu, larang anak supaya tidak main lari-lari dalam rumah orang dan mengelakkan mereka daripada berlanggar dengan barangan di dalam rumah tuan rumah.
Peti ais pun sama – pesan dekat anak-anak jangan bukak peti ais rumah orang dan ambil makanan dalam peti ais sesuka hati. Melainkan kalau tuan rumah yang berikan makanan tersebut.
Seeloknya pesan dekat anak-anak kalau nak ambil gelas atau time nak pegang bekas kuih raya, minta bantuan Mama Papa atau yang lebih tua.
5. “Duduk dekat ruang disediakan je, bukan masuk bilik orang!“
Pesan awal-awal dekat anak-anak jangan masuk bilik tidur ketik berada di rumah orang lain, walaupun rumah tersebut merupakan rumah saudara rapat. Kalau masuk dengan izin tuan bilik tidak mengapa.
Lagi pun bilik adalah tempat privasi, jadi anak-anak kena hormat privasi orang lain.
Jangan biarkan mereka bebas meneroka rumah orang akan buatkan tuan rumah rasa tidak selesa. Walaupun mereka kecil tetapi perlu hormat tuan rumah juga.
Ajar anak-anak untuk setia duduk disamping Mama Papa je tau!
6. “Paling penting, sentiasa jaga adab dan kelakuan, okay?“
Kalau Mama Papa ada anak kecil yang jenis aktif terlebih, Mama Papa mesti selalu kena pesan pada mereka untuk behave dekat rumah orang.
Mama Papa juga harus ingatkan adab semasa makan. Kadang-kadang anak-anak kita akan ambil kuih raya, tetapi, tak makan pun lebih kepada nak buat sepah. Sebab tu Mama Papa harus sentiasa pantau anak-anak kecil kita tu.
Dalam seronok beraya di rumah orang, Mama Papa jangan lupa pula tentang anak-anak. Mama Papa selalu kena ingatkan pesanan sebelum pergi beraya seperti di atas supaya anak tidak lupa.
Jadi, anak-anak akan lebih behave ketika beraya di rumah orang. Semoga bermanfaat!
Dapatkan pelbagai panduan keibubapaan yang lain di SINI.