Perkembangan bayi 6 bulan merupakan aspek penting yang perlu dititikberatkan dan dipantau rapi oleh Mama untuk mengembangkan kemahiran motor. Memasuki usia 6 bulan juga, bayi Mama akan mengalami kenaikan berat badan sebanyak dua kali ganda dari berat semasa lahir manakala untuk ketinggian pula adalah kira-kira setengah inci setiap bulan.
Kalau Mama nak tahu, pada fasa ini juga terdapat beberapa perkara yang akan dan boleh dilakukan oleh bayi di mana ia melibatkan pencapaian dari segi sosial, komunikasi, kognitif dan banyak lagi. Bagi memahami dengan lebih jelas mengenai fasa perkembangan yang tepat bagi bayi yang berusia 6 bulan, Mama boleh ikuti panduan yang telah Mama Siti kongsikan di bawah ini.
Tahap Perkembangan Bayi 6 Bulan
Perkembangan Bayi 6 Bulan: Kemahiran Motor (Pergerakan Badan dan Kawalan Kepala)
Kemahiran motor merupakan pergerakan tubuh yang melibatkan tangan atau kaki atau keseluruhan badan dimana koordinasi dan keseimbangan badan menjadi penanda aras tahap kematangan perkembangan motor bayi Mama.
- Pada usia ini, bayi sudah mampu untuk duduk bersendirian dimana pada permulaan bayi akan menampung badan menggunakan tangan dan lama-kelamaan akan mula melepaskan tangan dan duduk tanpa memerlukan apa-apa sokongan.
- Bayi Mama juga akan mula berguling dari belakang ke perut dan sebaliknya. Malah, terdapat juga segelintir bayi yang mendorong diri mereka untuk meluncur ke hadapan dan belakang atau pun mengelilingi lantai dengan menggunakan kaedah gulingan ini.
- Mama juga akan melihat keadaan bayi di mana bayi Mama akan bangun dengan tangan dan lutut serta menggoyangkan badan mereka. Pergerakan tangan bayi juga semakin lancar seperti menghantar objek berlainan arah dari satu tangan ke tangan yang lain.
- Selain itu, refleks primitif bayi juga akan mula berkurang manakala refleks pelindung akan mula berkembang dimana bayi mula melindungi diri dari sesuatu yang akan terjadi padanya. Contohnya seperti jika terguling ke satu sisi, bayi akan meletakkan tangan ke tepi sebagai penahan untuk mengelakkannya dari terjatuh.
- Bayi sudah mampu mencapai mainan atau sesuatu objek yang telah menarik perhatiannya dalam keadaan tubuh yang tegak serta stabil dari perut ke atas.
- Si manja Mama juga akan mengambil mainan atau objek yang berdekatan dengannya dengan mengekalkan keseimbangan badan semasa kembali semula ke posisi duduk.
- Mampu mengenggam objek dengan kuat.
Perkembangan Bayi 6 Bulan: Kemahiran Sensori (Penglihatan, Rasa dan Pendengaran)
- Bayi anda akan mula memberi respon jika anda bermain peek-a-boo dengannya. Ruang rumah Mama akan mula dipenuhi bunyi gelak riang tawanya. Malah, mereka juga akan mula memahami “objek kekal” di mana jika objek tersebut dijatuhkan atau hilang dari pandangan mata, si manja Mama akan mula mencarinya.
- Mata dan tangan bayi akan bergerak mengikut barang permainan mereka.
- Penglihatan mereka juga semakin bertambah baik dan mampu bermain permainan yang lebih kompleks dan semakin mahir dalam menilai kelajuan dan arah sesuatu objek bergerak serta berupaya untuk menangkapnya dengan tepat.
- Bayi Mama juga akan menunjukkan reaksi gembira jika dia mendengar muzik yang disukainya.
- Si manja anda juga akan menoleh apabila anda memanggil namanya atau mencari punca dari arah mana bunyi tersebut datang.
- Bayi juga mula mengenali orang yang berada di sekelilingnya serta selalu berinteraksi dengannya.
- Malah, pada waktu ini juga bayi sudah boleh membezakan tekstur contohnya seperti permukaan yang kasar, licin, berbulu, lembut dan sebagainya.
Perkembangan Bayi 6 Bulan: Kemahiran Sosial (Emosi Dan Komunikasi)
- Bayi anda juga sudah pandai mengangkat tangan meminta dan merengek untuk didukung, diangkat, dipeluk dan sentiasa mahu berkepit dengan anda. Mereka juga akan menunjukkan bahasa tubuh jika mahu diletakkan dan sebagainya.
- Pada umur ini juga, memori bayi anda adalah sangat baik kerana mereka mampu untuk mengingat setiap perkara yang dilakukan selama beberapa hari sehingga 10 hari.
- Mama akan melihat pelbagai reaksi yang akan diberikan seperti menendang kaki, menjerit serta menggelengkan kepala jika anda mengajaknya untuk melakukan sebarang aktiviti yang dilakukan sebelum ini seperti mandi.
- Bayi anda juga akan mula meneroka dengan membuat sentuhan pada muka serta meniru setiap eksperesi muka yang anda tunjukkan.
