KelabMama

Rayakan Mama: Ibu Ini Kongsikan Pengalaman Sebenar Sebagai Seorang “Cancer Survivor” & Kehidupan Bersama Anak-anak

Hari Ibu tahun ini hadir bersama kemeriahan Hari Raya menjadikan ia lebih bermakna. Sedang asyik melayan Instagram, Mama terkesan dengan hantaran seorang ibu di perantauan yang sedang bertarung dengan ujian kesihatan. Kelihatan manis dan bergaya gambar anak-anaknya berbaju raya sementara si ibu sendiri sedang bergelut melawan sakit masih sambil berusaha untuk meraikan hari bermakna bersama keluarga tercinta. 

Perkongsian ibu itu memberi kesan mendalam kepada Mama. Dalam coretan kali ini, ingin Mama kongsikan pengalaman Mama sendiri, yang diuji dengan kanser tahap 3 ketika usia baru mencecah 36 tahun. Waktu itu anak-anak baru mencecah usia 8, 6 dan 2 tahun. 

Ujian Menimpa Tanpa Diduga

Mama ingat lagi betapa tenang Mama di bilik doktor pakar telinga, hidung dan tekak ketika dia mengesahkan yang benjolan di leher Mama adalah disebabkan sel kanser yang semakin aktif. Mama dapat melihat raut wajah suami yang tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi antara cuba bertenang atau mempamerkan kebimbangannya. Perjalanan pulang ke rumah ketika itu agak jauh dirasakan walaupun kurang 5km dari hospital.

Gambar selepas tamat rawatan kemoterapi selama 6 bulan dengan berat hanya 38kg.

Setibanya di rumah, apabila ketiga-tiga anak berlari mendapatkan kami, ketika itulah terasa bagaikan tercabut nyawa daripada jasad. Mama tewas akibat sedih dan risau, lalu menangis dan terus meninggalkan anak-anak yang tertanya-tanya apa kesalahan yang telah mereka lakukan. 

Seharian Mama berkurung di dalam bilik. Puas anak-anak mengetuk pintu ingin berbual namun tidak Mama hiraukan. Kedengaran lembut suami memberitahu anak-anak, “Mama sakit. Biar Mama rehat, ye.”

Malam itu sangat berat untuk Mama lalui apabila mengenangkan bagaimana kehidupan kami sekeluarga selepas ini. Sempatkah Mama bersama menyaksikan kejayaan anak-anak dewasa nanti? Mampukah Mama menguruskan hal rumahtangga bila encik suami keluar bekerja? Terjagakah nanti makan minum pakai anak-anak? 

Mama yakin Mama boleh bersabar dengan ujian kesakitan yang Allah SWT takdirkan untuk Mama ketika itu. Namun, naluri ibu ini cukup sukar hendak menelan kebenaran apabila berbicara tentang kehidupan anak-anak dan masa depan mereka. 

Racun Menjadi Penawar 

Setelah berbincang dengan pakar, Mama dan suami sepakat untuk meneruskan rawatan kemoterapi dan radioterapi. Ia bukanlah satu keputusan yang mudah. Banyak perkongsian orang berpengalaman yang meluahkan penyesalan dan kesukaran selepas melakukan kemoterapi.  

Ubat kemoterapi yang ‘menggerunkan‘.

Mama ingat lagi kata doktor pakar, “Ubat chemo itu racun yang menjadi penawar. Ia akan bunuh semua sel dalam badan termasuk sel kanser yang sedang aktif itu.” Doktor pakar menjelaskan kesan rawatan yang mungkin akan mengambil jangka masa lama untuk pulih atau mengganggu sistem badan secara berkekalan. 

Demi kelangsungan hidup, Mama tahu Mama kena kuat untuk anak-anak. Mama kena lawan kanser yang memamah kesihatan Mama hari demi hari.   

Sewaktu sedang dalam rawatan, hospital menjadi rumah kedua kami.

Hikmah Di Sebalik Ujian

Dipendekkan cerita, setelah enam bulan menjalani rawatan, banyak yang kami sekeluarga pelajari. Alhamdulillah, ujian itu bukan sahaja menjadikan Mama lebih mengenali Tuhan Yang Esa, namun ia juga mematangkan usia anak-anak yang masih kecil lebih dewasa daripada rakan sebaya mereka. 

Anak-anak lelaki Mama mampu berdikari melakukan kerja-kerja rumah tanpa disuruh. Si abang sulung akan sentiasa memastikan bekas muntah yang ada di tepi katil sentiasa bersih dicuci. Anak yang kedua pula akan membantu mengurut tangan dan kaki dengan sukarela. 

Anak-anak menyediakan sarapan sendiri seawal usia 8 dan 6 tahun.

Cuma ada sedikit ralat bila berbicara dengan anak bongsu yang memang tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Yang dia tahu dia terpaksa bercerai susu serta-merta dan ada hari-hari Mama tidak ada di rumah kerana Mama ‘tidur’ di hospital. 

Alhamdulillah, sudah 7 tahun berlalu, dan doktor pun sudah mengesahkan yang Mama sudah bebas dari kanser sepenuhnya. 

Kesan dari kemoterapi dan radioterapi masih ada yang berbaki, dan mungkin tidak dapat diperbaiki lagi. Antaranya, Mama akan sentiasa dengar dengung berpanjangan di dalam telinga hinggakan ada waktu Mama sukar hendak berkomunikasi di tempat awam seperti di kedai mamak. Dan sehingga hari inilah, ketiga-tiga anak akan menjadi ‘telinga’ Mama apabila ada perkara yang cuba disampaikan orang lain dan tidak jelas untuk pendengaran Mama. 

Sudah tentu setiap pengalaman itu mendewasakan manusia. Terlalu banyak koleksi memori pahit manis yang Mama dan keluarga lalui ketika diuji hingga hari ini. Tetapi, apalah sangat ujian itu jika hendak dibandingkan dengan nikmat yang tidak terhingga banyaknya dari Yang Maha Pengasih. 

Buat ibu-ibu yang sedang diuji dengan kesihatan, Mama ingin berkongsi satu ayat ‘power’ yang menjadi benteng pertahanan selama mana kita diuji. Ayat terakhir surah Al-Baqarah, ayat 286:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. [QS 2:189]

Kuatkan semangatmu, wahai para ibu yang sedang diuji. Yakinilah yang setiap ujian itu akan hadir bersamanya kemanisan dan hikmah berganda. Terima kasih Allah, Alhamdulillah, kerana sentiasa memberi kekuatan buat semua para ibu yang melahirkan hamba-hambaMu.