KelabMama

Pendarahan Ketika Hamil: Bila Mama Perlu Risau?

Pendarahan ketika hamil? Mesti mama rasa panik dan risau kan bila berlaku situasi macam ni semasa kehamilan. Sebenarnya kalau mama nak tahu, pendarahan ketika hamil ni bukanlah sesuatu yang sangat membimbangkan. Boleh dikatakan ramai mama hamil yang mengalami pendarahan ringan atau “blood spotting” di awal kehamilan mereka. 

Walaupun pendarahan kecil ini satu kebiasaan bagi kebanyakan mama yang hamil tapi kita tak boleh ambil mudah. Ada juga pendarahan yang menjadi tanda-tanda komplikasi kehamilan tau. Mama kenalah tahu bagaimana nak bezakan pendarahan biasa atau tak supaya masalah yang lebih besar dapat dielakkan.

Kredit Medical News Today

Bagi mengenali situasi yang mama hadapi, kita kena ambil tahu kenapa berlakunya pendarahan ketika hamil? Apakah yang menyebabkan pendarahan semasa kehamilan ni?

Punca Pendarahan Ketika Hamil

Secara umumnya, sebanyak 20 – 25% wanita yang hamil ada mengadu mengalami pendarahan faraj semasa di awal kehamilan. Pendarahan di trimester satu bukanlah sesuatu yang membimbangkan. 

Secara medikalnya, pendarahan ketika hamil dibezakan mengikut waktu berlakunya pendarahan itu, samada di trimester satu, dua atau tiga. 

Pendarahan di Trimester 1

Antara sebab-sebab berlakunya pendarahan ketika hamil di trimester satu adalah kerana:

#1 Pendarah disebabkan fibroid, polip atau jangkitan kuman

Kebanyakan kes berlakunya pendarahan di awal kehamilan adalah disebabkan beberapa perkara seperti kerengsaan (inflammation) serviks yang terjadi disebabkan hubungan intimasi suami isteri. 

Ada juga pendarahan yang keluar dari faraj disebabkan ketumbuhan pada dinding rahim seperti fibroid atau polip serviks  (cervical polyps). Ketumbuhan ini taklah membahayakan dan masih boleh dipantau dan diubati. Mama boleh mendapat nasihat pakar untuk merawat masalah ini sepanjang kehamilan. 

Selain dari itu, jangkitan kuman pada serviks juga boleh menyebabkan berlakunya pendarahan dari faraj. Doktor boleh memberi ubat-ubat tertentu untuk membantu memulihkan keadaan ini. 

#2 Pendarahan disebabkan implantasi IVF

Bagi pasangan yang melakukan implantasi atau persenyawan secara in-vitro, kebarangkalian berlakunya pendarahan di awal kehamilan juga adalah besar.

Proses implantasi akan melibatkan lebih dari satu sel embrio yang akan dimasukkan ke dalam rahim. Ada yang kesemua sel akan melekat pada uterus dan ada juga yang tak berjaya melekat. Sel yang tak melekat akan dibuang oleh badan melalui faraj dan inilah yang menyebabkan pendarahan semasa hamil di peringkat awal. 

Kredit Alpha Women’s Specialist

#3 Pendarahan disebabkan keguguran

Ada juga sel yang telah disenyawakan secara normal di waktu subur dan hampir berjaya untuk melekat dan membesar menjadi bayi. Tapi mungkin kerana genetik atau aktiviti-aktiviti yang dilakukan tak menepati kemampuan badan seorang wanita hamil, akan berlaku pendarahan disebabkan keguguran kerana sel gagal untuk melekat sepenuhnya. Kebiasaannya, darah yang keluar ketika ini dalam bentuk ketulan yang pekat.  

#4 Pendarahan disebabkan kehamilan ektopik

Kehamilan ektopik juga antara punca terjadinya pendarahan di trimester pertama. Kehamilan ektopik terjadi apabila sel yang disenyawakan melekat di luar rahim atau uterus mama. Kehamilan ini adalah tak normal dan harus dilakukan pengguguran dengan kadar segera kerana ia boleh memudaratkan mama hamil.

Kehamilan ektopik

#5 Pendarahan disebabkan kehamilan molar

Selain daripada pendarahan faraj yang dinyatakan, pendarahan juga boleh berlaku kerana kehamilan molar. Kehamilan molar ialah dimana perkembangan tak normal tisu uterus sendiri dan bukanlah sel bayi yang disenyawakan. Kebanyakan kes kehamilan molar ini adalah disebabkan sel kanser yang merebak pantas dan menjangkiti kawasan-kawasan lain termasuk sel bayi itu sendiri. Kes ini juga perlu mendapat rawatan segera daripada pakar.  

Pendarahan di Trimester 2 dan 3

Walaupun kebanyakan kes pendarahan ketika hamil semasa trimester pertama tak begitu membimbangkan, mama yang mengalami pendarahan di trimester kedua dan ketiga perlulah lebih berhati-hati dan mengambil tindakan segera. Ini adalah kerana di peringkat ini, sel bayi sudahpun kuat melekat di dinding rahim dan sedang dalam proses tumbesaran secara normal. Sebarang pandarahan di waktu ini kebanyakkannya adalah abnormal.

