KelabMama

8 Tips Penjagaan Bayi Baru Lahir Secara Menyeluruh Untuk Ibu Dan Bapa

Sumber: istockphoto

Kegembiraan ibu dan bapa yang baru sahaja dikurniakan zuriat memang tidak boleh diungkapkan. Mama Siti selalu perasan riak wajah ibu dan bapa apabila menatap muka comel bayi mereka yang baru lahir. Nampak hilang rasa penat, penuh dengan rasa syukur dan ingin memberikan yang terbaik untuk si comel.

Penjagaan bayi bukanlah satu perkara yang mudah tetapi bukanlah juga rumit. Dengan cara yang betul, ibu dan bapa boleh membesarkan si comel sebaiknya.

Jom lihat panduan penjagaan bayi baru lahir di bawah:

Cara Pegang Dan Sokong Bayi Dengan Betul

Sumber: istockphoto

1. Pangku kepala dan sokong leher bayi

Badan si comel tak sama macam orang dewasa ya. Otot dan tulang mereka masih tidak kuat untuk menampung diri sendiri.

Cara yang betul untuk pegang bayi adalah dengan memangku kepala dan menyokong lehernya. Terutamanya ketika Mama mengangkat si comel dari posisi berbaring atau memegangnya dalam posisi menegak, utamakanlah sokongan di bahagian kepala dan leher ya?

2. Jangan goncang badan dan kepala bayi

Mama Siti rasa masih ramai ibu bapa yang suka bergurau dengan si comel sambil menggoncangkan badan mereka kan? Sebenarnya menurut KidsHealth, ini dapat menyebabkan kecederaan dalaman pada otak bayi.

Jika kecederaan itu lebih serius, ia boleh mengakibatkan kematian tau.

3. Pastikan badan bayi disokong dengan kemas

Ketika Mama bawa si comel berjalan-jalan, pastikan badan mereka ditampung dengan kemas dalam baby car seat ataupun carrier. Ia berbahaya untuk mereka jika kedudukan mereka tidak disokong dengan kemas dan betul.

Cara Mandikan Bayi Dengan Betul

Sumber: istockphoto

1. Gunakan kain basah pada beberapa minggu pertama kelahiran

Untuk beberapa minggu selepas kelahiran, sebaiknya mandikan si comel dengan menggunakan kain kapas yang dicelup ke dalam air suam. Keadaan si comel dengan tali pusat yang masih terlekat kurang sesuai untuk didedahkan kepada air secara terus.

Mama perlu sediakan:

Pertama sekali, letakkan si comel di kawasan yang rata dan bukakan semua pakaiannya. Celup sehelai kain kapas ke dalam besen berisi air suam itu dan mulakan lap badan si comel bermula dengan wajah mereka.

Apabila selesai satu badan, hasilkan buih mandian menggunakan tangan Mama sendiri dan sapukan di kepala dan badan mereka. Usap dengan lembut untuk menghilangkan daki peluh dan fokus pada kawasan pelipat seperti di ketiaknya.

Selepas itu, gunakan kain kapas yang sehelai lagi untuk bilas buih mandian pada badan bayi. Celupkan ke dalam besen berisi air suam dan lap bersih buih mandian dari seluruh badan si comel ya.

Apabila selesai, balut mereka dengan tuala dan keringkan sepenuhnya sebelum dipakaikan lampin dan baju.

2. Mandi menggunakan bath tub bayi

Apabila si comel semakin besar dan kuat, ibu dan bapa bolehlah cuba mandikan mereka menggunakan tab mandi ya.

Mama hanya perlu isikan bath tub dengan air suam dan mandikan mereka di dalamnya. Tetapi daripada menggunakan kain kapas untuk bilas buih mandian, Mama boleh gunakan air di dalam bath tub itu terus.

Namun harus hati-hati ya. Pastikan Mama pegang badan bayi dengan elok dan kemas.

3. Pastikan bayi bersih dari najis sebelum mandi

Sama ada Mama mandikan si comel menggunakan kain kapas ataupun di dalam bath tub, pastikan segala najis pada badan mereka telah dibersihkan terlebih dahulu ya.

Selain daripada memudahkan proses mandian, ia juga untuk memastikan air mandian dan kain kapas benar-benar bersih untuk diguna. 

Cara Penyusuan Bayi Yang Betul

Sumber: istockphoto

1. Susukan si comel mengikut keperluan mereka

Bayi perlu disusukan selang beberapa jam dalam sehari. Ia berbeza-beza untuk setiap bayi tetapi secara umumnya, mereka memerlukan susu setiap 2 hingga 3 jam.

