KelabMama

PENTINGNYA MENJARAK KEHAMILAN DEMI KESIHATAN IBU

Reaksi wanita terhadap keadaan demikian adalah berbeza antara satu sama lain. Ada yang terpaksa menerimanya walaupun di segi mental dan fizikalnya mereka belum bersedia menghadapi proses kehamilan dan kelahiran dalam waktu yang singkat. Merancang kehamilan merupakan antara perkara yang perlu dilakukan bagi memudahkan wanita menjarakkan kehamilan yang seterusnya. Bagi wanita yang melahirkan anak secara normal atau pembedahan mereka dinasihatkan menjarakkan kehamilan yang seterusnya sekurang-kurangnya dua tahun bagi memastikan rahim mengecut dan kembali kepada bentuk asal dan parut rahim menjadi kuat. Ini kerana terdapat bukti-bukti saintifik dari kajian yang menunjukkan kelahiran dalam jarak waktu yang dekat mempunyai banyak risiko ke atas wanita dan bayi baru yang akan dilahirkan. Ini terutamanya kepada wanita yang melalui proses pembedahan.

BERI PELUANG BADAN UNTUK PULIH

Tempoh pemulihan selepas bersalin amat penting bagi seorang ibu demi mengekalkan kesihatan serta kecantikan luaran dan dalaman mereka. Selepas mengandung selama sembilan bulan dan melalui proses melahirkan yang sangat meletihkan memerlukan kestabilan fizikal dan mental yang begitu rapi. Apabila melalui kelahiran yang banyak, usia pula semakin meningkat, dan daya tenaga semakin menurun, mulalah terasa lenguh-lenguh di kawasan sendi serta otot, atau sakit di bahagian pinggang. Memang tidak dinafikan jangka masa berpantang penting untuk menentukan sama ada ibu akan kembali normal seperti sebelumnya atau si ibu akan menderita akibat tekanan emosi seumur hidup.

Banyak darah yang keluar, ditambah lagi dengan urat yang putus ketika proses kelahiran, menghilangkan seri wajah serta kekuatan fizikal si ibu. Tenaga juga dicurahkan berhabis-habisan ketika proses meneran sehingga seluruh tubuh menjadi lesu dan kepenatan. Mengenangkan kepayahan seorang ibu melahirkan satu nyawa ke dunia, maka selayaknya mereka menerima layanan terbaik dan berehat panjang dari kerja berat agar boleh merawat organ dalaman supaya kembali seperti sediakala. Apa kan lagi jika hamil semula selepas kelahiran baru mencecah beberapa bulan usia bayi. Berehatlah sebentar ya dan berbincanglah dengan suami anda!

Justeru itu, penjagaan kesihatan selepas bersalin perlu kerana tanpa penjagaan yang sempurna kaum ibu akan mengalami kesan negatif yang berpanjangan. Ini berikutan perubahan besar berlaku ke atas tubuh wanita bermula dari peringkat awal kehamilan hinggalah ke tahap puncak, iaitu pada saat melahirkan anak. Perubahan struktur tubuh badan serta urat saraf memerlukan proses pemulihan yang rapi dan teliti.

 

ELAK SAKIT PINGGANG SELEPAS BERSALIN

  1. Sentiasa Baring Waktu dalam Pantang

Ini petua orang-orang lama. Dikatakan ketika berpantang, ibu haruslah sentiasa berbaring dan elakkan duduk dalam tempoh yang terlalu lama. Kesannya bukan saja sewaktu berpantang tapi selepas itu. Jadi baring dan berehatlah semahunya.

  1. Kembalikan Berat Asal

Mengandung menyebabkan kenaikan berat badan ibu yang bukan sedikit. Cubalah kembalikan berat badan asal supaya berat lebih stabil dan anda juga lebih yakin. Masalah sakit akan beransur hilang dengan berat yang stabil.

  1. Elak Kasut Tinggi

Selepas kembali bekerja, elakkan sama sekali memakai kasut bertumit tinggi. Ia akan membuatkan tubuh tidak disokong sepenuhnya oleh kaki. Berikan masa kepada tubuh untuk kembali kepada postur asal, kemudian barulah cuba untuk mengenakan kembali kasut cantik anda.

  1. Jangan Bongkok Semasa Menyusu

Penyusuan dengan posisi tubuh yang betul adalah langkah mudah mengatasi masalah ini. Elakkan membongkok ketika anda menyusu. Dapatkan sokongan dengan bantal yang dilapik di bawah lengan atau juga mendekatkan bayi kepada kita. Elakkan sama sekali membongkok.

  1. Rehatkan Badan

Tidur yang tidak mencukupi dek kerana terpaksa berjaga malam menyebabkan masalah sakit belakang bertambah kronik. Jika punya sedikit waktu, berehatlah dan tidurlah secukupnya. Paling penting, luruskan badan ketika tidur.

  1. Tidur Selesa

Tidurlah dalam keadaan yang lebih selesa dengan penggunaan tilam yang tidak berlekuk. Seboleh-bolehnya gunakan tilam yang tebal sebagai alas atau lapik tempat tidur serta bantal untuk sokongan tambahan.

  1. Berurut Jika Perlu

Jika terlalu sakit atau lenguh keterlaluan, sebaiknya pergilah berurut sebulan sekali bagi membuang angin dalam badan juga menghilangkan rasa sakit. Urutan adakalanya melegakan disamping tubuh dibelai dan dapat berehat untuk seketika.

  1. Elak Angkat Barang Berat

Ketika tempoh ini, elakkan sama sekali mengangkat barang yang berat. Juga ketika cuba mengambil barang yang terjatuh, elakkan sekali membongkok secara terus. Ini penting.

 

 

Sumber: Internet