KelabMama

Elak Berkemban Depan Anak! 6 Perkara Pendidikan Seksual Kena Bermula Dari Rumah

Anak masih belum bersekolah rendah, tak akan dah nak mula terangkan tentang pendidikan seksual pada mereka? Eh, macam awal sangat je nak explain hal ‘dalam kain ni pada anak-anak’!

Mama dan Papa rasa malu? Iya, mungkin cabaran untuk menjelaskan pada anak-anak tentang pendidikan seksual terasa janggal. Tambahan pula nak kena sebut mengenai private part.

Bagi Papa yang mempunyai anak perempuan, lagilah rasa segan nak ajar pada anak-anak bukan? Silap-silap Papa mengelak dan tunggu sampai si anak start bersekolah. Bila dah bersekolah, Papa letakkan tanggungjawab itu pada cikgu pula.

Petikan laporan Sinar Harian mengenai kejadian rogol yang berlaku di Malaysia membabitkan golongan kanak-kanak semakin membimbangkan

Tenang Papa dan Mama, jangan terlalu memikirkan perasaan malu untuk ajar anak-anak anda mengenai hal sensitif ini.

Seeloknya, dedahkan kepada mereka seawal yang boleh sebaik melihat perkembangan minda mereka mulai faham dan serap nasihat daripada ibu bapanya.

Perlukah ajar mereka terlalu awal? Yes Mama dan Papa! Di zaman globalisasi ini, semua perkara boleh ditemui di hujung jari.

Malah, penggunaan handphone pada kanak-kanak juga kini makin meluas.

Jadi, wajarlah kalau anda risau sekiranya anak tak sengaja menonton benda yang bukan-bukan.

Selain itu, pergaulan mereka dengan kanak-kanak lain juga ada masanya di luar kawalan orang dewasa.

Jika anak-anak anda dilindungi daripada menonton konten sedemikian di handphone, namun tidak bagi kanak-kanak lain yang adakalanya lebih advance dalam soal seksual.

Menurut sebuah laporan mengenai Hak Asasi Manusia yang dikeluarkan oleh Jabatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, Malaysia mencatatkan sebanyak 28,741 kes rogol antara tahun 2005 hingga 2014.

Daripada jumlah ini sahaja, dianggarkan 10 orang wanita dirogol setiap hari, dan separuh daripadanya adalah remaja berumur di bawah 16 tahun.

Dalam kes ini, ada yang terlibat untuk hubungan suka sama suka, namun ada juga menjadi mangsa paedophilia iaitu nafsu orang dewasa terhadap kanak-kanak.

Terbukti ia bukan lagi isu picisan yang boleh ditolak tepi, tetapi harus dipandang dengan lebih serius. Setiap mangsa yang terbabit dalam kes rogol akan mengalami kesan fizikal, mental dan spiritual.

Ia bukan akan hilang dalam sehari dua malahan mungkin bertahun-tahun atau seumur hidup, hanya selepas perbuatan yang memakan masa selama kurang daripada 30 minit itu.

Bagaimana Nak Mula?

Antara yang berlegar-legar di kepala Mama dan Papa pastinya mengenai permulaan awal untuk explain pada anak apakah itu seksual.

Bukan hanya anak perempuan sahaja, anak lelaki juga perlu dipantau bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan pengaruh rakan atau orang dewasa.

Mama dan Papa harus ingat, selain paedophilia, kanak-kanak lelaki juga turut menjadi mangsa liwat orang dewasa.

Berikut adalah tips memulakan pendidikan seksual pada anak kita:

1. Kenalkan anak-anak tentang tubuh mereka

Perkara pertama untuk Mama dan Papa memulakan kaedah mengajar isu seksual adalah memperkenalkan kawasan tubuh anak. Tak kira sama ada anak lelaki atau perempuan, anda berdua perlu mainkan peranan memastikan anak-anak faham setiap fungsi tubuhnya dengan baik.

2. Explain kepada mereka bahagian sensitif

Bila dah faham dengan tubuh masing-masing, Mama dan Papa wajib beritahu private part mereka. Apa yang nak diberitahu? Terangkan pada mereka kawasan sensitif yang mana ia tidak boleh disentuh oleh sesiapa pun.

Sekiranya anak itu adalah perempuan, Mama Papa perlu terangkan sempadan antara ayah dan anak gadisnya jika Papa menyentuh bahagian itu.

