KelabMama

Mengandung, Tapi…Period?! Kenali Jenis Pendarahan Ketika Mengandung

jenis pendarahan ketika mengandung

Pendarahan ketika mengandung juga dikenali sebagai spotting atau pendarahan ringan yang boleh menjadi situasi yang menakutkan dan membimbangkan terutamanya jika berlaku semasa awal kehamilan Mama.

Bagaimanapun, Mama tidak perlu terlalu risau kerana hanya kira-kira 20 peratus berkemungkinan Mama akan mengalaminya.

Pendarahan semasa mengandung adalah perdarahan yang berlaku daripada faraj Mama semasa mengandung. Dan untuk pengetahuan, ini bukanlah tempoh haid yang biasa, kerana kehamilan biasanya menyebabkan haid terhenti.

Berikut merupakan beberapa jenis pendarahan ketika mengandung yang Mama perlu take note:

Pendarahan pada Trimester Pertama

1. Implantasi

Pendarahan ringan dapat terjadi apabila telur yang telah dibuahi menempel pada dinding rahim, biasanya sekitar satu hingga dua minggu selepas pembuahan. Ini dikenali sebagai implantasi dan selalunya dianggap sebagai tanda awal kehamilan.

2. Keguguran Awal

Kredit Gambar: Gleneagles Hospital

Salah satu penyebab paling kerap berlaku semasa hamil adalah keguguran. Punca biasa keguguran ni biasanya disebabkan oleh kecacatan genetik.

Pendarahan ketika mengandung boleh menjadi tanda awal keguguran, terutamanya bila Mama alami kram perut yang sangat teruk dan mengeluarkan darah yang banyak dari faraj.

Darah yang keluar berwarna gelap atau merah terang. Oh ye, selain kram perut Mama akan rasa pening, pengsan dan menggigil.

3. Jangkitan

Keradangan dalam rongga pelvis atau jangkitan saluran kencing boleh menyebabkan pendarahan vagina. Selain tu, jangkitan di vagina seperti bacterial vaginosis atau yeast infection juga boleh menyebabkan pendarahan.

Mama mengandung yang melakukan hubungan seks tanpa perlindungan juga berisiko mengalami pendarahan faraj disebabkan oleh penyakit seksual seperti herpes, trichomoniasis, gonorrhea dan chlamydia. Keadaan ini boleh menyebabkan Mama rasa tak selesa di kawasan faraj.

4. Kehamilan Ektopik

Kehamilan ektopik, juga dikenali sebagai kehamilan di luar rahim, berlaku apabila telur yang telah disenyawakan melekat di luar rahim.

Sebagian besar kehamilan jenis ini terjadi dalam tiub fallopio Mama yang merupakan saluran yang menghubungkan antara ovari dengan rahim.

Kehamilan ektopik adalah lebih rendah berlaku berbanding dengan keguguran. Bayi tak dapat berkembang di luar rahim, oleh itu Mama memerlukan rawatan dengan segera.

Antara simptom-simptom yang Mama akan alami ialah kesakitan yang tajam, kekejangan dan tekanan pada rektum.

Pendarahan pada Trimester Kedua dan Ketiga

1. Placental Abruption

Plasenta adalah organ yang berkembang dalam rahim semasa kehamilan. Placental abruption berlaku apabila plasenta terpisah dari dinding rahim sebelum Mama bersalin.

Seperti yang Mama ketahui plasenta adalah organ sementara yang menghubungkan janin yang sedang membesar dengan rahim Mama semasa mengandung.

Ia melekat pada dinding rahim Mama , biasanya di bahagian atas atau sisi dan bertindak sebagai talian hayat yang memberikan nutrien dan oksigen kepada janin melalui tali pusat. Plasenta juga mengeluarkan sisa daripada darah janin.

Komplikasi kehamilan ini jarang tetapi ia sangat serius, ia boleh menyebabkan bayi kekurangan oksigen dan nutrien serta menyebabkan pendarahan yang teruk.

