Bersunat adalah satu prosedur yang biasa dilakukan di kalangan kanak-kanak, namun bagi anak yang mengidap hemofilia, proses ini memerlukan perhatian yang lebih khusus.
Hemofilia adalah gangguan pembekuan darah yang menyebabkan darah sukar membeku, dan ini boleh menyebabkan komplikasi serius semasa dan selepas bersunat.
Oleh itu, sebagai Mama Papa, penting untuk memahami perbezaan proses bersunat bagi anak hemofilia berbanding kanak-kanak lain.
Prosedur ini memerlukan persediaan dan perhatian lebih daripada segi pemantauan kesihatan serta rawatan selepas bersunat.
Bersama Pakar Paediatrik, Dr. Rahmah Binti Yunus dari Aurelius Hospital – Alor Setar, akan kongsikan mengenai prosedur ini dan memberikan panduan untuk memastikan proses bersunat anak hemofilia berjalan dengan selamat dan lancar tanpa merisaukan Mama Papa.
1. Apakah risiko utama bagi kanak-kanak mengidap hemofilia yang akan bersunat?
Sebelum kita membincangkan tentang risiko, pertama sekali kita perlu faham apa itu penyakit hemofilia.
Hemofilia ialah sejenis penyakit di mana darah penghidap tidak membeku secara normal kerana kekurangan faktor atau agen pembekuan darah. Ia selalu nya berlaku pada bayi lelaki berbanding bayi perempuan.
Ia bukan sejenis penyakit berjangkit. 70% daripada penghidap hemofilia adalah disebabkan oleh keturunan. Namun 30% daripada penghidap tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap hemofilia.
Disebabkan kekurangan faktor (protein) pembekuan darah penghidap hemofilia,mempunyai risiko pendarahan yang lebih berpanjangan dan lebih serius sekiranya mengalami kecederaan berbanding dengan orang biasa yang darahnya boleh membeku secara normal .
Risiko ini juga boleh berlaku semasa prosedur bersunat atau berkhatan.
2. Bagaimana kanak-kanak mengidap hemofilia ini mempengaruhi proses bersunat berbanding dengan kanak-kanak yang lain?
Mengikut Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke -77 , penghidap hemofilia tidak diwajibkan untuk bersunat kerana prosedur ini boleh menyebabkan pendarahan yang boleh memudaratkan nyawa.
Bersunat bagi kanak-kanak lelaki yang merupakan penghidap hemofilia tidak boleh dianggap sebagai satu prosedur yang kecil dan hanya boleh dilakukan dengan langkah-langkah penjagaan yang mencukupi oleh pakar bedah dengan kerjasama pakar darah atau hematology.
3. Adakah terdapat had umur tertentu bagi kanak-kanak mengidap hemofilia ini untuk bersunat?
Tiada had umur tertentu. Namun peningkatan usia akan meningkatkan risiko kehadiran inhibitor. Inhibitor adalah salah satu komplikasi penyakit hemofilia yang paling bahaya dan serius.
Kondisi ini terjadi ketika antibodi atau sistem pertahanan badan menyerang faktor atau agen pembekuan darah .
Pada kondisi normal, antibodi memang bekerja untuk melindungi tubuh dari ancaman luar seperti jangkitan virus atau bakteria.
Namun bagi penghidap hemofilia yang semakin parah, antibodi ini akan berbalik menyerang factor atau agen pembekuan darah sehingga menggangu keberkesanan rawatan penggantian faktor pembekuan (factor replacement therapy) dan menyebabkan pendarahan yang semakin sukar diatasi.
4. Apakah langkah-langkah persediaan khas yang perlu diambil oleh Mama Papa sebelum prosedur bersunat?
Sekiranya Mama Papa atau pesakit berhasrat juga untuk berkhatan, mereka hendaklah mendapatkan nasihat daripada doktor pakar.
