Strok merupakan punca kematian ketiga paling biasa di Malaysia pada tahun 2023 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)1 dan diramalkan akan meningkat menjadi punca kedua kematian di Malaysia menjelang tahun 2040.
Jika tiada tindakan pencegahan diambil, satu daripada empat rakyat Malaysia boleh diserang strok pada tahun yang sama. Kementerian Kesihatan (KKM) juga menyokong ramalan DOSM, yang menekankan strok sebagai antara punca utama kematian dalam Garis Panduan Amalan Klinikal 20202 , dan menyatakan strok iskemik sebagai pencetus utamanya.
Trend yang membimbangkan ini menujukkan bahawa terdapat keperluan untuk membuat strategi pencegahan dan rawatan strok yang berkesan.
Strok iskemik berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak tersekat lalu menghalang tisu otak daripada menerima oksigen dan nutrient seterusnya membawa kepada kematian sel otak dalam beberapa minit.
Implikasi neurologi strok iskemik boleh mengakibatkan kelumpuhan otot seperti kelemahan otot muka dan kekebasan serta kesukaran untuk bercakap, gangguan penglihatan, ketidakseimbangan berjalan, pening dan kekejangan otot jangka panjang yang boleh menjejaskan aktiviti harian.
Dr Kok Chin Yong, Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), menjelaskan, “Strok iskemik boleh berpunca daripada pelbagai faktor, seperti pengumpulan timbunan lemak dalam arteri serta faktor-faktor lain yang menggalakkan pembentukan darah beku.”
Oleh itu, rawatan perubatan awal adalah sangat penting untuk meminimumkan kerosakan pada otak dan meningkatkan hasil rawatan dan pemulihan selepas strok.
Kepentingan Golden Hour untuk Rawatan Strok
Apabila serangan strok berlaku, masa adalah penting, dan setiap detik berharga. Akronim BE FAST ialah akronim popular yang digunakan untuk membantu mengenal pasti simptom strok dengan cepat, tetapi konsep The Golden Hour juga penting.
Istilah the golden hour ini merujuk kepada tempoh masa untuk membolehkan profesional perubatan memulihkan bekalan darah ke otak selepas saluran darah tersumbat dan mendapatkan hasil rawatan strok yang optimum. Tempoh masa ini bermula daripada simptom strok berlaku hingga pesakit menerima rawatan.
Semasa tempoh the golden hour ini, intervensi perubatan yang tepat pada masanya boleh meningkatkan peluang pemulihan yang lebih baik dan mengurangkan risiko hilang keupayaan dalam jangka masa panjang atau kematian, memandangkan kira-kira dua juta sel otak mati setiap minit tanpa bekalan darah.
Intervensi perubatan semasa tempoh the golden hour melibatkan dua rawatan utama: trombolisis dan trombektomi mekanikal. Trombolisis melibatkan pemberian ubat untuk melarutkan darah beku yang bersaiz kecil di dalam otak dan prosedur ini mesti dijalankan dalam tempoh masa 4.5 jam dari permulaan strok.
Rawatan trombolisis ini dapat meningkatkan peluang untuk memulihkan aliran darah ke otak dan mengurangkan risiko kerosakan kekal pada otak.
Bagi pesakit strok dengan darah beku yang lebih besar, prosedur trombektomi mekanikal akan dilakukan.
Prosedur ini melibatkan penggunaan peranti untuk mengeluarkan darah beku secara fizikal, sama seperti prosedur angioplasti jantung di mana doktor pakar akan menggunakan kerangka besi (stent retriever) untuk mengembang di sekeliling darah beku, membolehkan darah beku itu ditarik keluar bersama-sama dengan alat kateter aspirasi, yang digunakan untuk menyedut darah beku keluar dari saluran darah.
Trombektomi mekanikal paling berkesan apabila dijalankan dalam tempoh masa 6 jam selepas serangan strok tetapi ia masih boleh memberi manfaat kepada pesakit jika dilakukan dalam masa 24 jam dalam kes tertentu.
Dr Rozman Zakaria, Pakar Perunding Radiologi dan Pakar Radiologi Intervensi Neuro di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), menghuraikan bahawa trombektomi mekanikal boleh memulihkan aliran darah ke otak dengan lebih berkesan kerana ia boleh mengeluarkan darah beku sepenuhnya daripada otak, sekaligus meningkatkan hasil pemulihan.
Dr Rozman juga menekankan bahawa jika pesakit strok tidak menerima rawatan dalam tempoh masa the golden hour ini, risiko kerosakan otak yang teruk, risiko kematian, dan risiko hilang keupayaan jangka panjang akan meningkat dengan ketara.
Hal ini kerana, rawatan yang ditangguh akan mengurangkan keberkesanan intervensi perubatan, menjadikan pemulihan lebih mencabar dan selalunya akan mengakibatkan kecacatan fizikal, kognitif dan pertuturan yang kekal.
Ini pasti akan memberi kesan kepada kualiti hidup bagi pesakit yang terselamat, menjejaskan kebebasan dan kesejahteraan keseluruhan mereka.