Sama ada penyusuan badan ataupun menggunakan susu formula, ibu dan bapa mesti peka dengan keperluan bayi ya?

2. Susukan bayi dengan posisi yang sesuai

Penyusuan badan boleh dilakukan dengan pelbagai posisi yang mengikut kesesuaian keadaan ibu dan bayi. Ibu boleh susukan si comel dengan mana-mana posisi asalkan Mama dan bayi selesa.

3. Sendawakan bayi selepas menyusu

Ini wajib ya. Si comel mestilah disendawakan sejurus selepas menyusu. Ini untuk mengeluarkan angin dalam badan mereka dan mengelakkan muntah atau tersedak susu.

Mama Siti selalu perasan yang bayi akan lebih selesa dan lena untuk tidur selepas disendawakan.

Tapi jika tidak berjaya dan si comel ingin tidur, letakkanlah mereka dalam posisi mengiring supaya jika ada air susu yang berlebihan, ia tidak akan menyebabkan si comel tersedak.

Pemilihan Pakaian Bayi Yang Sesuai

1. Pilih pakaian bayi yang diperbuat dari kapas

Keselesaan pakaian bayi adalah antara aspek terpenting dalam penjagaan mereka. Jika mereka tidak selesa, si comel memang akan merengek dan serba tak kena.

Untuk mengelakkannya, ibu dan bapa mestilah memilih pakaian yang diperbuat daripada kapas atau material lain yang boleh menyerap peluh dan sesuai dengan kulit bayi.

Mama Siti faham yang ibu dan bapa tentu teruja nak pakaikan si comel dengan pelbagai pakaian yang bermacam fesyen. Tetapi jangan lupa ya. Keselesaan mereka mestilah diutamakan.

2. Sesuaikan jenis pakaian bayi dengan cuaca

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya untuk pakaikan si comel baju dan seluar panjang pada bila-bila masa je ya. Terutamanya ketika cuaca panas, pemakaian pattern baju bayi seperti ini tidaklah sesuai.

Si comel akan berpeluh secara berlebihan dan menyebabkan mereka tidak selesa.

Seeloknya, pakaian bayi yang berlengan dan berseluar pendek sesuai untuk dipakai ketika cuaca panas dan pada siang hari. Manakala yang berlengan dan berseluar panjang pula sesuai ketika hujan, cuaca sejuk dan pada waktu malam.

Cara Tidurkan Bayi

Sumber: istockphoto

1. Pastikan tempat tidur bayi selamat dan selesa

Ini amat penting ya. Sudah terdapat banyak kes tangan dan kaki bayi tersepit di celah-celah katil bayi dan lemas kerana muka mereka tertutup dengan selimut dan bantal.

Para ibu dan bapa mestilah memilih peralatan tidur bayi yang sesuai ya. Untuk katil bayi sebagai contohnya, pilihlah yang tidak berlubang atau mempunyai ruang yang berlebihan dan bucu yang tajam.

Selimut pula, pilihlah yang diperbuat daripada material yang menyejukkan dan saiznya sesuai untuk badan bayi.

Sebarang alat mainan atau anak patung sebenarnya tidak perlu kerana ia boleh mendatangkan bahaya. Tetapi jika ada, pastikan ia diletakkan di tempat yang lain dan bukan di dalam katil bayi ketika mereka sedang tidur.

2. Galakkan bayi untuk aktif di siang hari supaya tidur pada waktu malam lebih lena

Pada siang hari, dedahkanlah si comel kepada cahaya dan bunyi serta rangsangan-rangsangan lain yang boleh membuatkan mereka aktif. Bayi yang menerima stimulus cukup di siang hari akan tidur dengan lebih lena pada waktu malam.

Biasanya, apabila mereka aktif di siang hari, si comel akan kepenatan setelah malam menjelma dan selepas je menyusu, mereka akan perlahan-lahan terlena.

Cara Penjagaan Kulit Bayi Baru Lahir

1. Elakkan bahan kimia dalam produk penjagaan bayi

Memang diketahui umum kan bahawa kulit bayi itu sememangnya sensitif? Namun Mama Siti perhatikan, masih ramai ibu dan bapa yang tidak ambil cakna tentang hal ini.

Produk orang dewasa seperti bedak talkum tidak sesuai untuk kegunaan si comel ya. Terdapat banyak produk bayi yang diformulasikan khas untuk mereka di pasaran.