5. Adakah ujian tambahan seperti ujian pembekuan darah diperlukan sebelum prosedur bersunat dilakukan?
Sebelum berkhatan doktor akan mengambil sejarah kesihatan dan melakukan pemeriksaan yang lengkap dan teliti. Doktor juga akan melakukan beberapa ujian darah bagi mengenal pasti tahap hemofilia pesakit dan kehadiran inhibitor.
Terdapat tiga tahap hemofilia iaitu ringan, sederhana dan teruk, bergantung pada peratus aktiviti faktor pembekuan darah yang terlibat. Semakin kurang peratusan aktiviti, semakin tinggi risiko untuk mendapat pendarahan yang serius.
Kehadiran inhibitor pula seperti yang diterangkan diatas akan mengangu keberkesanan rawatan dan meningkatkan lagi risiko pendarahan yang sukar diatasi kepada penghidap hemofilia.
Selepas pemeriksaan yang rapi, doktor akan memberikan saranan yang sewajarnya kepada Mama Papa.
6. Apakah kaedah bersunat yang paling selamat untuk anak dengan hemofilia? (Contoh: laser, clamp, atau tradisional)
Kaedah pembedahan yang selamat dan biasa dilakukan adalah pembedahan menggunakan teknik khas dan alatan diathermy. Kaedah ini dapat mengurangkan risiko pendarahan.
7. Adakah prosedur bersunat perlu dilakukan di hospital atau boleh sahaja dilakukan di klinik biasa?
Prosedur berkhatan perlu dilakukan di hospital yang mempunyai fasiliti sebagai haemophilia care centre. Prosedur ini memerlukan persedian yang rapi dengan kerjasama doktor pakar bedah (surgeon) dan doktor pakar darah (hematologist).
Sebelum prosedur berkhatan penghidap hemofilia akan diberikan faktor pembeku darah dan ubatan seperti tranxenemic acid.
Pemberian faktor pembeku darah juga akan dilanjutkan selama prosedur and beberapa hari setelah prosedur. Penggunaan fibrin glue semasa prosedur juga dapat mengurangkan risiko pendarahan.
Namun Mama Papa perlu faham, risiko pendarahan masih berlaku walaupun pelbagai langkah pencegahan telah diambil.
8. Adakah anak perlu dibius sepenuhnya atau hanya separuh sahaja sudah mencukupi?
Kebiasaannya, pesakit kanak-kanak memerlukan bius penuh.
9. Apakah kemungkinan komplikasi yang boleh berlaku semasa atau selepas prosedur?
Komplikasi yang boleh berlaku dapat dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama adalah komplikasi disebabkan prosedur bius penuh seperti loya, muntah, jangkitan saluran pernafasan dan sebagainya.
Manakala bahagian kedua pula adalah komplikasi prosedur sunat itu sendiri termasuklah pendarahan yang serius, jangkitan kuman pada bahagian luka, hematoma (ketulan darah pada tempat prosedur) dan risiko pendarahan berpanjangan.
Mama Papa perlu segera mendapatkan bantuan di hospital berdekatan.
10. Adakah terdapat langkah kecemasan yang Mama Papa perlu tahu jika berlaku pendarahan secara tiba-tiba di rumah?
Mama Papa perlu segera mendapatkan bantuan di hospital berdekatan.
11. Apakah rutin penjagaan luka bersunat yang sesuai untuk kanak-kanak hemofilia?
Mama Papa perlu memastikan luka bersunat sentiasa dalam keadaan bersih dan kering serta mengikut saranan saranan doktor yang lain seperti menyapu krim antibiotik di bahagian luka.
12. Adakah Mama Papa perlu menghadkan aktiviti fizikal kepada anak-anak selepas bersunat, dan untuk tempoh berapa lama?
Aktiviti fizikal perlu dihadkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu sehingga luka sembuh sepenuhnya.
13. Adakah terdapat diet khas yang perlu diikuti selepas prosedur untuk mempercepatkan penyembuhan?
Tiada diet khas yang perlu diikuti. Namun pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat perlu bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka.
Ikuti Perkongsian Pakar yang kongsikan pelbagai maklumat penting mengenai kesihatan Mama dan anak-anak di SINI.