Oleh itu, intervensi perubatan segera semasa tempoh the golden hour ini adalah penting untuk meningkatkan hasil rawatan dan mengurangkan simptom selepas strok yang teruk.
Kajian juga menunjukkan bahawa apabila trombolisis dijalankan dalam tempoh masa the golden hour, ia meningkatkan kebolehan pesakit strok untuk bergerak secara berdikari sebanyak 30 peratus pada tiga bulan selepas strok, membolehkan pesakit menguruskan aktiviti harian mereka dengan kurang bantuan.
Selain itu, trombektomi mekanikal boleh meningkatkan kebolehan berdikari dalam hampir 50 peratus pesakit strok dan mengurangkan simptom selepas strok pada lebih 40 peratus pesakit.
Dr Kok juga menekankan bahawa kedua-dua rawatan ini bertujuan untuk membuka semula saluran darah yang tersumbat dan memulihkan aliran darah ke otak, dan dalam beberapa kes, gabungan kedua-dua rawatan ini boleh digunakan untuk memaksimumkan potensi pemulihan pesakit strok.3
Kepentingan Rehabilitasi dan Pemulihan Selepas Strok
Rawatan strok bukan sahaja mengenai intervensi perubatan segera semasa fasa akut strok tetapi juga melibatkan pemulihan jangka panjang untuk membantu pemulihan.
Dr Kok dan Dr Rozman menekankan kepentingan untuk tidak berputus asa dalam rehabilitasi, walaupun terdapat pelbagai cabaran dan stigma yang berkaitan dengannya.
Rehabilitasi strok bertujuan untuk memaksimumkan pemulihan melalui neuroplastik otak, di mana otak pesakit membentuk sambungan baru untuk mengimbangi kawasan yang telah terjejas disebabkan strok.
Dr Kok menasihatkan bahawa walaupun penting untuk menerima realiti strok, pesakit harus kekal komited untuk pemulihan mereka.
“Rehabilitasi boleh meningkatkan kualiti hidup dan keupayaan untuk berdikari dengan ketara, dan mengurangkan keperluan untuk mendapatkan bantuan untuk menjalani aktiviti harian.”
Dr Rozman juga menyuarakan sentimen yang sama, menggalakkan semua pesakit untuk meneruskan rehabilitasi bagi meningkatkan lagi keupayaan fizikal dan kognitif mereka.
Di samping kepentingan untuk mendapatkan rawatan dengan segera dan menjalani rehabilitasi, strategi rawatan yang lebih maju dan inovatif seperti rangsangan otak secara tidak invasive dalam bentuk rangsangan magnet transkranial berulang (rTMS) kini tersedia dan boleh digunakan untuk meningkatkan neuroplasticity otak dan membantu dalam mempercepatkan pemulihan pesakit.
Tambahan pula, pilihan gaya hidup dan diet harian adalah penting untuk pencegahan stroke. Dr Kok berkongsi bahawa menjadi aktif secara fizikal dan pengambilan makanan kaya Omega-3 dan lima atau lebih hidangan ikan setiap minggu boleh mengurangkan risiko stroke sebanyak 60 peratus.
Penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi) dan diabetes adalah faktor risiko utama stroke kerana kedua penyakit ini menggalakkan pembentukan plak dalam saluran darah yang berpotensi menyebabkan penyumbatan dalam aliran darah ke otak, seterusnya membawa kepada simptom stroke secara tiba-tiba.
Beliau juga memerhatikan peningkatan kes stroke di kalangan individu yang lebih muda yang sering dikaitkan dengan gaya hidup yang tidak aktif, merokok, hipertensi yang tidak didiagnosis dan penyakit apnia tidur obstruktif (OSA), yang biasa berlaku di kalangan individu yang berlebihan berat badan.
Secara keseluruhannya, rawatan stroke yang berkesan dalam tempoh the golden hour boleh meningkatkan hasil pemulihan dengan ketara dan mengurangkan risiko ketidakupayaan jangka panjang.
Pesakit mesti mendapatkan rawatan perubatan segera jika mereka mengalami gejala stroke dan meneruskan rehabilitasi selepas rawatan untuk meningkatkan pemulihan mereka.
Setiap kes stroke juga memerlukan pendekatan rawatan yang disesuaikan, jadi amat penting untuk pesakit mendapatkan konsultasi dengan pakar perubatan professional dan ahli fisioterapi yang dipercayai.
Dengan memahami kepentingan untuk mendapatkan rawatan tepat pada masanya semasa serangan stroke berlaku dan mengetahui kepentingan untuk menjalani rehabilitasi selepas rawatan, pesakit stroke dan penjaga mereka boleh mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kualiti hidup dan keupayaan mereka untuk berdikari.
Rujukan
1https://www.dosm.gov.my/uploads/release-content/file_20231030100000.pdf
3https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJM199512143332401
Mama Papa dapatkan informasi kesihatan Mama Papa dan anak-anak di SINI.