Tetapi bagi Mama Siti, si comel sebenarnya tidak memerlukan kegunaan pelbagai produk. Mereka tidaklah berpeluh seperti orang dewasa dan sudah cukup wangi sebenarnya.

Penggunaan losyen dan bedak bayi bukanlah begitu penting. Asalkan Mama mandikan mereka 2 kali sehari, itu sudah memadai.

Bauan asli bayi adalah bauan yang terbaik kan?

2. Elakkan kelembapan berlebihan

Kulit bayi yang terlebih lembap boleh menyebabkan ruam dan jangkitan kulit. Ibu dan bapa hendaklah memastikan badan mereka dilap dengan betul-betul kering selepas mandi dan selepas tukar lampin bayi.

Lampin mereka juga mesti kerap ditukar untuk mengelakkan reaksi pada kulit mereka apabila terdedah kepada najis pada jangka masa yang lama.

Cara Mengurut Badan Bayi

Sumber: istockphoto

1. Galakkan skin-to-skin momen bersama bayi

Tujuan urutan badan bayi adalah untuk melegakan otot-otot mereka dan membuatkan mereka lebih relaks. Sama sahaja seperti orang dewasa.

Namun ketika masih kecil, si comel lebih memerlukan skin-to-skin momen bersama ibu dan bapanya. Perasan tak si comel selalu tidur dengan lebih lena di atas pangkuan atau di dada?

Ini disebabkan bonding yang tercipta antara bayi dengan ibu bapanya. Terutamanya pada beberapa bulan pertama, kerapkanlah skin-to-skin momen bersama si comel ya?

2. Urut bayi dengan lembut dan penuh kasih sayang

Menurut Karen Gill, tiada teknik atau turutan yang khas untuk mengurut bayi. Namun kebiasaannya, ia dimulakan di bahagian kepala dan perlahan-lahan turun ke kaki.

Mulakan sesi urutan si comel dengan meletakkan badan mereka di atas tuala, berbaring mengadap Mama. Urut mereka perlahan-lahan dari satu bahagian badan ke bahagian yang lain.

Jika si comel kelihatan kurang selesa, cuba ubah cara urutan Mama ataupun urut di bahagian badan yang lain ya.

3. Gunakan minyak urut bayi bila perlu sahaja

Untuk mengurut si comel, Mama tidak perlukan minyak pun sebenarnya. Ini kerana urutan pada bayi tidaklah memerlukan tekanan yang kuat. Ia seakan-akan belaian dan sentuhan lembut.

Namun jika Mama ingin memanfaatkan kandungan minyak bayi kepada si comel, boleh je urut mereka dengan minyak. Tapi pastikan ia sesuai untuk kulit bayi ya?

Cara Tukar Lampin Bayi Dengan Betul

1. Tukar lampin bayi dengan kerap

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kulit si comel yang sensitif tidak boleh terdedah dengan najis dan kelembapan yang berlebihan untuk jangka masa yang lama.

Untuk mengelakkan masalah kulit pada bayi, kerapkanlah penukaran lampin pakai buang ya. Ibu dan bapa mestilah periksa pampers si comel dari masa ke semasa dan tukar apabila perlu.

2. Bersihkan najis bayi dengan betul

Mungkin ramai ibu bapa yang membersihkan najis di bahagian sulit si comel dengan wet wipes sahaja. Sebenarnya, kaedah ini tidaklah benar-benar bersih malah boleh membuatkan kulit si comel di bahagian sulit bertambah sensitif.   

Untuk pembersihan najis bayi, gunakanlah cotton ball sebagai contohnya, untuk membersihkan sisa-sisa najis yang melekat di bahagian sulit bayi. Celupkannya ke dalam air, sebaiknya air suam dan bersih sehingga tiada sisa najis yang tertinggal.

3. Guna diaper cream jika perlu

Sesetengah bayi mempunyai kulit yang lebih sensitif. Walaupun telah dilap kering dan bersih, ruam tetap timbul di kawasan sulit mereka. Dalam situasi ini, diaper cream haruslah digunakan untuk melegakan ruamnya.

Namun pastikan Mama mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu ya?

Nikmatilah Setiap Waktu Bersama Si Comel

Sumber: istockphoto

Para ibu dan bapa mungkin akan merasa tertekan sepanjang proses membesarkan dan menjaga si comel. Namun ingatlah bahawa mereka tidak selamanya kecil. Ketika si comel masih di pangkuan kita, marilah kita usaha untuk berikan yang terbaik kepada mereka dan cipta memori bersama.

Semoga panduan penjagaan bayi baru lahir ini bermanfaat dan berguna buat Mama dan Papa.