Bagi setiap ibu yang bekerja pasti sangat menghargai waktu cuti berpantang selama 2-3 bulan yang diberikan oleh majikan. Waktu ini dilalui penuh bermakna untuk luangkan lebih masa dan merapi diri ibu.
Yang pastinya, Mama Siti yakin, bila tiba untuk mula kerja semula, pasti naluri ibu yang penuh kasih-sayang pada si bayi itu terasa amat berat untuk meninggalkannya, walaupun hanya sementara.
Yakinlah ibu, setiap perkara itu aturan dari Yang Maha Mengatur, pasti ada hikmahnya. Bukanlah bermakna terpaksa berpisah sementara ibu pergi bekerja itu membolehkan ibu berlepas tangan dalam memantau dan mengawasi perkembangan si bayi.
Anak comel mama papa itu semakin hari semakin membesar dan semakin banyak perkembangan fizikal, mental, sensori & kognitifnya yang akan dilalui.
Nak tahu bagaimana dan apakah perkembangan bayi pada usia 4 bulan? Jom baca penerangan berikut.
Perkembangan Bayi 4 Bulan Dari Segi Fizikal, Kognitif & Bahasa Badan
Perkembangan Dari Segi Fizikal
Apabila bayi mencecah 4 bulan, beratnya akan bertambah dua kali ganda berbanding dengan berat kelahirannya. Secara purata, berat bayi akan bertambah dalam lebih kurang 500g hingga 550g, dan panjangnya pula bertambah dalam 2cm.
Tumbesaran bayi bergantung kepada be erapa faktor termasuklah faktor genetik, pengambilan susu bayi, hormon tumbesaran bayi dan sebagainya. Mama papa dicadangkan untuk berbincang dengan doktor bayi anda berkenaan kadar normal khusus untuk si manja anda.
Bagi perkembangan motor, bayi berusia 4 tahun sudah mula untuk:
i. Menegakkan kepala tanpa sokongan luar
ii. Menggapai dan menggoyangkan alatan permainan
iii. Memasukkan barang ke dalam mulut
iv. Menolak lengan ke bawah dengan kuat bila diletakkan dalam keadaan tertiarap
v. Berpusing ke kiri dan kanan hingga bergolek apabila tertiarap
Perkembangan Dari Segi Sensori & Kognitif
Bila bayi dah menjengah usia 4 bulan, dia sudah mula melontarkan senyuman manis yang pasti akan menawan setiap mata yang memandang. Bayi juga sangat gemar bermain dengan orang keliling yang membuat mimik muka, malah mampu mengajuk senyuman dan berkerut dahi seperti orang dewasa.
Bayi yang sedang menangis sudah bijak untuk dipujuk serta akan diam dari menangis apabila dipujuk. Bayi juga akan mula melambai-lambai dan menggerak-gerakkan kakinya apabila sedang bergalak dan teruja.
Si bayi juga sudah dapat melihat dengan lebih jelas dan akan memusingkan kepala ke kiri dan kanan untuk melihat sesuatu yang menarik perhatiannya.
Perkembangan Dari Segi Pertuturan & Bahasa Badan
Bayi berusia 4 bulan ini seronok dilayan bermain acu-cak (atau peekaboo) kerana mereka mudah terhibur dan akan mengekek ketawa kegembiraan. Dia juga sudah mula mengeluarkan bunyi-bunyi vokal seperti ‘ooo’ atau ‘aaaa’ seakan-akan ingin diajak berbual.
Bayi sudah belajar untuk respon pada suara yang memanggilnya, serta akan lebih jelas dalam menghasilkan beberapa jenis tangisan untuk membezakan dia menangis kerana lapar, tidak selesa atau pun sakit.
Tips Penjagaan & Berinteraksi Dengan Baik Bagi Bayi 4 Bulan
Bagi bayi 4 bulan anda membesarkan dengan sihat dan cerdas, mama papa digalakkan untuk mendukung, bersembang dan menyanyi dengan bayi anda. Sentiasa ceria apabila berada di samping bayi supaya dia belajar untuk meniru mimik gembira orang-orang sekelilingnya.
Gunakan alat-alat permainan untuk merangsang semua deria tubuh badannya, dan letakkan alat-alat permainan tersebut berdekatan dengan bayi supaya dia akan cuba untuk menggapai dan menendangnya sekaligus mengaktifkan otot-otot tangan dan kaki. Beri alat-alat permainan yang menghasilkan bunyi (rattle toys) untuk bayi pegang dan genggam kuat.
Waktu ini juga waktu paling sesuai untuk mula membaca buku-buku cerita atau menyelak buku-buku bergambar yang besar dan warni-warni dengan bayi bagi merangsang sel-sel otaknya.
Amaran Yang Perlu Mama Papa Ambil Tahu Untuk Bayi 4 Bulan
Semasa rutin pemeriksaan dengan doktor, bayi 4 bulan akan menerima vaksin pneumokokal dos pertama. Jika bayi mama papa demam, lemah, tidak mahu minum susu, sukar untuk tidur, cirit-birit atau muntah, pastikan mama papa pergi dapatkan rawatan susulan di klinik berdekatan.
Ibu digalakkan untuk terus menyusu badan kerana ia akan menyumbang kepada penghasilan antibodi dan enzim badan yang dapat melindungi bayi dari penyakit. Bayi 4 bulan dan 5 bulan masih belum boleh diberi makanan pejal dan masih bergantung sepenuhnya dengan susu dan air kosong.
Banyakkanlah berdoa agar si anak sentiasa sihat dan membesar tanpa mendapat gejala-gejala yang tidak diingini.