KelabMama

Cara-cara untuk Mendapatkan Perkhidmatan Pakej FPP (Full Paying Patient) Putrajaya

Kredit gambar: unimy.edu.my

Baru-baru ini, kecoh di media sosial kes viral seorang jururawat yang lancang berbahasa dan menyindir ibu muda yang sedang sakit hendak bersalin. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku di hospital kerajaan, namun Mama Siti rasa tidak adil untuk melabel dan menghukum semua penjawat awam yang bekerja di hospital kerajaan.

Sebenarnya, hospital-hospital kerajaan di negara ini tidaklah seteruk yang digambarkan. Malah, menurut berita yang dilaporkan NST pada awal tahun 2019, Malaysia menduduki tempat pertama dunia di dalam kategori perkhidmatan penjagaan kesihatan, termasuk hospital swasta dan kerajaan. 

Tahukah anda ada banyak hospital kerajaan kini yang menawarkan Pakej FPP (Full Paying Patient) untuk rakyat Malaysia? Pakej ini mula-mula diperkenalkan di Hospital Putrajaya pada tahun 2007 dan kemudiannya diperluas kepada kebanyakan hospital-hospital kerajaan yang lain bermula pada tahun 2015. 

Jadi, hari ini, Mama Siti hendak berkongsi maklumat tentang FPP Putrajaya. 

Apakah itu Skim FPP Putrajaya dan kelebihannya?

Skim FPP membolehkan pesakit mendapat rawatan daripada pakar perubatan pilihan pesakit sendiri serta mendapat beberapa kemudahan lain bergantung kepada sumber, bidang kepakaran dan kemudahan sedia ada di Hospital Putrajaya.

Berbeza dengan sistem yang digunakan untuk orang awam, pakar perubatan untuk pesakit yang datang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kebiasaannya mengikut jadual pakar dan tidak khusus kepada seseorang pesakit sahaja. 

Skim FPP ini juga menggunakan sistem giliran khas yang tidak memerlukan pesakit menggunakan sistem giliran dengan pengguna lain. Dengan itu, ia dapat mengurangkan waktu menunggu untuk mendapat rawatan. 

Semua pesakit yang mahu menggunakan perkhidmatan FPP ini akan dikenakan bayaran tertentu bagi setiap rawatan daripada pakar perubatan pada harga kompetitif.

Dengan kata lain, Skim FPP ini adalah satu skim seperti yang digunapakai oleh hospital swasta, tetapi di hospital kerajaan dengan harga yang berpatutan. Tidak seperti kebiasaan hospital kerajaan yang memberi subsidi kepada rakyat Malaysia yang tidak memilih untuk menggunakan skim ini. 

Rata-rata ramai orang yang telah menikmati kelebihan dan kebaikan skim FPP di Hospital Putrajaya ini sejak ia dilancarkan. Antara perkhidmatan yang popular dari FPP Hospital Putrajaya ini adalah pakej perkhidmatan pakar obstetrik dan ginekologi serta kemudahan bersalin seperti di hospital swasta dengan harga mampu milik. 

Namun, ini tidaklah bermakna semua perkhidmatan pesakit luar dan perkhidmatan pakar di hospital untuk orang awam ditamatkan. Fungsi hospital kerajaan untuk kemudahan awam masih menjadi fokus Hospital Putrajaya. 

Syarat-syarat dan Cara-cara Mendapatkan Rawatan Melalui Skim FPP Hospital Putrajaya

Semua orang, tidak kira warganegara atau bukan warganegara, pekerja kerajaan atau tidak,  layak untuk menggunakan pakej FPP ini. Syaratnya hanya perlu bersetuju untuk membayar semua caj perubatan hospital dan menandatangani Borang Persetujuan.

Anda dikehendaki menyediakan surat jaminan (guarantee letter, GL) dari syarikat insurans atau syarikat swasta yang berdaftar dengan KKM. Jika anda mempunyai GL, and tidak perlu membayar apa-apa deposit semasa mendaftar untuk pakej ini. 

Bagi pesakit yang tiada GL, anda akan dikenakan deposit minima RM3,000 atau 50% daripada anggaran keseluruhan caj rawatan yang mana lebih tinggi.

Anda juga dinasihati untuk mendapatkan rujukan dari mana-mana pegawai perubatan kerajaan atau pengamal perubatan swasta atau boleh juga hadir sendiri untuk mendapatkan rawatan. 

Wang bayaran deposit akan disemak setiap hari untuk memastikan bakinya tidak kurang daripada RM 1,000. Apabila berbaki RM1,000, Surat Peringatan untuk penambahan deposit akan dikeluarkan kepada pesakit atau waris dari masa ke semasa dan ia perlu ditambah dalam masa 24 jam dari tarikh Surat Peringatan dikeluarkan. 

Anda juda boleh Pesakit boleh menarik diri dari meneruskan pakej ini  jika anda mahu,  dengan menandatangani borang yang sedia ada bagi tujuan tersebut dan menjelaskan bayaran tertunggak.

Ramai yang telah menggunakan perkhidmatan FPP di Hospital Putrajaya dan kebanyakannya ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi.

Bagi pendapat Mama Siti sendiri,  ia satu inisiatif yang baik untuk majoriti penduduk di Malaysia yang masih mahukan perkhidmatan seperti di hospital swasta tapi ada sedikit kekangan untuk membayar dengan bayaran yang agak tinggi berbanding dengan bayaran yang dikenakan oleh FPP Putrajaya. 

Kredit: Jia Shin Lee Blog

Caj Bayaran Skim FPP Hospital Putrajaya

Harga yang dikenakan untuk konsultasi adalah sekitar RM100-RM180 sahaja, mengikut jenis konsultasi yang anda pilih. Bagi pesakit baru, anda akan dikenakan caj pendaftaran sebanyak RM10. 

Caj katil pula berbeza mengikut kelas, iaitu sekitar RM80 (untuk Kelas Pertama 4 katil) hingga RM300 sehari (untuk Kelas Eksekutif). Pesakit akan diberi menu makanan untuk Kelas Pertama. Harga caj harian untuk unit rawatan rapi berbeza (dan lebih tinggi sedikit) dari caj harian untuk katil standard.

Bagi caj dewan bedah, harga yang dikenakan ialah sebanyak RM250 untuk sejam penggunaannya. 

Jadi, bagi para suami yang inginkan perkhidmatan yang selesa untuk si isteri melahirkan anak anda, mungkin anda boleh mencuba pakej FPP yang disediakan di Hospital Putrajaya ini.