Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun telah berjaya sembuh selepas menjadi pesakit barah payudara paling muda di dunia.
Menurut seorang doktor yang merawatnya, pesakit tersebut, yang dikenal pasti oleh media di China sebagai Yanyan adalah rakyat termuda yang diketahui menghidap penyakit barah payudara karsinoma yang jarang ditemui dalam tempoh 50 tahun lalu.
Hospital Rakyat Jiangsu, tempat di mana Yanyan dirawat mengesahkan bahawa seorang budak berusia 3 tahun telah sembuh dari barah payudara melalui satu posting di laman rasmi Weibonya, pada hari Selasa. Sebelum ini, dua pesakit berumur 3 tahun di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menghidap barah payudara oleh Journal of the American Medical Association dan Journal of Pediatric Surgery.
Barah payudara karsinoma adalah sejenis barah yang jarang berlaku dan merebak secara perlahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, kebanyakannya wanita. Karsinoma berlaku pada sel-sel yang menyelaputi organ-organ di dalam badan seperti payudara, perut, usus, ginjal dan paru-paru. Ia menyumbang kurang dari 0.1 peratus daripada semua kes barah payudara, menurut anggaran berdasarkan pesakit di AS.
Yanyan berasal dari wilayah Shandong di timur China. Menurut sebuah laporan akhbar Cina Modern Express, ibunya telah mendapatkan bantuan perubatan untuk anak perempuannya itu selepas melihat benjolan lembut di dada kirinya dan lelehan cecair merah pada bajunya.
Ketika Yanyan mula-mula dibawa ke hospital, ibunya diberitahu oleh doktor bahawa gejala-gejala itu mungkin disebabkan oleh akil baligh pada usia muda. Bimbang dengan keadaan anaknya, dia membawa Yanyan ke hospital berbeza untuk pemeriksaan lanjut. Semasa membuat pemeriksaan di Hospital Rakyat Jiangsu, doktor membuat kesimpulan bahawa Yanyan menghidapi barah payudara. Menurut doktornya, Tang Jinhai, pasukan perubatan menjalankan satu pelan pembedahan yang boleh memelihara sebahagian besar tisu payudara yang sihat.
Prosedur ini amat sukar kerana tisu payudara kecil budak berusia tiga tahun, kata doktor. Pembedahan berjalan lancar dan tumor dikeluarkan dalam masa satu jam. Pada hari Isnin, Yanyan dibenarkan keluar dari hospital.
Barah payudara adalah sejenis barah yang paling umum dalam kalangan wanita di tanah besar China, dengan kira-kira 280,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun. Barah payudara karsinoma mempunyai kadar survival lebih dari 90 peratus, menurut analisis berdasarkan 83 pesakit warga Amerika.
Kadar survival barah payudara secara amnya adalah sekitar antara 80 peratus di negara maju hingga sekitar 60 peratus di negara berpendapatan sederhana dan bawah 40 peratus di negara berpendapatan rendah.
Pada tahun 2013, usia puncak pesakit didiagnosis barah payudara di China adalah 55 hingga 59 tahun, menurut kajian oleh Pejabat Kebangsaan Cina untuk Kawalan dan Pencegahan Barah.