Gout merupakan sejenis penyakit yang menyerang sendi. Serangan tersebut boleh berlaku secara akut atau kronik iaitu kesakitan yang berulang-ulang. Gout yang boleh mengganggu rutin harian penghidapnya berlaku apabila garam asid urik yang berlebihan dalam badan membentuk kristal seperti jarum di sendi-sendi tubuh. Bahagian-bahagian sendi yang biasa terbabit ialah sendi di bahagian ibu jari kaki, lutut dan buku lali. Pengumpulan jarum kristal ini mengakibatkan seseorang pesakit mengalami radang sendi dengan gejala-gejala tertentu. Ini termasuklah pembengkakan, merah, panas, sakit dan kaku pada bahagian sendi terbabit. Selain itu ia juga boleh membabitkan bahagian-bahagian tertentu tubuh seperti tapak kaki, jari, siku dan cuping telinga di mana asid urik boleh terkumpul.
PROSES TERJADI
- Pembentukan jarum kristal pada cuping telinga ini dinamakan tophi.
- Asid urik merupakan sejenis bahan kimia yang terhasil daripada pecahan purina atau bahan-bahan buangan di dalam tubuh.
- Biasanya, asid urik ini akan diserap ke dalam darah masuk ke buah pinggang untuk dikumuhkan melalui air kencing.
- Bagaimanapun, jika penghasilannya dalam tubuh meningkat atau buah pinggang gagal mengumuhkan bahan buangan ini, parasnya akan meningkat.
- Paras asid urik yang tinggi ini berlaku sekiranya individu terbabit mengambil makanan yang mengandungi purina yang tinggi seperti makanan laut, hati, ikan bilis dan pelbagai jenis kekacang.
- Peningkatan asid urik dalam darah dikenali sebagai hiperuricemia.
- Meskipun paras asid urik yang tinggi ini tidak berbahaya namun parasnya yang berlebihan boleh menyebabkan pembentukan kristal dan terjadinya gout.
PUNCA GOUT
- GENETIK. Faktor ini memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan risiko seseorang mendapat gout.Dianggarkan antara enam hingga 18 peratus mereka yang menghidap gout mempunyai sejarah keluarga.
- BERAT BADAN BERLEBIHAN. Pengambilan makanan secara berlebihan meningkatkan penghasilan asid urik dalam tubuh dan risiko hiperuricemia iaitu asid urik yang tinggi dalam darah.
- PENGAMBILAN MINUMAN KERAS secara berlebihan boleh mengganggu proses pembuangan asid urik dari tubuh.
- MEMAKAN MAKANAN YANG KAYA DENGAN PURINA boleh menyebabkan gout atau menjadikan gout yang dihidapi semakin teruk. Segelintir individu mungkin menghadapi masalah kecacatan enzim di mana ia mengganggu proses pemecahan purina dalam tubuh.
- PENDEDAHAN KEPADA PLUMBUM DALAM ALAM SEKITAR. Sesetengah individu mempunyai tahap asid urik yang tinggi dalam cecair tubuh mereka kerana pengambilan sesetengah ubat.
PENCEGAHAN
- Berat badan yang berlebihan sering kali dikaitkan dengan gout. Sebaik-baiknya mereka yang menghadapi masalah berat badan berlebihan ini mengawal berat badan mereka.
- Kurangkan pengambilan makanan yang kaya dengan purina seperti hati, makanan laut termasuklah ikan bilis, udang dan sebagainya.
- Elakkan mengambil minuman keras.
MASALAH BUAH PINGGANG
Asid urik ialah bahan hasil daripada pemecahan sel-sel matang asid ribonukleik (RNA) dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang mati dalam hati. Ia terhasil daripada pengambilan makanan yang tinggi kandungan protein purina. Protein tersebut akan diuraikan menjadi asid amino dan sebahagian lebihan asid amino pula diuraikan menjadi asid urik. Gout bukan saja berlaku dalam kalangan lelaki yang mengalami masalah buah pinggang. Gout juga menyebabkan seseorang itu berisiko mengalami kerosakan buah pinggang pada kemudian hari. Apabila buah pinggang gagal berfungsi, ia menyukarkan sistem perkumuhan asid urik yang lazimnya disingkirkan melalui najis dan air kencing. Kesannya, lebihan asid urik yang terperangkap di dalam darah akan berkumpul di buah pinggang sekali gus membentuk hablur garam. Hablur-hablur itulah yang akan merosak dan mengecutkan buah pinggang sehingga seseorang itu mendapat gout, batu karang dan hipertensi.
TRIVIA PENYAKIT GOUT!
Dahulu, penyakit gout dikenali penyakit raja dan orang-orang kaya kerana ia kerap menyerang golongan berkenaan. Barangkali pada masa itu, golongan tersebut mampu menikmati makanan yang mahal seperti daging, hidupan laut ataupun minuman keras. Hari ini, gout boleh menyerang sesiapa saja tanpa mengira umur, bangsa dan jantina. Penyakit ini mula dikenali sejak empayar Rom. Ramai penghidapnya terdiri daripada kalangan pemimpin ketika itu kerana pengambilan alkohol dan makanan yang cukup mewah.
Sumber: Internet /Kosmo / Utusan