Kanser serviks kekal sebagai isu kesihatan yang signifikan bagi wanita di seluruh dunia, dengan lebih 660,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun.
Di Malaysia, ia merupakan kanser keempat paling kerap dihidapi wanita, dengan 1,740 kes baharu didiagnos setiap tahun.
Walaupun statistik ini membimbangkan, masih ada sinar harapan. Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Serviks, ia penting untuk menekankan pengenalan vaksin Human Papillomavirus (HPV), yang telah merevolusikan pencegahan kanser serviks serta menawarkan penyelesaian yang berupaya untuk melindungi kesihatan wanita untuk generasi kini dan akan datang.
Dr Nur Adila Mokhtar, Pakar Perunding Onkologi Klinikal di OncoCare Cancer Centre Malaysia, berkongsi, “Vaksin HPV kini membawa transformasi terhadap landskap kesihatan wanita dengan menyediakan jalan untuk mengurangkan beban kanser serviks dengan ketara, di samping melindungi generasi akan datang.”
Hubungan Antara HPV dan Kanser Serviks
HPV ialah penyebab utama kanser serviks, dengan jenis 16 dan 18 menyumbang kepada 70% kes di seluruh dunia.
“Kebanyakan individu yang aktif secara seksual akan dijangkiti HPV pada suatu ketika dalam hidup mereka, tetapi tidak semua jangkitan akan berterusan,” jelas Dr Nur Adila. “Namun, strain berisiko tinggi boleh menyebabkan perubahan sel yang tidak normal pada serviks, di mana jika tidak dirawat, berpotensi berkembang menjadi kanser.”
Memahami hubungan antara HPV dan kanser serviks telah membawa kepada kemajuan dalam strategi pencegahan, khususnya melalui vaksinasi.
“Lebih awal kita dapat mengesan dan mencegah jangkitan HPV, lebih besar lagi peluang kita untuk menghentikan kanser serviks daripada terus berkembang,” tambah Dr Nur Adila.
Peranan Kritikal Vaksinasi Awal
Vaksinasi adalah paling berkesan apabila diberikan sebelum individu terdedah kepada HPV, sebaiknya pada usia 11 hingga 12 tahun. “Pada usia ini, sistem imun berada dalam keadaan optimum untuk bertindak balas dengan berkesan, memberikan perlindungan jangka panjang,” kata Dr Nur Adila.
Ia juga sangat bermanfaat untuk golongan dewasa muda sehingga usia 26 tahun yang terlepas peluang untuk menerima vaksin lebih awal. Namun begitu, bagi individu berusia 27 hingga 45 tahun, vaksinasi masih boleh menawarkan perlindungan bergantung pada tahap pendedahan sebelumnya.
Vaksin HPV dapat mengurangkan kadar kanser serviks sehingga 90% apabila diberikan pada peringkat awal.
Malah, vaksin ini juga menawarkan perlindungan terhadap kanser lain yang berkaitan dengan HPV, termasuk kanser vulva dan faraj, menjadikannya sebuah komponen penting dalam penjagaan kesihatan pencegahan.
Kepentingan Saringan dan Pengesanan Awal
Walaupun vaksin HPV besar keupayaannya, saringan kanser serviks secara berkala tetap penting. “Wanita perlu memulakan saringan pada usia 21 tahun, tanpa mengira status vaksinasi mereka,” nasihat Dr Nur Adila.
Pap smear, yang disarankan setiap tiga tahun untuk wanita berusia 21 hingga 29 tahun, dapat mengesan perubahan awal pada sel serviks. Bagi wanita berusia 30 tahun ke atas pula, gabungan pap smear dan ujian HPV memberikan ketepatan yang lebih tinggi.
Oleh itu, Dr Nur Adila menekankan peranan vaksinasi dan saringan yang saling melengkapi satu sama lain. “Kedua-duanya bersama-sama membentuk pertahanan yang kukuh terhadap kanser serviks,” katanya.
Mengenali Tanda Amaran dan Gejala
Lazimnya, kanser serviks tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal, sekaligus menjadikan saringan berkala amatlah penting.
Walau bagaimanapun, salah satu tanda amaran ialah pendarahan faraj yang tidak normal, yang mungkin berlaku di antara haid, selepas hubungan intim, atau selepas menopaus.
Selain itu, wanita juga perlu peka terhadap keputihan yang luar biasa, seperti berair, berwarna merah jambu, atau berbau tidak menyenangkan, serta kesakitan pelvis yang berterusan atau ketidakselesaan semasa hubungan intim.
Malah, perubahan dalam aliran haid serta bengkak atau sakit kaki juga boleh menandakan kanser yang berada di tahap yang lanjut.
“Justeru, kesedaran tentang gejala-gejala ini dan mendapatkan nasihat perubatan pada waktu yang tepat mampu menyelamatkan nyawa,” tekan Dr Nur Adila.
Menangani Anggapan Salah: Meleraikan Kekeliruan
Walaupun keberkesanan vaksin HPV telah terbukti, beberapa anggapan yang salah masih berlegar dalam kalangan masyarakat. Dr Nur Adila menjelaskan beberapa mitos yang paling kerap didengar:
“Vaksin HPV hanya perlu untuk golongan muda.”
Vaksin ini paling berkesan apabila diberikan sebelum seseorang memulakan aktiviti seksual. Walau bagaimanapun, ia masih memberi manfaat kepada golongan dewasa muda sehingga usia 26 tahun. Malah, individu berusia 27 hingga 45 tahun juga boleh mendapat manfaat daripada vaksin ini, terutamanya jika mereka belum terdedah kepada semua strain berisiko tinggi.