Antara punca pendarahan di trimester kedua dan ketiga adalah disebabkan:

#1 Pendarahan disebabkan Placenta Previa

Apabila kedudukan embrio terletak di bahagian yang terlalu bawah di dalam uterus, ini boleh menyebabkan tertutupnya pintu rahim sekaligus, jalan keluar untuk bayi. Ini akan menyebabkan pendarahan kerana bayi semakin membesar. Walaupun pendarahan yang berlaku ini tak menyakitkan mama hamil, mama harus ke hospital untuk mendapatkan nasihat dan memantau keadaan mama dan bayi. 

#2 Pendarahan disebabkan Placenta Abruption

Plasenta ialah uri yang meliputi bayi di dalam kandungan yang memberi makan dan perlindungan semasa bayi membesar di dalam rahim. Ia mengandungi nutrien-nutrien yang diperlukan bayi. Placenta abruption adalah keadaan dimana uri tercabut daripada rahim dan akan menyebabkan berlakunya pendarahan dari faraj. Mama perlu segara mendapatkan rawatan kerana jika dibiarkan akan menyebabkan fetus tak mendapat oksigen yang mencukupi sehingga menyebabkan bayi tak dapat meneruskan kehidupan. 

Pendarahan akibat uri pecah

#3 Pendarahan disebabkan Uterine Rupture

Bagi mama-mama yang pernah melahirkan bayi melalui pembedahan Ceaserian, pakar sering menasihatkan untuk menjarakkan kehamilan yang seterusnya bagi memastikan rahim pulih sepenuhnya. Jika jarak kelahiran sebelumnya adalah terlalu dekat hingga membuatkan uterus mama belum sempat pulih sepenuhnya, kehamilan berikutnya boleh memberi risiko kepada mama. Uterine rupture atau keadaan rahim pecah boleh terjadi dimana keadaan dinding rahim yang koyak ketika bayi yang dikandungkan semakin membesar. Pendarahan akan berlaku dan ia juga membahayakan keadaan mama dan bayi.  

#4 Pendarahan disebabkan kehamilan pramatang 

Pendarahan di trimester tiga juga boleh terjadi apabila berlakunya kehamilan pramatang. Kehamilan pramatang berlaku apabila rahim sudah mula menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan seperti berlakunya kontraksi atau air ketuban pecah walaupun kehamilan belum pun menjangkan minggu ke-37. 

Kredit Firefly Friends: Bayi pramatang

Bilakah Mama perlu risau dan apa yang boleh doktor lakukan jika berlaku pendarahan ketika hamil?

Jika berlaku pendarahan ketika hamil, mama kena jelas dan faham keadaan badan mama sendiri. Ada pendarahan yang berlaku tak membuatkan apa-apa rasa sakit pada diri mama, tapi jika pendarahan dalam kuantiti yang banyak walaupun masih di trimester pertama, mama harus dapatkan nasihat doktor. Ada banyak kemungkinan yang boleh menyebabkan pendarahan tersebut. 

Doktor akan melakukan pemeriksaan rahim untuk menilai kandungan dan jumlah darah yang berkumpul di uterus. Doktor juga akan menjalankan ujian ultrasound untuk memastikan tahap kesihatan dan perkembangan bayi serta kadar degupan jantung bayi di dalam kandungan. 

Kredit Meditatts

Jika pendarahan yang berlaku di awal kehamilan, ujian darah juga akan dilakukan untuk memastikan sama ada pendarahan yang berlaku disebabkan kehamilan ektopik atau kebarangkalian berlakunya keguguran. Ujian darah boleh memastikan keadaan sel rahim. 

Adakah bayi dalam kandungan akan selamat?

Pendarahan di awal kehamilan bukanlah sesuatu yang merisaukan. Ia mungkin terjadi kerana hubungan intim suami isteri ataupun disebabkan pendarahan disebabkan implantasi IVF. Namun begitu, jika pendarahan terjadi secara berterusan, segeralah mama buat temujanji dengan doktor untuk mendapatkan kepastian. Mama juga perlu beritahu doktor jika mama menghadapi simptom-simptom sampingan yang lain seperti kekejangan, sakit belakang atau pun demam.

Doktor pakar dapat menilai keadaan kandungan serta kesihatan mama dan bayi dan jika perlu melakukan ujian-ujian tertentu untuk mendapatkan kepastian. 

Semoga membantu!

BACA JUGA AMALAN IBU MENGANDUNG UNTUK MAMA AMALKAN

Pesan Mama Siti

Mama Siti mendoakan agar mama semua diberi kesihatan dan dipermudahkan sepanjang kehamilan dan selamat melahirkan bayi comel yang dinanti-nantikan selama sembilan bulan sepuluh hari. Mama kena berhati-hati dalam melakukan aktiviti-aktiviti tertentu supaya tak memudaratkan diri mama dan bayi okay!