KelabMama

Jom Kenali 7 Pelakon Kanak-Kanak Yang Berbakat Di Malaysia

Sumber: aimanabdullah.com

Industri seni Malaysia semakin mendapat nama di peringkat global kerana ia bukan sahaja dibarisi pelakon-pelakon dewasa dan veteren yang berbakat malah turut dibintangi ramai pelakon kanak-kanak yang hebat.

Jom kita kenali beberapa pelakon kanak-kanak di Malaysia yang cukup berbakat memajukan industri seni kita:

7 Pelakon Kanak-Kanak Yang Berbakat Di Malaysia

1. Dhia Irdina

Sumber: facebook.com/dhia.ly

Lebih dikenali sebagai Dhia Ly, siapa je tak kenal pelakon kanak-kanak perempuan yang berwajah comel ni kan?

Berusia 9 tahun, Dhia Ly telah menempa nama dalam industri seni sejak kecil lagi. Kebolehannya dalam bidang lakonan jelas terserlah dalam pelbagai drama Melayu seperti drama 7 Hari Mencintaiku 2.

Membawa watak sebagai Alisa Ariana, Dhia Ly cukup berbakat dalam melakonkan pelbagai adegan. Bukan senang ya untuk kanak-kanak menzahirkan ekspresi muka dengan nada suara dan gaya badan yang tepat.

Tanya je pada peminat drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini. Rata-rata akan setuju bahawa Dhia Ly cukup berbakat dalam menjiwai wataknya tetapi masih mengekalkan kepolosannya sebagai kanak-kanak.

Dalam perkongsian di akaun Instagramnya, Dhia Ly dikatakan akan terlibat dalam drama 7 Hari Mencintaiku 3. Wah.. macam tak sabar je kan? Wataknya masih akan sama je ke atau karakternya akan berubah ya?

2. Puteri Rafasya

Sumber: YoutubePuteriRafasyaTV

Bukan Dhia Ly sahaja pelakon kanak-kanak dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 ya. Terdapat seorang lagi pelakon kanak-kanak perempuan yang turut berbakat menjayakan drama ini.

Menurut perkongsian dari Azhan, Puteri Rafasya lebih mesra dengan nama panggilan Cobi. Meskipun umurnya baru 10 tahun, Puteri Rafasya amat berbakat bukan sahaja dalam bidang lakonan malah beliau pandai menyanyi dan menari serta turut menceburi bidang peragaan.

Wataknya sebagai Kenit memang meluluhkan hati siapa je yang menonton drama 7 Hari Mencintaiku 2. Puteri Rafasya membawa watak ini iaitu seorang anak yatim piatu yang sentiasa didera oleh kakaknya dengan hebat sekali.

Selain daripada drama ini, beliau turut berlakon dalam pelbagai iklan dan telefilem seperti Dosa Terlindung.

3. Nik Muhammad Adam Mikael

Sumber: ninjaoutreach

Dikenali dengan nama singkatan Nik Adam Mika, nama pelakon kanak-kanak lelaki cilik ini sedang mencipta nama dalam industri seni kita. Tengok je lakonannya sebagai Ramadani dalam drama terbarunya iaitu Ramadani.

Dalam drama bersiri ini, beliau membawa watak sebagai anak lelaki yang dimanjakan bapanya. Karakternya dalam drama ini berubah apabila bapanya membawa pulang 2 orang kanak-kanak gelandangan ke rumah.

Pada usia 11 tahun, pelakon cilik yang berasal dari Sarawak ini telah terlibat dalam penghasilan iklan, drama dan telefilem. Bukanlah calang-calang, beliau pernah tercalon sebagai artis baru lelaki popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 tau!

4. Mia Sara Nasuha

Sumber: beritaharian.com

Peminat drama dan telefilem Melayu pasti mengenali nama Mia Sara kan? Pelakon kanak-kanak perempuan yang dulunya membintangi filem Sekali Lagi dan Papa I Love You ini sedang menginjak ke usia remajanya dan tetap kelihatan comel.

