Ramai sangat yang bagitau Mama Siti, takutnya nak buat ujian pap smear. Mana taknya dia guna alat spekulum yang rupanya macam ‘muncung itik’. Katanya, tak selesa, malu dengan doktor atau jururawat yang buat pemeriksaan. Tapi sekarang Mama Siti nak bagitahu, kita dah ada kaedah baru. Kaedah HPV DNA!
Kaedah HPV DNA membolehkan mama untuk buat ujian saringan kanser serviks secara sendiri dengan mudah dan cepat di klinik kesihatan kerajaan, seperti yang diwar-warkan oleh Dato’ Dr Mohd Rushdan Md Noor, Pakar Ginekologi Onkologi menerusi posting beliau di Medical Mythbuster Malaysia. Hmm, dah tak perlu malu-malu lagi dah!
Menurut beliau, ujian saringan ni kini telah ditawarkan di Klinik Kesihatan di 3 negeri terawal iaitu Wilayah Persekutuan, Kedah dan Kelantan; dan ia bakal dikembangkan ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat ni.
Ikuti penerangan penuh beliau di bawah ni.
Saringan kanser serviks (pangkal rahim) dengan Ujian DNA HPV
Kerajaan sedang memulakan fasa 1 program saringan kanser serviks di 3 buah negeri di Semenanjung Malaysia menggunakan kaedah baru iaitu ujian DNA HPV.
Tiga buah negeri tersebut adalah KEDAH, KELANTAN dan WILAYAH PERSEKUTUAN.
Wanita-wanita yang layak melakukan ujian ini adalah mereka yang:
- berusia di antara 30-49 tahun
- sudah pernah terdedah kepada hubungan kelamin.
*Wanita yang berusia kurang dari 30 tahun dan lebih dari 49 tahun, boleh meneruskan ujian pap smear kerana pada usia ini, pap smear mempunyai kelebihan.
Cara Ujian HPV DNA dilakukan
Ujian HPV DNA ini jauh lebih mudah dan lebih cekap daripada ujian PAP SMEAR khususnya ke atas kumpulan sasaran.
- Ia menggunakan peralatan yang kecil seperti “cotton bud” (dikenali sebagai “flog swab”) di mana anda sendiri boleh melakukannya (“self-sampling”)
- Tak perlu melalui pemeriksaan menggunakan spekulum besar seperti dalam ujian pap smear
- Jika ujian negatif, anda hanya perlu ulang semula selepas 5 tahun tidak seperti ujian pap smear setiap 1-3 tahun sekali.
Sampel yang diambil adalah daripada kawasan dalam faraj dan akan dihantar ke makmal untuk ujian kehadiran DNA Virus HPV.
Jika anda tidak yakin, ianya juga boleh dilakukan oleh kakitangan perubatan.
Kini ditawarkan di Klinik Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kedah & Kelantan
Ujian ini sudah boleh dilakukan SEKARANG di mana-mana KLINIK KESIHATAN terdekat dengan anda di TIGA negeri-negeri yang tersebut di atas.
Tujuan utama saringan ini adalah untuk mencegah kanser serviks (pangkal rahim).
Bakal dikembangkan di negeri-negeri lain
Program ini akan dikembangkan kepada fasa seterusnya di negeri-negeri lain tidak lama lagi.
Program yang kerajaan jalankan ini hanya tertumpu kepada sasaran strategik wanita berusia 30-49 tahun.
KEPADA WANITA-WANITA YANG LAYAK, JANGAN LEPASKAN PELUANG TERBAIK INI UNTUK MENCEGAH KANSER SERVIKS.
TOLONG SHARE MAKLUMAT INI KEPADA AHLI KELUARGA, JIRAN DAN RAKAN-RAKAN ANDA.
Dato’ Dr Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Ginekologi Onkologi
6hb Sep 2019
Sumber: Dato’ Dr Mohd Rushdan Md Noor via Medical Mythbuster Malaysia
BACA JUGA UJIAN PAP SMEAR TERBARU, KINI TIADA LAGI ‘MUNCUNG ITIK’
Pesanan Mama Siti:
Hmm, mama dah tak ada alasan untuk tak buat pemeriksaan kanser serviks dah! Bukan saja prosedur dia mudah, sekarang mama dah boleh buat pemeriksaan ni dekat klinik kesihatan yang terdekat. Especially 3 negeri yang Dr. Mohd Rushdan mention tadi. Mama kena ingat yang kita buat semua ini untuk pastikan kesihatan kita terjamin. Jadi yang mana tak buat lagi tu, boleh cepat-cepat buat pemeriksaan sekarang!