KelabMama

Bagaimana Bahayanya Penyakit Kancing Gigi Pada Si Manja?

kancing gigi

Mama pernah dengar tentang penyakit Tetanus? Penyakit kancing gigi? Untuk pengetahuan Mama penyakit Tetanus dipanggil Penyakit Kencing Gigi oleh rakyat Malaysia. Baru-baru ini, Dr Hana Hadzrami kongsikan bagaimana bahayanya Penyakit Kencing Gigi jika dihidapi kanak-kanak akibat tidak divaksinkan!

Menurut beliau, seorang kanak-kanak di Amerika Syarikat telah dirawat selama lebih 3 bulan di hospital akibat tidak divaksinkan. Kanak-kanak tersebut juga dikatakan telah dirawat di ICU selama 2 bulan kerana Tetanus, sepanjang dia berada di hospital. Lebih menyedihkan lagi, kos rawatan kanak-kanak tersebut melebihi RM3.2 juta atau USD800,000, berbanding kos vaksinasi yang tak sampai RM100!

Baru-baru ini di US seorang kanak-kanak malang yang tak divaksinkan dirawat selama lebih 3 bulan di hospital termasuk 2 bulan di ICU akibat tetanus.

Dr Hana Hadzrami

Apakah Penyakit Tetanus?

Menurut perkongsian Dr Hana Hadzrami, penyakit Tetanus adalah penyakit yang sangat mengerikan. Ia berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria Clostridium Tetani. Bakteria ini sering terdapat dari tanah, objek asing dan tisu mati pada luka. Jangkitan bakteria akan melepaskan toksin yang kemudian dibawa oleh saraf ke saraf tunjang (spinal cord) dan batang otak (brain stem).

Toksin ini menghalang saraf dari menghantar isyarat otot untuk mengendur. Lalu otot yang yang terlibat akan berada dalam keadaan kontraksi (menegang) secara berpanjangan.

Gambar sekadar hiasan.

Bagaimana Rasa Sakit Tetanus?

Nak tahu rasa kesakitannya? Bagi anda yang pernah mengalami kejang otot atau simpul biawak; bayangkan kekejangan itu terjadi serentak pada seluruh badan bermula dari muka, leher, dada, perut dan seluruh tangan dan kaki. Dan ia berterusan selama berjam-jam. Berulang-ulang hingga beberapa minggu. Sekarang bayangkan pula kejang otot itu berlaku terlalu kuat sehingga menyebabkan anda tak mampu bernafas dan patah tulang. Allahu…

Tanda-tanda Penyakit Kancing Gigi

Menurut laman Kementerian Kesihatan Malaysia, berikut merupakan tanda-tanda penyakit kancing gigi/tetanus:

Kes Tetanus Pesakit Dewasa

Beberapa tahun dahulu saya saksikan sendiri kes tetanus pesakit dewasa iaitu pekerja asing. Beliau dirawat di ICU selama 2 bulan dan memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Menurut Dr Hana Hadzrami, pesakit yang mengalami Tetanus harus diisolasi di sebuah bilik yang gelap dan sunyi. Hal ini kerana pesakit Tetanus tidak boleh terdedah kepada sebarang bunyi bising atau lintasan cahaya. Dr Hana Hadzrami berkata,

Beliau terpaksa di isolasi di bilik belakang yang gelap dan sunyi. Ini kerana sedikit bunyi bising atau lintasan cahaya akan merangsang kekejangan otot (muscle spasm), gangguan tekanan darah dan kesukaran bernafas hingga sukar mesin pernafasan membantu pernafasannya. Paras oksigen dan tekanan darah beliau akan turun dengan lajunya dan amat sukar untuk menaikkannya semula.

Dr Hana Hadzrami

Pendek kata nak merawat pun sangat siksa. Apalagi yang menanggungnya.

Susahnya Merawat Kancing Gigi

Rawatan tetanus bukan mudah ya. Saat bakteria dah lepaskan toksin, antibiotik pun dah terlambat. Antibiotik hanya berkesan untuk bakteria yang masih hidup. Pemberian antitoksin pula hanya berkesan pada toksin yang bebas dan belum melekat pada saraf.

Jadi rawatan sebenar adalah supportif iaitu menyokong organ yang terlibat (paru-paru, jantung, otot, usus) seperti mesin bantuan pernafasan, ubat sedatif, ubat saraf, pemakanan enteral dan menghalang jangkitan bakteria sekunder. Kadar kematian jika tidak mendapat rawatan adalah 100%.

Dalam perkongsian Dr Hana Hadzrami, Tetanus atau kancing gigi ini hanya akan sembuh apabila terminal saraf baru tumbuh menggantikan saraf yang telah diserang toksin. Tetapi, ia hanya akan terjadi selepas beberapa bulan.

Bagaimana untuk Mengelak Tetanus/Kancing Gigi?

Vaksin lah jawapannya! Nak halang penyakit kancing gigi sangat mudah sebenarnya. Ambil saja imunisasi bagi kanak-kanak dan booster bagi dewasa setiap 10 tahun terutama mereka yang berisiko. Komen Dr Hana mengenai hal ini,

Penyakit serius yang boleh dihalang dengan imunisasi. Alangkah ruginya kita jika tak menggunakan akal fikiran dan hasil ilmu kurniaan Tuhan.

Dr Hana Hadzrami

Adakah Mama tergolong dalam ahli-ahli anti-vaksin? Kini Mama rasa tak penting ke vaksin yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan? Baru-baru ini juga kecoh mengenai penyakit Difteria yang berlaku di Johor, akibat tidak mendapatkan vaksin sewajarnya. KelabMama faham yang suntikan vaksin bukanlah memberi 100% jaminan perlindungan kesihatan pada si manja Mama, tapi sedikit perlindungan di masa hadapan itu lebih baik bukan?

Semoga hal ini menjadi pengajaran buat Mama semua.