Setibanya bulan puasa yang mulia nanti, pasti Mama semua inginkan puasa kali ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Tidak hairan juga buat Mama hamil mahupun sedang menyusukan bayi. Pasti Mama juga ingin melaksanakan kewajipan berpuasa sama seperti orang lain bukan? Tak kurang juga yang menyatakan enggan menggantikan puasa pada waktu lain kerana risau tiada teman berbuka. Tapi sebenarnya, boleh atau tidak Mama yang sedang hamil berpuasa? Ikuti nasihat dan pesanan Dr Muhammad Izzat untuk kekalkan kesihatan Mama hamil yang ingin berpuasa.
Maka, tidak hairanlah, meskipun sedang hamil atau menyusukan bayi, dalam masa yang sama ibu-ibu tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa.
Rukhsah untuk Mama Hamil ketika Ramadan
Justeru, pelbagai alasan diberikan sekalipun mereka diberikan rukhsah (keringanan), diperboleh meninggalkan puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Menurut mazhab Syafie, wanita hamil dan menyusui bayi apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak perlu berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah menggantikan (Qada’) puasanya kelak.
Rata-rata alasan yang diberikan ibu-ibu, mereka berupaya untuk melaksanakan tuntutan berpuasa. Ada juga yang menyatakan, mereka enggan menggantikan puasa pada waktu lain, kerana tiada teman untuk berpuasa sama. Pendek kata, mereka ingin mengambil peluang berpuasa penuh tanpa adanya halangan haid jika di luar kehamilan.
Nekad Berpuasa Meskipun Badan Tidak Sihat
Namun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekalipun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia/kekurangan gula dalam darah seperti pening, loya, gementar dan pitam atau pengsan.
Pesan Dr Muhammad Izzat, bahaya jika ibu berpuasa mula mengalami gejala kekurangan gula. Ianya boleh memudaratkan bayi dalam kandungan! Bayi dalam kandungan kita boleh terkena hipoglisemia, dan kekurangan zat-zat yang diperlukan.
Mereka menangguhkan masa untuk berbuka “Tunggulah setengah jam lagi.” Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka. Hal yang demikian sepatutnya tidak berlaku kerana ibu perlu mengambil kira keadaan bayi ketika ini, apabila gejala-gejala kekurangan gula berlaku, akan menimbulkan mudarat pada bayi anda.
Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan janin sendiri. Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan/nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya. Kasihanilah anak-anak yang di dalam kandungan. Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat.
Pelan Pemakanan untuk Mama Hamil Berpuasa
Jika anda berpuasa, tentu sekali anda tidak boleh makan sekerap biasa, tetapi anda masih boleh makan lebih daripada dua kali di antara masa berbuka dan sahur. Hidangan makanan yang seimbang dan berkhasiat akan membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan masalah-masalah seperti sembelit, sakit kepala, ketakcernaan, lesu dan pedih ulu hati yang kesemuanya merupakan simptom-simptom biasa semasa hamil.
Dr Muhammad Izzat mencadangkan minuman dan makanan yang berikut untuk mama hamil ketika berbuka puasa.
- Mulakan dengan tiga biji kuma dan jus – untuk menormalkan semula tahap gula dalam darah.
- Susu atau yogurt rendah lemak.
- Sup jernih.
Untuk hidangan selepas utama selepas berbuka pula:
- Sepinggan salad atau ulam-ulaman sebagai pembuka selera.
- Protein seperti ayam, daging, ikan, kacang pis atau kekacang.
- Karbohidrat komples daripada nasi beras perang dan roti bijian penuh & sayur-sayuran lain.
- Sup sayur-sayuran – Membolehkan anda makan sayuran berbeza dan membekalkan vitamin, mineral dan serat tambahan dalam diet anda.
ELAKKAN: Hidangan berlemak tinggi untuk mencegah pertambahan berat, pengambilan makanan kurang berkhasiat dan mengalami ketidakcernaan.
Mama Harus Bersahur
Apakah saya perlu makan sahur jika saya berpuasa semasa hamil?
Bersahur sangat penting jika anda berpuasa. Ia akan mengekalkan tahap tenaga anda pada waktu siang. Jangan tinggalkan sahur kerana ia dapat membekalkan anda dengan nutrien-nutrien penting dan tenaga yang anda perlukan untuk kekal cergas pada waktu siang. Ia juga akan mengurangkan simptom-simptom kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk.
Ini antara hidangan yang dicadangkan oleh Dr Muhammad Izzat untuk hidangan sahur Mama:
- Nasi beras perang dan roti bijian penuh dengan kari.
- Bijian berserat tinggi atau bran dengan susu skim rendah lemak.
- Buah-buahan seperti kurma dan pisang.
ELAKKAN: Minum teh semasa sahur kerana Teh boleh membuatkan anda mengalami dehidrasi.
Untuk anda yang suka minum kopi atau teh selepas berbuka, mungkin anda boleh gantikan dengan minuman yang lebih berkhasiat seperti:
- Jus buah-buahan segar.
- Smoothie yang mengandungi susu, yogurt, ais dan buah.
Pesan Dr Muhammad Izzat lagi, Mama yang hamil berpuasa harus mengamalkan tips-tips diatas semasa makan. Selepas berbuka, anda dinasihatkan untuk rehat seketika, kemudian bangun dan berjalan-jalan, serta lakukan aktiviti-aktiviti ringan.
Elakkan makan pada lewat malam sebelum tidur, tetapi pastikan anda bangun dan makan sahur. Minum air yang cukup selepas berbuka dan sebelum bersahur untuk mengelakkan dehidrasi.
Pesan Mama Siti
Apa-apa pun, Mama harus dapatkan nasihat doktor Mama sendiri. Periksa keadaan kesihatan badan dan kandungan, sesuai atau tidak untuk berpuasa. Jika doktor sahkan keadaan Mama mengizinkan, silakan berpuasa. Jika tidak, jangan paksa diri hingga boleh memudaratkan kesihatan! Bahaya untuk diri sendiri dan kandungan Mama nanti.