Asma adalah penyakit kronik saluran pernafasan yang kebiasaannya dikaitkan dengan golongan kanak-kanak.
Keradangan saluran pernafasan boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit sekali gus menyukarkan pernafasan dan mengakibatkan asma.
Sesetengah orang menganggap bahawa asma adalah penyakit yang akan berterusan sepanjang hayat.
Manakala, ada juga yang berpegang kepada harapan bahawa ia boleh hilang pada suatu hari nanti, terutamanya apabila kanak-kanak menginjak ke alam dewasa.
Perkaitan antara umur dan penyakit asma turut mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan pesakit asma tentang kemungkinan untuk penyakit asma menjadi tidak aktif serta dapat dikawal (remission) dan faktor-faktor yang berkait dengan remission penyakit asma.
Usia Bukan Penentu
Salah satu soalan yang sering ditanya berkenaan penyakit asma ialah sama ada kanak-kanak boleh mengatasinya apabila mereka membesar.
Jawapannya adalah ya, terdapat kemungkinan untuk kanak-kanak sembuh daripada asma seiring dengan masa, tetapi ia boleh mengakibatkan gejala asma kembali pada masa akan datang.
Dalam sesetengah kes, individu dewasa yang sebelum ini mengalami gejala asma yang teruk semasa kanak-kanak, mungkin akan mengalami gejala yang kurang teruk apabila mereka dewasa.
Hal ini berlaku apabila saluran pernafasan dalam kanak-kanak menjadi matang dan lebih terlatih dalam mengendalikan keradangan (bengkak) serta sebarang objek asing yang sebelum ini mengganggu saluran pernafasan.
Jadi, individu dewasa yang pernah mengalami asma mungkin mendapati keadaan mereka tidak begitu teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, asma juga boleh berlaku tidak kira umur kerana ia bukanlah penyakit yang hadir sejak lahir. Ini bermakna, individu yang tidak pernah mengalami simptom asma pada usia muda masih berisiko untuk mengalaminya ketika mereka dewasa.
Sinar Harapan Bagi Pesakit Asma
Melalui kawalan yang baik, asma boleh mencapai keadaan tidak aktif serta dapat dikawal (remission). Ini boleh dilihat melalui ketiadaan gejala, keadaan asma yang tidak menjadi semakin teruk, serta fungsi paru-paru yang berada pada tahap optimum, sama ada dengan rawatan atau tanpa rawatan berterusan.
Remission adalah sebahagian daripada kitaran asma dan terdapat kemungkinan untuk ia berlaku. Kelaziman remission dalam kalangan pesakit asma dewasa adalah antara dua peratus dan 52 peratus.
Antara faktor-faktor yang berkait dengan remission penyakit asma termasuklah:
- Asma tahap ringan
- Fungsi paru-paru semakin baik
- Tahap kawalan asma semakin baik
- Asma di usia muda
- Tempoh asma lebih pendek
- Bronkial kurang sensitif
- Komorbiditi sedikit
- Berhenti merokok atau tidak pernah merokok
Jangan Biarkan Asma Menjadi Penghalang untuk Kekal Aktif
Terdapat golongan ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka yang menghidapi asma untuk terlibat dalam aktiviti fizikal sama sekali.
Sebenarnya, kanak-kanak atau remaja yang menghidapi asma boleh mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal, dengan syarat mereka dapat mengurus asma dengan baik dan keadaan penyakit mereka masih terkawal.
Malahan, menyertai aktiviti fizikal dan bersukan dapat membantu kanak-kanak atau remaja yang menghidapi asma mengekalkan kecergasan dan berat badan yang ideal.
Selain itu, ia dapat menguatkan otot pernafasan mereka untuk membantu meningkatkan fungsi paru-paru.
Dengan menerapkan aktiviti senaman ke dalam rutin harian, mereka juga dapat merasai peningkatan dari segi kesihatan kardiovaskular, daya tahan, dan kualiti hidup.
Oleh itu, dengan pengurusan asma yang betul dan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya, mereka juga boleh menikmati pelbagai manfaat aktiviti fizikal.
Atasi Impak Negatif Asma Secara Berkesan
Meskipun asma tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, ia masih boleh dikawal dan dicegah. Tip-tip proaktif yang disenaraikan di bawah dapat mengurangkan kesan negatif asma secara signifikan, membolehkan pesakit asma menjalani rutin harian seperti biasa.
