Kesinambungan daripada bacaan tekanan darah, Mama Siti nak kongsikan pula perbezaan penyakit darah tinggi dengan darah rendah.
Penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) dan tekanan darah rendah (hipotensi) adalah dua penyakit yang berbeza yang melibatkan tekanan darah Mama Papa.
Walaupun keduanya berkaitan dengan tekanan darah, namun ada perbezaan untuk kedua-dua penyakit ini dari segi gejala serta rawatannya.
Apa Itu Darah Tinggi dan Darah Rendah?
Darah Tinggi (Hipertensi)
Darah tinggi ni pun salah satu penyakit yang boleh membunuh kita secara senyap tau kalau Mama Papa tidak dirawat dengan cara yang betul.
Merujuk kepada keadaan di mana tekanan darah dalam arteri seseorang adalah tinggi secara berterusan, biasanya dengan nilai tekanan sistolik di atas 130 mmHg dan tekanan diastolik di atas 80 mmHg.
Hipertensi boleh menyebab Mama Papa berisiko penyakit jantung, strok, dan masalah kesihatan lain.
Darah Rendah (Hipotensi)
Merujuk kepada keadaan di mana tekanan darah dalam arteri seseorang adalah rendah secara berterusan, biasanya dengan nilai tekanan sistolik kurang daripada 90 mmHg dan tekanan diastolik kurang daripada 60 mmHg.
Hipotensi boleh menyebabkan gejala seperti peningkatan, denyutan jantung yang laju, keletihan, kelemahan, dan dalam kes yang teruk, pengsan.
Gejala Penyakit Darah Tinggi dan Rendah
Penyakit Darah Tinggi
- Sakit Kepala: Salah satu gejala yang paling umum, terutamanya di bahagian belakang kepala dan mungkin rasa seperti sakit atau berdenyut.
- Kebimbangan: Seseorang mungkin berasa gelisah atau tegang tanpa sebab yang jelas.
- Rasa Berpusing: Terutamanya apabila Mama Papa berdiri dari posisi duduk atau baring.
- Sesak Nafas: Kesukaran bernafas atau rasa sesak mungkin berlaku, terutamanya semasa aktiviti fizikal.
- Jantung Berdebar: Mama Papa rasakan denyutan jantung yang laju atau tidak teratur.
- Penglihatan Kabur: Gejala ini mungkin berlaku jika tekanan darah tinggi merosakkan pembuluh darah di mata.
Penyakit Darah Rendah
- Pening atau pengsan: Terutama ketika berdiri dari posisi duduk atau baring, yang dikenali sebagai hipotensi ortostatik.
- Keletihan: Rasa lemah dan letih secara berterusan.
- Kesukaran menumpukan perhatian: Gangguan kognitif ringan seperti kesukaran dalam pemikiran jelas.
- Kesejukan dan pucat: Kulit mungkin kelihatan pucat atau sejuk terutamanya pada kaki Mama Papa.
- Peningkatan denyutan jantung: Kesan peningkatan kadar denyutan jantung untuk cuba mengimbangi aliran darah.
- Mual atau pening: Terutama ketika Mama Papa bangun dari posisi duduk atau berbaring.
- Kebimbangan: Mama Papa mungkin berasa bimbang dan boleh menjadi kebimbangan yang makin teruk.
Rawatan untuk Penyakit Darah Tinggi dan Darah Rendah
Rawatan Darah Tinggi
Rawatan pertama yang boleh Mama Papa lakukan dengan membuat perubahan gaya hidup yang sihat, termasuk diet yang rendah garam, tinggi serat, dan rendah lemak tepu, bersenam secara berkala, menurunkan berat badan, dapatkan tujuh hingga sembilan jam tidur setiap hari dan berhenti merokok.
Kalau perubahan gaya hidup tidak mencukupi untuk mengawal tekanan darah, doktor mungkin meresepkan ubat-ubatan antihipertensi seperti inhibitor ACE, blocker reseptor angiotensin II, kalsium antagonis, atau kombinasi ubat-ubatan ini.
Pesakit hipertensi perlu memantau tekanan darah mereka secara berkala dan berunding dengan doktor mereka untuk menyesuaikan rawatan jika perlu.
Rawatan Darah Rendah
- Peningkatan Pengambilan Cecair: Minum lebih banyak air atau minuman dapat meningkatkan jumlah darah dan membantu mencegah dehidrasi, yang kedua-duanya penting dalam merawat hipotensi.
- Makan dengan Kerap: Makan makanan dengan kerap, terutama setelah bangun dari tidur atau duduk lama, dapat membantu mengelakkan penurunan tekanan darah secara tiba-tiba.
- Pemakaian Stoking Compression: Penggunaan stoking compression atau stocking elastik ini biasanya digunakan untuk melegakan kesakitan dan bengkak vena varikos. Boleh membantu menggalakkan aliran darah dari kaki ke jantung, membantu menaikkan tekanan darah.
- Meningkatkan Pengambilan Garam: Dalam kes-kes yang teruk, meningkatkan pengambilan garam dalam diet dapat membantu meningkatkan tekanan darah. Walau bagaimanapun, ini harus dilakukan di bawah pengawasan doktor.
- Ubat-ubatan: Dalam kes yang teruk, doktor mungkin meresepkan ubat-ubatan seperti fludrocortisone atau midodrine untuk membantu meningkatkan tekanan darah.
Mama Papa jangan ambil remeh sekiranya selalu alami pening kepala, mungkin boleh jadi pening kepala biasa dan boleh juga berkemungkinan Mama Papa sedang mengalami simptom salah satu penyakit ini.
Mama Siti nasihatkan Mama Papa lakukan pemeriksaan kesihatan supaya Mama Papa mendapat rawatan awal sekiranya Mama Papa diagnosis salah satu penyakit ini.
Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.
Dapatkan lebih banyak informasi tentang kesihatan Mama Papa di SINI.