Perkara yang membatalkan solat adalah salah satu ilmu yang wajib diketahui bagi semua muslim mukallaf dan sudah akil baligh untuk menyempurnakan agama seseorang.
Tapi Mama Siti nak ingatkan siap-siap, solat yang batal tidak sama dengan solat yang tidak sah, walaupun kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu tidak dikira sebagai telah menunaikan solat walaupun telah selesai melakukan semua pergerakan solat.
Dan sekiranya tidak dilakukan semula walaupun telah menyedari solatnya tidak sah atau batal, dikira berdosa kerana telah meninggalkan solat.
Solat yang batal adalah kerana berlaku sesuatu perkara yang membatalkan solat manakala solat tidak sah adalah kerana meninggalkan syarat-syarat sah solat.
Mungkin kebanyakan daripada kita termasuk Mama Siti rasa macam ilmu fardhu ain yang dipelajari telah mencukupi, tapi Mama Papa masih ingat lagi tak kalau ditanya anak-anak perkara-perkara yang membatalkan solat?
Nak ulangkaji? tak perlu cari laman web lain, teruskan membaca untuk ingat kembali ilmu yang pernah dipelajari di kelas agama bertahun-tahun lepas!
27 Perkara Yang Membatalkan Solat
1. Berlaku Hadas Kecil
Hadas kecil adalah apabila keluar sesuatu dari laluan qubul atau dubur dan tidak perlu mandi wajib seperti:
- Kentut
- Air Kencing
- Air Mazi
- Darah (Kecuali darah haid dan nifas)
- Keputihan
- Wadi
2. Berlaku Hadas Besar
Hadas besar adalah perkara yang memerlukan untuk mandi wajib seperti:
- Haid
- Nifas
- Berjunub
- Keluar Mani
3. Bercakap Yang Disengajakan Walaupun Sedikit
Berkata-kata dengan sengaja yang selain daripada al-quran, zikir atau doa dua huruf dan ke atas walau tidak difahami, atau satu huruf yang difahami maknanya.
4. Melakukan Pergerakan Besar
Gerakan sebanyak 3 kali dan ke atas secara berturut-turut, dan gerakan tersebut bukan daripada perbuatan solat (anggota besar).
5. Makan dan Minum
- Makan: Seperti menelan sebutir nasi di dalam mulutnya.
- Seperti: Seperti menelan air liur yang masih lagi terasa manisnya.
6. Ketawa Atau Menangis Dengan Kuat
Seperti ketawa sehingga terkeluar suara yang mengandungi dua huruf, begitu juga menangis.
7. Murtad
Keluar daripada agama islam.
8. Hilang Akal
Hilang akal dengan sebab gila atau mabuk, sakit, sawan, pengsan atau pitam.
9. Berpaling Daripada Kiblat
Berpaling dari arah kiblat kerana apa pun sebab akan membatalkan solat.
10. Membiarkan Aurat Terbuka
Terbuka aurat walaupun tidak sengaja seperti ditiup angin. Tetapi sekiranya ditutup serta merta, maka tidaklah terbatal.
11. Menjadi Makmum Kepada Imam Yang Tidak Sah Solatnya
Solat berimamkan orang yang tidak cukup syarat sah solat.
12. Mendahului atau Tertinggal Dua Rukun Fi’li Daripada Imam Dengan Sengaja
Rukun fi’li adalah rukun perbuatan seberti berdiri, ruku’, sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya.
13. Mengulangi Takbiratulihram Untuk Kali Yang Kedua Dengan Niat Iftitah
Sama juga seperti mengulangi rukun yang tidak disuruh untuk ulang.
14. Mendapat Pakaian Ketika Sedang Solat
Sekiranya seseorang itu tiada pakaian, serta tiada pilihan selain bersolat tanpa pakaian yang menutup aurat, lalu ada orang memberikan pakaian yang menutup aurat kepadanya, maka solatnya terbatal dan perlu mengulangi semula solat.
15. Was-was Dalam Solat
Waswas dengan rukun solat, syarat solat atau kaifiat solat, sama ada dilakukan atau tidak boleh membatalkan solat.
16. Berubah Niat Kepada Solat Yang Lain
Umpamanya dia Solat Fardu Zohor kemudian ditukar niatnya kepada Solat Sunat Zohor maka batal solatnya. Tetapi kalau berniat Solat Sunat Mutlak tidaklah batal.
17. Niat Keluar Atau Menamatkan Solat Sebelum Menyempurnakannya
Niat ini dikenali sebagai niat mufaraqah untuk berhenti mengikuti imam dan hanya harus dilakukan dalam beberapa situasi.
18. Berazam Untuk Menghentikan Solat
Seperti tidak tahan membuang hadas.
19. Was-Was Sama Ada Hendak Menghentikan Solat Atau Tidak
Seperti sangat risau atau teringat kehilangan barang dan sebagainya.
20. Meninggalkan Rukun Solat Dengan Sengaja
Rukun solat adalah perkara yang wajib dilakukan. Rujuk panduan rukun solat ini.
21. Mengulangi Rukun Fi’li Dengan Sengaja.
Seperti membaca surah Al-Fatihah 2 kali dengan sengaja.
22. Mendahului Rukun-Rukun Solat
Tidak mengikuti urutan yang sepatutnya. Biasanya terjadi bagi orang yang mengantuk.
23. Terbuka Khuf
Terbuka sarung kaki kulit (khuf) hingga menampakkan kaki bagi orang yang berwuduk dengan menyapu khuf.
24. Waktu Yang Mengharuskan Orang Yang Memakai Khuf Menyapunya Ketika Wuduk Telah Tamat
25. Sengaja Memanjangkan Rukun Yang Pendek
Contohnya seperti berada dalam keadaan iktidal dalam masa yang sama lamanya dengan masa yang diambil untuk membaca al-Fatihah.
26. Sengaja Memberi Salam Sebelum Sempurna Solat
27. Kembali Duduk Selepas Bangun Berdiri
Contohnya selepas bangun daripada tasyahud awal, dia duduk kembali dalam keadaan dia mengetahui tegahan melakukannya.
Perbuatan ini membatalkan solat kerana ia menambah rukun duduk.
Untuk lebih banyak panduan amal ibadat dan doa klik SINI.