“Vaksin HPV tidak dapat melindungi diri daripada semua jenis HPV.”
Walaupun vaksin ini tidak melindungi diri daripada semua jenis HPV, ia memberikan perlindungan daripada jenis-jenis berisiko tinggi yang paling kerap dikaitkan dengan kanser serviks, terutamanya jenis 16 dan 18.
“Vaksin HPV mempunyai kesan sampingan yang serius.”
Seperti semua vaksin, vaksin HPV mungkin menyebabkan kesan sampingan ringan, seperti rasa sakit di tempat suntikan atau demam ringan. Walau bagaimanapun, kesan sampingan serius amat jarang berlaku, dan manfaat vaksinasi jauh lebih banyak daripada risiko-risiko kecil ini.
“Pap smear sudah mencukupi – vaksin tidak diperlukan lagi.”
Pap smear dan vaksinasi HPV mempunyai peranan yang berbeza dalam pencegahan. Pap smear bertujuan untuk mengesan perubahan pra-kanser pada serviks, manakala vaksinasi mencegah jangkitan awal oleh strain HPV berisiko tinggi. Apabila digabungkan, kedua-duanya menyediakan strategi pencegahan kanser serviks yang menyeluruh.
Peranan Lelaki dalam Pencegahan HPV
Lelaki memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pencegahan HPV. Dengan memahami kesan HPV, lelaki boleh menggalakkan vaksinasi dalam kalangan pasangan, ahli keluarga, dan rakan-rakan mereka. Sementara itu, amalan seks selamat, termasuklah penggunaan kondom, dapat membantu mengurangkan risiko penularan.
Dr Nur Adila berkongsi, “Lelaki juga boleh menyokong kesedaran tentang HPV dengan menyertai kempen pendidikan dan menormalisasikan perbincangan mengenai kesihatan seksual.” Dengan mengutamakan kesihatan mereka sendiri melalui pemeriksaan kesihatan berkala dan vaksinasi, lelaki dapat menjadi contoh serta menyumbang kepada budaya penjagaan kesihatan yang proaktif.
Kemajuan dalam Vaksinasi dan Saringan HPV
Kemajuan terkini dalam pencegahan kanser serviks memberi tumpuan kepada meningkatkan keberkesanan vaksin HPV, memperbaiki kaedah saringan, dan menyediakan penjagaan yang lebih diperibadikan.
Vaksin baharu kini direka untuk melindungi daripada lebih banyak strain HPV, termasuk yang berkaitan dengan kanser kepala dan leher, sambil mengurangkan bilangan dos yang diperlukan.
Pengenalan vaksin HPV 9-valen (Gardasil 9) telah memperluaskan perlindungan kepada sembilan jenis HPV, termasuk tujuh strain berisiko tinggi. “Perlindungan yang lebih luas ini meningkatkan keberkesanan vaksin dalam mencegah pelbagai jenis kanser yang berkaitan dengan HPV,” kata Dr Nur Adila.
Penyelidikan sedang dijalankan untuk membangunkan strategi baharu bagi meningkatkan akses kepada vaksin dan menambah baik keberkesanannya.
Dr Nur Adila turut berkongsi inovasi terkini dalam teknologi saringan, seperti kit pengumpulan sendiri untuk ujian HPV dan sitologi berasaskan cecair – sebuah perkembangan yang memberangsangkan.
Justeru, perkembangan ini berpotensi menjadikan saringan lebih selesa dan mudah diakses oleh wanita, terutamanya mereka di kawasan luar bandar atau yang kurang mendapat perkhidmatan.
Di waktu ini, vaksin terapeutik sedang dikaji untuk merawat jangkitan yang sedia ada dan lesi pra-kanser. Penyelidikan tentang penanda bio genetik juga berpotensi membantu memperibadikan strategi pencegahan dengan mengenal pasti wanita yang mempunyai risiko lebih tinggi.
“Kemajuan ini, serta tahap kesedaran orang ramai yang semakin meningkat, sekaligus berpotensi mengurangkan kadar kanser serviks secara signifikan di seluruh dunia,” kata Dr Nur Adila.
Seruan untuk Bertindak
Perjuangan melawan kanser serviks bertumpu kepada pencegahan, dengan vaksin HPV memainkan peranan penting dalam usaha ini.
Dr Nur Adila menekankan bahawa mengamalkan gaya hidup sihat, seperti menghadiri pemeriksaan ginekologi secara berkala, mengamalkan seks selamat, mengelakkan tabiat merokok, dan menjaga kesihatan asas, boleh mengurangkan risiko kanser serviks dan kanser lain yang berkaitan dengan HPV, di samping meningkatkan kesejahteraan secara menyeluruh.
Apabila digabungkan dengan saringan berkala, vaksinasi menawarkan pendekatan paling berkesan untuk mencegah kanser serviks dan meningkatkan hasil kesihatan wanita.
Jika anda adalah seorang ibu bapa atau tergolong sebagai dewasa muda, inilah masa untuk bertindak. Dapatkan vaksin, ambil tahu maklumat semasa, dan galakkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama.
Bersama-sama, kita dapat mengurangkan insiden kanser serviks dengan ketara dan melindungi generasi wanita akan datang daripada penyakit yang boleh dicegah ini.
Untuk maklumat lanjut, layari https://oncocare.my/.
Mama Papa, dapatkan lebih banyak informasi keibubapaan di SINI.