Perkembangan Bayi 6 Bulan: Perkembangan Kognitif
Perkembangan kognitif merupakan keupayaan bayi untuk mengecam sesuatu objek, mengingat dan menggunakan bahasa. Perkembangan kognitif ini dapat dirangsang melalui tabiat yang anda terapkan serta alat mainan yang bersesuaian dengan bayi anda.
Untuk mahir dengannya, bayi memerlukan Mama dan Papa untuk menjayakan kemahiran kognitif di mana bayi akan belajar melalui penglihatannya serta gerak refleks.
- Mereka akan memahami kedudukan objek sama ada berada di tangan sendiri atau orang lain dan akan mula mencari objek tersebut.
- Membalas bunyi yang didengari dan meniru bunyi tersebut.
- Membuat bunyi vokal dengan menggunakan nada yang berbeza.
- Memberi reaksi kepada objek yang dipegang seperti menggoncang atau memukulnya.
- Mula merengek apabila anda meninggalkan mereka secara bersendirian.
- Memberi tindak balas terhadap emosi orang sekeliling.
- Mengulang perbuatan yang disukainya.
- Mula meneroka objek seperti memasukkannya dalam mulut atau menjilat.
Tips Untuk Merangsang Perkembangan Bayi
Menurut M. Michael Eisenfeld, MD, pakar pediatrik di All Children’s Hospital di St. Petersburg, Florida terdapat beberapa perkara yang boleh Mama lakukan untuk merangsang kemahiran bayi anda di mana ia mampu membantu bayi mencapai tahap perkembangan yang terbaik bagi umur mereka iaitu:
- Apabila anda melihat bayi anda mula berguling, bantu mereka meletakkan lengannya di sisi atau angkatnya ke atas kepala mereka supaya mereka boleh melakukannya sepenuhnya.
- Apabila bayi anda duduk, anda perlu beri dia sedikit sokongan dan kemudian perlahan-lahan jauhkan tangan anda dan berada dalam siap siaga untuk menangkapnya jika dia jatuh.
- Bahagian yang sukar, bagi sesetengah kanak-kanak, adalah kekal fokus pada apa yang ada di hadapan mereka, oleh itu anda perlu sediakan objek mainan yang menarik untuk membuatkan mereka kekal fokus padanya.
- Dr. Eisenfeld juga turut menyarankan supaya ibu bapa meletakkan bayi di perut untuk kekuatan dan kawalan otot mereka terutama pada hari pertama kelahiran. Anda boleh cuba baringkan bayi anda di atas perut semasa anda berehat di kerusi malas.
- Untuk merangsang perkembangan bayi, anda boleh meletakkan mainan di luar jangkauan bayi anda untuk menggalakkan capaian dan pergerakan. Anda juga boleh menggunakan mainan mudah contohnya seperti kompang untuk menggalakkan bayi anda membuat sentuhan dan juga pegangan.
- Selain itu, anda juga boleh berikan bayi anda sudu kayu untuk memukul sesuatu benda atau bekas bertutup untuk mengeluarkan bunyi atau dengan manik yang terdapat di dalamnya untuk digoncang.
- Boleh juga menggerakkan bola atau mainan di hadapannya untuk menggalakkan bayi mengikuti mainan dengan matanya, mencapai serta menggenggam mainan tersebut.
- Selain daripada itu, anda juga perlu melakukan aktiviti yang menenangkan dan lembut yang bertujuan untuk membangunkan kemahiran motor halus bayi anda seperti mengambil objek kecil atau meletakkan objek ke dalam baldi atau bekas bagi menggalakkan pergerakan jari kecil.
- Anda juga boleh tunjukkan buku atau gambar berwarna-warni di mana hal ini dapat membantu bayi anda menggerakkan matanya dan menguatkan daya ingatan.
Perkara Yang Mama Perlu Ambil Perhatian Mengenai Perkembangan Bayi
Mama perlu tahu, walaupun perkembangan bagi semua bayi adalah berbeza-beza, Mama perlu dapatkan nasihat pakar pediatrik dengan segera jika bayi anda yang berumur 6 bulan:
- Tidak menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa atau penjaga.
- Tidak memberi tindak balas kepada bunyi yang berdekatan.
- Tidak menunjukkan reaksi ketawa.
- Sukar untuk memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya.
- Tidak menghasilkan sebarang bunyi vokal.
- Nampak terlalu liut atau terlalu kaku dalam pergerakan.
- Tidak boleh berguling atau membuat pusingan ke mana-mana arah.
- Tidak cuba untuk mendapatkan objek yang berdekatan dengannya.
Sebagai ibu bapa, anda perlu tahu bahawa bayi anda sentiasa belajar mengenai sesuatu perkara dan objek berdasarkan keadaan dan orang yang berada di sekelilingnya. Bayi juga akan mengikuti setiap apa yang anda tunjukkan kepadanya serta meneroka kepelbagaian fungsi serta tarikan yang ada.
Oleh sebab itu, amat penting untuk sentiasa menerapkan nilai-nilai positif dan memberikan mainan yang banyak manfaat untuk perkembangan mereka.
Diharap dengan perkongsian ini ia dapat membantu anda memahami dengan lebih jelas mengenai perkembangan bayi anda. Jom baca perkembangan bayi 5 bulan pula!
Ketahui juga mengenai penjagaan bayi dan tips keibubapaan yang lain di SINI!