1. Nilai dan Pantau Keadaan Asma Anda
Batuk berlarutan, wheezing (bunyi bersiul apabila sedang bernafas), rasa sesak dada, kesukaran bernafas, dan rasa keletihan di seluruh badan yang mengehadkan aktiviti fizikal adalah petanda-petanda bahawa asma anda tidak terkawal.
Jika anda merasakan gejala anda semakin teruk, patuhilah arahan doktor. Gunakan alat sedut pelega (inhaler) yang membantu mengembangkan saluran pernafasan dalam paru-paru ketika serangan asma berlaku.
Selain itu, pantau simptom anda secara berkala bagi memastikan keadaan asma terkawal.
2. Kenal Pasti Dan Jauhi Punca-Punca Asma
Kenal pasti punca-punca asma anda dan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada punca-punca tersebut.
Antara faktor pencetus asma termasuklah asap, wap, jangkitan virus, debunga, perubahan cuaca, bulu haiwan, bulu pelepah, serta bau-bauan yang terlalu kuat. Ambil tahu tentang apa yang boleh memberi kesan buruk kepada anda dan cuba elakkan sebanyak mungkin.
Jika tidak, pastikan inhaler anda sentiasa ada bersama anda.
3. Ketahui Jenis-Jenis Alat Sedut
Alat sedut pelega, atau dikenali sebagai bronkodilator, berupaya membuka laluan udara kecil dan meningkatkan aliran udara masuk dan keluar dari paru-paru. Alat sedut ini boleh digunakan apabila berlakunya gejala asma.
Alat sedut steroid atau pencegah mengurangkan keradangan dalam paru-paru. Alat ini penting terutamanya untuk rawatan asma dalam jangka masa yang panjang.
Selain itu, alat sedut pencegah dapat membantu mengurangkan gejala asma secara berkesan dan mengurangkan kemungkinan pesakit mengalami serangan asma yang teruk.
Secara keseluruhannya, penggunaan alat sedut merupakan kaedah rawatan yang paling selamat dan berkesan bagi pesakit asma. Pada masa yang sama, ia membolehkan individu yang menghidapi asma untuk mengekalkan gaya hidup normal dan aktif.
4. Gunakan Spacer
Sesetengah pesakit yang mengalami kesukaran untuk memakai alat sedut bolehlah menggunakan alat bantuan yang dipanggil spacer.
Spacer merupakan sebuah alat plastik yang berfungsi sebagai perantara antara alat sedut dan mulut pesakit.
Tujuannya adalah untuk mengoptimumkan penyampaian ubat-ubatan yang disedut ke dalam paru-paru, sekali gus meningkatkan keberkesanan rawatan bagi pesakit asma.
5. Tingkatkan Pengetahuan Tentang Asma
Dalam apa jua keadaan, ilmu pengetahuan adalah amat penting. Minta bantuan doktor untuk menjelaskan cara penggunaan ubat-ubatan dengan betul.
Selain itu, kenal pasti ubat-ubatan anda kerana rawatan asma melibatkan pelbagai jenis ubat yang berbeza mengikut keperluan individu.
Bekerjasama dengan doktor dan pasukan kesihatan untuk menetapkan rawatan asma yang sesuai dengan anda.
Cara lain pula adalah meningkatkan kemahiran pengurusan asma anda dengan memperluaskan pemahaman anda tentang asma.
Anda disyorkan untuk meneroka sumber-sumber seperti kursus asas asma dalam talian dan maklumat lanjut mengenai asma.
7 Tip untuk Ibu Bapa yang Memiliki Anak yang Menghadapi Asma
- Aturkan janji temu dengan doktor secara berkala.
- Sediakan pelan tindakan asma bertulis yang merangkumi langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa dalam menguruskan keadaan asma anak. Contohnya, senarai ubat-ubatan, langkah-langkah untuk mencegah serangan asma, dan cara mengendalikan serangan asma.
- Pantau simptom asma dengan berterusan dan amalkan langkah-langkah pencegahan.
- Bantu anak anda dalam penggunaan ubat mereka.
- Pastikan anak anda menerima vaksin influenza secara berkala.
- Hadkan pendedahan anak anda kepada faktor penyebab asma dan allergen.
- Ajarkan anak anda untuk mempunyai pandangan positif terhadap asma dengan menekankan bahawa dengan pengurusan yang betul, mereka juga boleh menjalani kehidupan yang aktif.
Dapatkan lebih banyak tips dan nasihat tentang kesihatan daripada pakar di SINI.