Terangkan pada mereka Papa hanya boleh sentuh bagi tujuan membersihkan kotoran atau periksa keadaan mencurigakan. Bagaimanapun, ia masih terbatas dan keep reminding them bahawa dengan Papa juga mereka tak boleh sesuka hati dedahkan sepenuhnya.

Sekiranya private part mereka ada berasa gatal atau luka, hanya Mama atau ahli keluarga perempuan yang dewasa serta doktor sahaja boleh mengarahkan untuk anak gadis itu membuka pakaian dan sebagainya.

3. Tunjukkan pada mereka bahaya sekiranya menjadi mangsa seksual

Mama dan Papa haruslah tunjukkan kepada mereka bahaya sekiranya menjadi mangsa seksual seperti kesan pada mental, sakit tubuh badan atau hilang keyakinan diri dan pelbagai lagi. Yang penting Mama dan Papa harus gunakan bahasa mudah difahami anak-anak.

4. Tanamkan anak-anak perasaan malu dan bimbang untuk bercakap hal itu kepada umum

Sentiasa ingatkan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan bahawa menyebut perkataan berbaur lucah adalah suatu hal yang memalukan.

Jika ada rakan mereka menyentuh hal itu tanpa segan-silu, Mama dan papa perlu ajarkan anak bahawa perkataan itu adalah tidak baik dan tak boleh disebut secara terang-terangan dengan orang lain.

Minta anak tegur rakan mereka bahawa tindakannya itu tidak betul dan ia memalukan.

Sekiranya terjumpa konten berkaitan seks di televiyen atau handphone, segera cakap pada anak perbuatan itu adalah memalukan dan berdosa bagi mereka yang tidak ada hubungan suami isteri.

5. Sentiasa ingatkan anak agar tidak berahsia

Mama dan Papa harus ingatkan mereka bahawa jangan berahsia jika berlaku perkra mencurigakan tak kira dengan siapa pun dia berada. Bagi anak-anak perempuan, Mama perlu cari ruang untuk bersama sahaja dengan anak-anak tanpa Papa dan adik-beradik lelaki.

Di sini, peranan Mama adalah besar untuk memastikan si anak percaya dan berasa selamat dengan Mama. Terangkan pada anak-anak batasan sentuhan bagi Papa dan adik beradik lelakinya.

Jika ada sentuhan pelik, segera maklumkan pada Mama dan jangan berahsia. Beritahu anak kesannya jika perkara buruk berlaku tanpa pengetahuan Mama.

6. Ajar anak kaedah mempertahankan diri atau mendapatkan bantuan

Kebanyakan kanak kanak sukar untuk mengatakan ‘tidak’ kepada individu lain. Oleh itu, anda perlu ajar anak bahawa ia bukan satu kesalahan untuk menolak apa-apa permintaan.

Buat mereka tahu jika berlaku atau terjadi sesuatu yang mereka rasakan tidak selamat, pilih untuk beredar dari situ.

Sekiranya individu terbabit tidak membenarkan mereka pergi, beritahu anak anda untuk menjerit atau menangis sekuat hati bagi mendapatkan bantuan individu dewasa lain.

Sedaya-upaya untuk lawan seperti ajar anak merebahkan badan ke lantai sambil menjerit perkataan mudah didengar orang awam seperti ‘tolong’ atau ‘orang jahat’.

Yakinkan pada mereka untuk tidak berasa takut meminta bantuan kerana jika di kawasan terbuka, segala tindakan curiga daripada kanak-kanak akan segera diberi perhatian orang sekeliling.

Buat mereka berasa confident bahawa akan ada pertolongan jika mereka melawan stranger berkenaan. Ingatkan anak-anak untuk tidak mempercayai apa sahaja yang diperkatakan individu itu seperti ‘tidak ada sesiapa percaya dengan kata budak-budak’ atau ‘tidak ada sesiapa akan tolong jika budak-budak menjerit’.

#Kesimpulan

Yang penting, Mama dan Papa harus mainkan peranan utama dengan mendedahkan isu pendidikan seksual ini pada mereka.

Sekiranya anak bertanya, jangan mengelak kerana tindakan ini akan menyebabkan mereka berasa kehilangan tempat untuk bergantung atau berharap sekiranya terdapat salah laku seksual terjadi kepada mereka.

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat buat Mama dan Papa.


Pelajari pelbagai panduan dan tips keibubapaan yang lain di SINI.