KelabMama

Penyakit Berjangkit Monkeypox atau Cacar Monyet Semakin Merisaukan

virus monkeypox atau cacar monyet

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kes jangkitan monkeypox atau Mpox telah mencetuskan kebimbangan global yang semakin meningkat.

Mama Siti juga pernah kongsikan artikel tentang cacar monyet sebelum ini, jadi kali ni Mama Siti cuma refresh semula kepada Mama Papa secara ringkas.

Kredit Gambar: Nottingham Post

Walaupun monkeypox dianggap sebagai penyakit yang jarang berlaku dan terbatas di kawasan tertentu di Afrika Tengah dan Barat, wabak terbaru ini telah melihat penyebarannya ke banyak negara di luar kawasan endemik tersebut.

Sehingga pertengahan Ogos, terdapat lebih daripada 17,000 kes yang dilaporkan di seluruh dunia, dengan sebahagian besar kes berlaku di Republik Demokratik Congo (DRC). DRC menyumbang lebih daripada 96% kes dan kematian global akibat mpox, dengan 16,839 kes dan 501 kematian dicatatkan di negara tersebut.

Kredit Gambar: Twitter JakeGagain

Virus ini juga telah merebak ke beberapa negara Afrika Timur seperti Burundi, Kenya, Rwanda, dan Uganda, yang sebelum ini tidak pernah melaporkan kes Mpox. Di luar Afrika, kes-kes yang diimport juga telah dikenal pasti di negara-negara seperti Sweden dan Pakistan.

Kes paling terbaru apabila Filipina juga melaporkan kes pertama yang melibatkan seorang lelaki berusia 33 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Di Malaysia juga pernah melaporkan sembilan kes Mpox yang disahkan, di mana semua kes melibatkan individu yang terlibat dalam aktiviti berisiko. Kesemua pesakit ini telah pulih sepenuhnya tanpa sebarang kematian dilaporkan.

Kes-kes ini pertama kali dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan berakhir pada November tahun yang sama. Sehingga kini, tiada kes baru Mpox yang dilaporkan di Malaysia pada tahun ini.

Sekiranya kes monkeypox terus meningkat, ada kemungkinan besar ia akan menjadi amaran kesihatan global, seperti yang berlaku dengan COVID-19.

Apakah Gejala-gejala Monkeypox?

Kredit Gambar: California Healthline

Penyakit ini, yang disebabkan oleh virus Mpox, adalah sejenis jangkitan yang boleh merebak dari manusia ke manusia melalui sentuhan rapat dengan individu yang dijangkiti. Virus ini tergolong dalam genus Orthopoxvirus dan boleh menyebabkan gejala yang menyerupai cacar air atau campak.

Kredit Gambar: CNET

Mpox biasanya bermula dengan demam, sakit kepala, dan keletihan, diikuti dengan munculnya ruam maculopapular rash atau lepuh pada bahagian muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, dan kadang-kadang pada mata seperti konjunktiva dan kornea. Ruam ini boleh menyakitkan dan sering menyebabkan ketidakselesaan yang serius.

Mama Papa juga perlu berhati-hati kerana jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori, terutamanya semasa hubungan intim, yang menambah risiko penyebaran dalam kalangan individu yang mempunyai kontak rapat.

Langkah-Langkah Pencegahan Mpox

Kredit Gambar: Malaysians Must Know the Truth
  1. Amalkan kebersihan yang ketat: Pastikan Mama Papa kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, terutama selepas bersentuhan dengan orang lain atau selepas menggunakan tandas awam. Gunakan hand sanitizer juga digalakkan.
  2. Elakkan sentuhan fizikal dengan orang yang terkena jangkitan: Jika ada orang di sekitar Mama Papa yang menunjukkan simptom seperti ruam atau demam, elakkan bersentuhan fizikal dengan mereka dan pastikan mereka mendapatkan rawatan perubatan segera.
  3. Patuhi langkah keselamatan di tempat awam: Apabila berada di tempat awam, elakkan daripada bersentuhan dengan permukaan yang sering disentuh seperti tombol pintu, pegangan tangga, atau meja di restoran.
  4. Menjaga kebersihan: Elakkan daripada berkongsi barang peribadi seperti tuala atau pakaian dengan orang lain.
  5. Dapatkan nasihat perubatan: Sekiranya Mama Papa merancang perjalanan ke negara-negara yang sedang mengalami wabak Mpox, dapatkan nasihat daripada doktor mengenai langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil.

Sesiapa yang baru pulang dari negara-negara tersebut disarankan untuk pantau kesihatan sendiri setiap hari, terutamanya tanda-tanda jangkitan mpox, selama 21 hari selepas tiba di Malaysia.

Dengan kes yang semakin meningkat di seluruh dunia, monkeypox bukan lagi penyakit yang boleh diabaikan. Sentiasa berwaspada dan dapatkan nasihat perubatan jika diperlukan, supaya keluarga Mama Papa kekal sihat dan terlindung daripada virus ini.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Macam mana nak bezakan chickenpox dengan monkeypox? Klik di SINI.