Bagi Mama Papa yang mempunyai anak lahir antara 2 Januari 2019 hingga 1 Januari 2020, ini masanya untuk bersiap sedia kerana pendaftaran Tahun 1 sesi 2026/2027 akan dibuka pada 1 Mac 2025 dan ditutup pada 30 April 2025.
Dengan adanya Modul Pengurusan Awam, Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan Malaysia (MOEIS), Mama Papa kini boleh mendaftarkan anak-anak secara dalam talian (online) tanpa perlu ke sekolah atau mengisi borang manual yang rumit.
Sistem ini bukan sahaja menjimatkan masa Mama Papa tetapi memudahkan proses pendaftaran supaya semuanya berjalan dengan lebih sistematik dan teratur.
Bila & Di Mana Permohonan Dibuka?

Permohonan kemasukan Tahun 1 ini terbuka untuk semua Sekolah Rendah Kerajaan di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Mama Papa hanya perlu mengakses portal MOEIS untuk melakukan pendaftaran secara dalam talian.
Dengan sistem ini, Mama Papa tidak perlu lagi beratur panjang di sekolah untuk menghantar borang secara manual kerana semuanya boleh dilakukan dari rumah, pada bila-bila masa sepanjang tempoh pendaftaran dibuka.
Macam Mana Nak Daftar?

- Layari portal rasmi MOEIS di https://idme.moe.gov.my
- Daftar sebagai pengguna baru jika pertama kali guna sistem.
- Log masuk dengan ID dan kata laluan yang didaftarkan.
- Isi maklumat peribadi ibu bapa dan anak dalam Modul Pengurusan Awam.
- Pilih sekolah pilihan berdasarkan alamat tempat tinggal.
- Muat naik dokumen yang diperlukan.
- Cetak borang permohonan dan hantar ke sekolah yang dipilih untuk pengesahan.
Dokumen yang Perlu Mama Papa Sediakan

Semasa membuat pendaftaran, Mama Papa perlu memastikan semua dokumen penting telah lengkap bagi mengelakkan sebarang kelewatan atau masalah dalam permohonan.
Berikut adalah senarai dokumen yang biasanya Mama Papa perlu sediakan:
- Salinan kad pengenalan Mama Papa dan anak
- Sijil lahir anak
- Bil utiliti atau dokumen pengesahan alamat (seperti bil elektrik, bil air, cukai pintu, atau perjanjian jual beli terkini)
- Surat nikah / surat cerai (jika berkaitan)
- Sampul surat bersaiz standard & setem (mengikut keperluan sekolah)
- Kad OKU & laporan doktor (jika berkaitan)
- Cetakan borang permohonan online
Pastikan semua dokumen asal dan salinan yang diperlukan telah disediakan lebih awal supaya Mama Papa tidak kelam-kabut ketika menghantar borang ke sekolah pilihan.
Tindakan Selepas Mama Papa Mendaftar
Selepas permohonan online berjaya dihantar, Mama Papa masih perlu menghadirkan diri ke pejabat sekolah yang dipilih dalam tempoh yang ditetapkan.
Ini penting untuk proses pengesahan permohonan dan penghantaran dokumen.
- Jangan tunggu hingga saat akhir untuk daftar – elakkan kesesakan & masalah teknikal.
- Pastikan dokumen lengkap sebelum hantar ke sekolah.
- Jika ada sebarang pertanyaan, rujuk Manual Pengguna Sistem MOEIS atau hubungi pihak sekolah.
Dengan adanya sistem pendaftaran online ini, proses kemasukan anak ke sekolah rendah kini menjadi lebih mudah, cepat, dan teratur.
Jadi, ambil peluang untuk pendaftaran tahun 1 sesi 2026/2027 anak Mama Papa lebih awal supaya semuanya berjalan lancar dan Mama Papa pun tidak perlu terkejar-kejar.
Mama Papa boleh dapatkan lebih banyak tips keibubapaan di SINI.