Penyakit asma adalah salah satu penyakit yang kerap menyerang kanak-kanak, yang menyebabkan mereka mengalami kesukaran bernafas dan kadangkala memerlukan perhatian segera.
Keadaan ini boleh menjadi pengalaman yang menakutkan bagi anak kecil dan Mama Papa, terutamanya jika ia berlaku di luar kawalan kita.
Bagi Mama Papa, memahami tanda-tanda awal, punca, dan cara menguruskan asma pada si kecil amatlah penting untuk memastikan mereka kekal sihat, aktif, dan bebas daripada risiko serangan asma yang lebih teruk.
Mengetahui cara-cara penjagaan dan pencegahan yang berkesan juga boleh membantu mengurangkan kebimbangan Mama Papa serta memastikan si kecil sentiasa bernafas dengan lancar.
Untuk maklumat yang lebih mendalam, Mama Siti akan kongsikan tentang penyakit asma bersama Dr. Chin Sheau Yin, Pakar Perunding Pediatrik di Hospital Columbia Asia – Setapak, tentang aspek-aspek penting yang Mama Papa perlu tahu tentang penyakit ini.
1. Apakah faktor utama yang menyumbang kepada penyakit asma dalam kalangan kanak-kanak? Adakah faktor genetik atau persekitaran lebih dominan?
Faktor genetik merupakan faktor utama yang menyebabkan seseorang kanak-kanak menghadapi penyakit asma.
Ahli keluarga yang menghidapi penyakit allergic, contohnya eczema, resdung, allergic terhadap makanan atau ubatan, akan meningkatkan risiko kanak-kanak tersebut mendapati penyakit asma.
Faktor persekitaran, contohnya perubahan cuaca, habuk, asap rokok, merupakan pencetus yang boleh menyebabkan serangan Asma.
2. Apakah simptom awal asma yang Mama Papa perlu perhatikan pada anak-anak? Bagaimana untuk membezakan simptom asma daripada masalah pernafasan lain?
Batuk merupakan simptom awal asma. Selalunya, batuk ini adalah batuk kering dan kebanyakan berlaku pada waktu malam atau subur pagi.
Sesetengah kanak-kanak yang menghidapi penyakit asma akan rasa cepat penat atau batuk berterusan selepas aktiviti fisikal yang berat.
Batuk yang disebabkan oleh jangkitan kuman, selalunya adalah batuk berkahak dan kanak-kanak akan ada simptom yang lain seperti demam, selsema dan kurang selera.
3. Bagaimana jangkitan paru-paru, seperti bronkitis atau pneumonia, boleh menjejaskan kanak-kanak yang menghidap asma?
Jangkitan kuman merupakan salah satu faktor utama yang boleh mencetuskan serangan asma.
Tanda-tanda serangan asma yang serius termasuk sesak nafas, nafas berbunyi (wheezing), dan sakit dada.
Oleh itu, kanak-kanak yang menghidap asma harus mengambil langkah berjaga-jaga apabila mendapat jangkitan kuman.
4. Seperti yang kita tahu penyakit asma berkaitan dengan kesihatan paru-paru tetapi adakah penyakit asma ini boleh mempengaruhi fungsi jantung juga?
Penyakit asma biasanya tidak mempengaruhi fungsi jantung kanak-kanak. Tetapi, kalau penyakit kronik ini tidak dikawal, boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, termasuk tekanan darah tinggi dan serangan jantung pada masa hadapan.
5. Bagi Mama Papa yang first-time mempunyai anak menghidap asma atau lelah, adakah aktiviti fizikal selamat untuk mereka terutamanya aktiviti di sekolah?
Ya, kanak-kanak yang menghidap asma digalakkan menjalani aktiviti fizikal macam biasa.
Aktiviti fizikal ini penting untuk meningkatkan fungsi paru-paru mereka. Kekurangan aktiviti fizikal boleh membawa kepada masalah obesiti, yang menyebabkan penyakit asma lagi susah dikawal.
Kanak-kanak yang ada masalah batuk selepas aktiviti fizikal, digalakkan mengguna ubat pelega, mengikut dos yang diarah oleh doktor, setengah jam sebelum aktiviti dijalankan.
6. Apakah tanda-tanda yang menunjukkan serangan asma pada kanak-kanak semakin teruk dan memerlukan rawatan kecemasan?
Tanda-tanda kecemasan serangan asma adalah seperti: batuk berterusan, sesak nafas, tidak boleh bertutur macam biasa, sakit dada, nafas berbunyi (wheezing), muka pucat atau biru, kurang sedar diri.
7. Bolehkah rawatan asma ini memberi kesan sampingan kepada jantung mereka juga? Apakah langkah berjaga-jaga yang perlu diambil?
Penggunaan sesetegah ubat, seperti Salbutamol, boleh menjejas kadar denyutan jantung. Oleh itu, Mama Papa digalakkan mendapat rawatan di klinik atau hospital apabila mereka kena serangan asma.
Penggunaan nebulizer di rumah sendiri tidak digalakkan, sebab overdos ubat boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.
8. Adakah terdapat punca persekitaran tertentu yang boleh memburukkan keadaan asma kanak-kanak, dan bagaimana Mama Papa boleh mengurangkan risiko ini?
Faktor persekitaran yang seringkali menyebabkan serangan asma adalah termasuk: habuk, asap rokok, pencemaran udara, bulu haiwan dan hama rumah.
Selain itu, persekitaran yang sesak dan ramai orang, boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman paru-paru. Oleh itu, demi kesihatan anak, Mama Papa perlu mengelakkan faktor-faktor tersebut yang boleh mencetuskan serangan asma.
9. Bolehkah asma dalam kalangan kanak-kanak ini sembuh sepenuhnya apabila mereka membesar, atau adakah ia penyakit sepanjang hayat?
50 peratus kanak-kanak yang menghidapi asma sederhana, serangan ini akan hilang apabila mencapai usia remaja.
10. Bolehkah kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung tertentu juga akan mengalami kesukaran pernafasan yang serupa dengan asma? Bagaimana untuk membezakan kedua-duanya?
Kanak-kanak yang mempunyai penyakit jantung kongenital yang tertentu boleh menghadapi kegagalan jantung, yang boleh menyebabkan kesukaran pernafasan.
Keadaan ini biasanya kronik dan disertai tanda-tanda yang lain seperti kurang selera, tumbesaran terbantut, banyak berpeluh, dan cepat rasa penat.
Kesukaran pernafasan yang berlaku waktu serangan asma adalah akut dan boleh dirawati dengan penggunaan ubat pelega.
11. Apakah nasihat Doktor kepada Mama Papa yang mempunyai anak-anak yang mengalami masalah kesihatan ini?
Asma adalah sejenis penyakit yang boleh dikawal. Penggunaan ubat pencegah dan mengelakkan faktor pencetus serangan adalah sangat penting untuk mengawal keadaan ini.
Mama Papa perlu memantau keadaan kesihatan anak terutama kekerapan serangan asma, dan membawa anak mendapat rawatan secepat mungkin apabila berlaku serangan asma.
Bagaimana kanser melanoma boleh dijangkiti kepada Mama Papa? Klik di SINI.