Gejala utama termasuk pendarahan faraj, sakit perut yang teruk, dan pengecutan rahim yang kerap atau berterusan.Dalam sesetengah kes, kemungkinan Mama perlu bersalin awal.

Punca sebenar placental abruption tidak dapat diketahui, tetapi ada beberapa faktor risiko termasuk tekanan darah tinggi semasa Mama mengandung (preeklampsia), trauma perut, merokok, penggunaan dadah terlarang dan sejarah sebelumnya yang mempunyai keadaan yang sama.

2. Molar Pregnancy atau Kehamilan Anggur

Pendarahan awal kehamilan juga boleh disebabkan oleh molar pregnancy atau kehamilan anggur.

Ini adalah komplikasi yang jarang berlaku tetapi masih dianggap serius. Anggaran satu daripada setiap 1,000 Mama mengandung akan mengalaminya.

Keadaan ni berlaku apabila tisu plasenta tumbuh secara tak normal disebabkan oleh kesilapan genetik semasa persenyawaan. Kehamilan molar menyebabkan janin tidak berkembang dan boleh menyebabkan keguguran pada trimester pertama.

Simptomnya juga lebih kurang sama alami pendarahan, sakit perut bahagian bawah, loya dan muntah.

3. Placenta Previa

Pendarahan mungkin disebabkan oleh placenta previa, di mana uri terletak di bahagian bawah rahim.

Placenta previa adalah keadaan di mana rahim (plasenta) terletak di bahagian bawah rahim Mama, meliputi sebahagian atau seluruh serviks. Keadaan ini boleh menyebabkan pendarahan tidak menyakitkan, yang boleh menjadi ringan atau berat dan sering berlaku secara tiba-tiba.

Pendarahan mungkin berulang dan sering berlaku pada Mama yang pernah mempunyai sejarah plasenta previa, mengandung anak kembar, berumur lebih 35 tahun, atau mempunyai sejarah pembedahan rahim sebelumnya.

Komplikasi yang boleh berlaku termasuk pendarahan yang banyak, kelahiran pramatang dan kedudukan rahim yang tidak normal yang boleh menyebabkan masalah semasa kelahiran.

Pengurusan plasenta previa biasanya melibatkan pemantauan rapi oleh doktor, mengurangkan aktiviti fizikal dan rehat yang mencukupi, serta bersalin secara cesarean untuk mengelakkan risiko pendarahan yang banyak.

4. Kelahiran Pramatang

Mengandung tetapi mengalami pendarahan, yang sering disalah anggap sebagai haid, boleh menjadi tanda masalah serius yang boleh menyebabkan kelahiran bayi pramatang.

Pendarahan semasa kehamilan, terutama selepas minggu ke-24, mungkin disebabkan oleh keadaan seperti placenta previa atau abruptio placenta. Keadaan-keadaan ini boleh menyebabkan pendarahan berat dan memerlukan rawatan segera.

Pendarahan yang tidak terkawal boleh menyebabkan kelahiran pramatang, di mana bayi dilahirkan sebelum waktunya dengan komplikasi seperti masalah pernafasan, jantung, pencernaan, imuniti dan neurologi.

Penting untuk segera mendapatkan pemeriksaan perubatan jika mengalami pendarahan semasa mengandung untuk mengelakkan risiko kelahiran pramatang.

Apa yang Perlu dilakukan Apabila Mengalami Pendarahan?

Pendarahan semasa awal kehamilan ni bergantung kepada punca dan gejalanya, penting untuk Mama berjumpa dengan doktor dulu sebelum buat apa-apa tindakan.

Jika Mama sudah melebihi minggu ke-24 dan berlaku pendarahan, ia mungkin petanda masalah serius. Mama disarankan segera mendapatkan pemeriksaan dengan doktor pakar sakit puan.

Papa pun perlu take note juga tentang perkara ini untuk memastikan kesihatan Mama dan bayi sentiasa dalam keadaan baik. Kalau Mama rasa ada tanda-tanda pendarahan ketika mengandung cepat-cepat pergi klinik untuk dapatkan pemeriksaan daripada doktor.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Dapatkan lebih banyak informasi ketika Mama mengandung di SINI.