Beliau terkenal dengan pendiriannya untuk kekal bertudung walaupun ditawarkan apa sahaja watak lakonan. Ketegasannya itu telah mencuit hati rakyat Malaysia yang rata-ratanya menyokong pendiriannya itu.

Terkini pada usia 16 tahun, beliau tetap giat dalam industri seni dan gemar berkongsi pandangan di channel YouTubenya.

Jika dilihat pada perwatakan dan personalitinya, beliau adalah seorang pelakon kanak-kanak perempuan yang berkeyakinan dan berpotensi untuk menjadi pelakon dewasa yang berkarisma kelak.

Yelah.. pada usia muda sebegitu, beliau sudah diangkat menjadi Duta Aman Palestin. Moga-moga Mia Sara kekal aktif dalam karier dan terus berbakti kepada masyarakat.

5. Puteri Balqis

Sumber: facebook.com/theRealBalqis

Seiring dengan Mia Sara, Puteri Balqis merupakan pelakon kanak-kanak perempuan lain yang setanding bakatnya. Mana tak nya, beliau pernah memenangi Anugerah Televisyen Asia Ke-19 sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Sekarang pada usia 14 tahun, beliau telah menonjolkan bakatnya selain dari dalam bidang lakonan iaitu dalam mengarang puisi. Menurut Hanisah Selamat, Puteri Balqis giat mempromosikan buku puisi karyanya di Kuala Lumpur.

Dengan usia sebegitu, pencapaiannya agak besar kan? Mungkin Puteri Balqis sememangnya antara mereka yang berjiwa seni. Apa sahaja watak yang diberikan, tentu boleh dibawa dengan baik.

Walaupun beberapa tahun lepas beliau dilaporkan menghadapi masalah jantung, semangatnya tetap kuat dan berpendapat bahawa itu adalah rahmat dan kasih sayang Tuhan.

Bukan senang kan untuk kanak-kanak pada usianya untuk berfikiran seperti beliau? Itulah Puteri Balqis, pelakon kanak-kanak perempuan Malaysia yang cukup berbakat!

6. Danish Hazriq

Sumber: iluminasi.com

Menurut Zulhilmi Jalil, pelakon kanak-kanak lelaki cilik ini pernah tercalon sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin Kebangsaan 2018 dalam filem yang dibintanginya iaitu Cucu Atuk.

Seperti beberapa pelakon kanak-kanak yang lain, Danish Hazriq juga berkebolehan dalam dunia peragaan.

Kini pada usia 15 tahun, antara drama dan filem lakonannya yang mendapat sambutan adalah Mulut Masin, Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! dan yang terbaru i-Tanggang Mother Of All Lies.

Ramai yang berpendapat drama dan filem lakonannya menyeronokkan untuk ditonton. Betul ke?

7. Muzayyin Mahyuddin

Sumber: gempak.com

Siapa yang pernah tengok drama Mak Cun tentu kenal pelakon kanak-kanak lelaki ini kan? Dengan badan yang chubby dan wajah yang montel, beliau antara pelakon kanak-kanak yang comel di Malaysia.

Pernah memegang watak utama dalam iklan raya Petronas yang berjudul Donut Ke Karipap, lakonannya sebagai Hakim dikatakan mencuit hati penonton dengan mesej yang disampaikannya.

Kini pada usia 14 tahun, antara filem lakonan terbarunya adalah Mulut Masin. Beliau dikatakan masih tidak dapat lupa pengalamannya yang pernah diganggu semasa penggambaran filem itu.

Moga Muzayyin melihatnya sebagai satu pengalaman yang berharga dan terus mencorak bakat dalam dunia seni kita.

Semoga Industri Seni Kita Semakin Berkembang

Walaupun pada usia yang muda, pelakon kanak-kanak di Malaysia memang berbakat dalam pelbagai bidang kan? Marilah kita menyokong bakat dan sumbangan mereka dengan sama-sama menonton drama dan filem Malaysia.