Perlu atau tidak suntikan vaksin Pneumococcal diberikan pada anak anda? Sebagai ibu bapa, kita mahukan yang terbaik untuk setiap anak-anak terutamanya kesihatan mereka. Jadi, penting atau tidak suntikan vaksin Pneumococcal ini kepada anak anda? Mari kita baca selanjutnya tentang vaksin Pneumococcal dan penyakit berkaitannya.
- Suntikan vaksin Pneumococcal merupakan sejenis imunisasi yang boleh diberikan kepada kanak-kanak sebagai langkah awal untuk mencegah daripada jangkitan kuman di paru-paru yang dikenali sebagai penyakit Pneumonia. Penyakit Pneumonia ini kerap di alami oleh kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Ianya terjadi akibat bakteria, virus, fungus dan parasit yang menyebabkan jangkitan pada hidung dan berterusan hingga ke paru-paru.
- Penyakit pneumonia boleh membuatkan seseorang yang dijangkiti sukar untuk bernafas. Ini berlaku kerana nanah dan lendir memenuhi saluran udara pada paru-paru yang akan menggangu sistem pernafasan . Jika ianya dibiarkan berterusan, oksigen mungkin tidak dapat sampai ke dalam darah dan sel tubuh yang seterusnya membahayakan nyawa anak anda.
- Sekiranya anak anda mengalami simptom awal jangkitan pada paru-paru seperti demam panas, batuk dengan atau tanpa kahak, sakit dada, tiada selera makan, rasa tidak sihat dan sering merengek, pernafasan laju atau susah bernafas, muntah atau cirit-birit, segeralah bawa anak anda berjumpa dengan doktor.
- Jika jangkitan kuman pada paru-paru ini disebabkan oleh bakteria, kebiasaanya doktor akan memberikan antibiotik kepada anak anda. Tetapi, jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan dan teruk, anak anda akan dimasukkan ke hospital untuk diberikan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius dan membahayakan nyawa anak anda.
- Sekiranya mendapati anak anda juga mengalami batuk yang berpanjangan selama tiga hari, keadaan badan yang lesu, mengalami muntah, nafas berbunyi dan dehidrasi, bawalah segera anak anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Untuk membezakan batuk biasa dan batuk Pneumonia, bunyi batuk biasa ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat Pneumonia yang bunyinya agak ‘dalam’ dan ianya kerap terjadi pada waktu malam sehingga ke pagi.
- Pada kebiasaanya, anak yang dijaga oleh pengasuh di taska sangat berisiko untuk mendapat penyakit ini. Ini adalah kerana persekitaran taska yang tidak dijamin bersih serta perkongsian bekas makanan dan minuman menyebabkan penyakit ini mudah disebarkan kepada kanak-kanak lain.
- Oleh demikian, sekiranya anda menghantar anak anda ke taska, anda mungkin perlu memikirkan untuk memberikan suntikan vaksin Pneumococcal ini sebagai cara pencegahan awal kepada anak anda. Jangkitan kuman pada paru-paru ini boleh menjadi sangat serius kepada kanak-kanak kecil dalam masa yang singkat dan secara tidak langsung membahayakan nyawa anak anda.
- Bagi mengelakkan anak anda mengalami penyakit jangkitan kuman pada paru-paru yang dikenali sebagai Pneumonia, anda perlu sentiasa menitikberatkan kebersihan diri di kalangan anak-anak anda, persekitaran rumah dan taska, serta meneruskan penyusuan susu ibu bagi meningkatkan antibodi anak sebagai salah satu langkah dalam mencegah jangkitan kuman dan bakteria.
- Dan sebaiknya, ibu bapa perlu mempertimbangkan pengambilan suntikan vaksin Pneumococcal di hospital atau klinik swasta bagi meningkatkan lagi imunisasi anak anda. Semoga dengan suntikan imunisasi vaksin Pneumococcal ini anak anda dapat dihindari penyakit Pneumonia dan menjalani aktiviti harian dengan ceria!
BAGAIMANA VAKSIN PNEUMOKOKAL BERTINDAK?
- Streptococcus pneumoniae boleh merebak dengan mudah melalui permukaan yang tercemar dan dari individu ke individu apabila terdapat hubungan secara langsung atau melalui titisan daripada bersin atau batuk dari orang yang dijangkiti. Bukan semua individu yang terdedah kepada bakteria tersebut akan dijangkiti. Sesetengah individu membawa Streptococcus pneumoniae (biasanya dalam hidung dan tekak) tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda penyakit itu sendiri tetapi boleh menyebarkannya kepada individu yang tidak dijangkiti . Kanak-kanak adalah lebih mudah terdedah kepada jangkitan tersebut.
- Vaksin memberi perlindungan terhadap banyak jenis dan strain bakteria . Perlindungan sesuatu vaksin bergantung kepada jenis strain yang terkandung dalam vaksin tersebut. Vaksin pneumokokal akan membantu merangsang badan menghasilkan antibodi terhadap Streptococcus pneumoniae yang menyebabkan penyakit ini. Ini kerana vaksin mengandungi sebahagian daripada bakteria yang dapat mencetuskan badan untuk membina imuniti terhadap bakteria tersebut . Sekiranya sesorang individu yang menerima vaksin tersebut dijangkiti dengan strain(serotaip) Streptococcus pneumoniae tertentu , antibodi ini akan membantu melindungi individu daripada penyakit.
- Dalam erti kata lain, vaksin pneumokokal menyediakan vaksinasi terhadap penyakit pneumokokal yang disebabkan oleh strain yan terdapat dalam vaksin tersebut. Vaksin pneumokokal mengandungi strain yang biasanya menyebabkan penyakit pneumokokal.
BAGAIMANA VAKSIN DIANGGAP SELAMAT SEKIRANYA DIHASILKAN DARIPADA BAKTERIA?
Vaksin dibuat sama ada daripada sebahagian atau seluruh bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Oleh kerana ia mengandungi bentuk bakteria yang tidak aktif, maka ia tidak akan dapat menyebabkan penyakit.
VAKSIN PNEUMOKOKAL YANG TERDAPAT DI MALAYSIA
Sehingga kini terdapat dua jenis vaksin pneumokokal : vaksin polisakarida pneumokokal dan vaksin konjugat pneumokokal. Vaksin ini memberi perlindungan terhadap strain Streptococcus pneumoniae yang terkandung didalamnya yang merupakan strain-strain yang paling penting dan yang paling mungkin menyebabkan penyakit yang serius. Pelalian bagi golongan dewasa dan kanak-kanak adalah mengikut jadual yang disyorkan untuk kumpulan umur mereka. Seperti dengan vaksin lain, adalah penting untuk sedar bahawa vaksin pneumokokal in tidak akan melindungi semua individu yang menerima vaksin ini secara keseluruhannya. Ini adalah kerana imunisasi dengan vaksin ini hanya menawarkan pencegahan terhadap penyakit pneumokokal yang disebabkan oleh strain Streptococcus pneumoniae ( serotaip ) yang terkandung dalam vaksin tersebut.
Sumber: myhealth.gov.my / momma-nutrition.com