“Mama Siti, kenapa kalau pergi pantai rasa lain ya? Macam lebih rileks dan tenang”.
Kerana bunyi air laut didapati mampu meningkatkan kesedaran diri dan kesejahteraan emosi. Selain itu, pantai ialah tempat terbaik merancang sensori anak Mama.
Oleh itu, Mama Siti ingin menjemput Mama datang ke 15 pantai di seluruh negeri Selangor. Kemudahan dan keistimewaan setiap satunya pun ada Mama Siti lampirkan sekali.
15 Pantai Di Selangor Untuk Pergi Bersama Keluarga Mama!
#1 Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam
Terletak di kawasan paya bakau dan berhampiran dengan jeti nelayan. Jika berkesempatan, Mama berpeluang melihat bot dan kapal nelayan perg ke laut di waktu petang.
Oh ya, ada satu tempat viral yang wajib singgah kalau datang ke sini tau. Mi Udang Banjir BNO. Orang jauh pun sanggup datang, siap tapau lagi.
#2 Pantai Pasir Penambang, Kuala Selangor
Mukim Pasir Penambang salah satu lokasi habitat burung helang. Dengan menaiki bot, Mama akan dibawa ke satu kawasan dan boleh memberikan makan kepada burung helang.
Aktiviti ‘Eagle Feeding’ ini ialah tarikan unik untuk penduduk setempat dan pelancong luar.
#3 Sky Mirror, Kuala Selangor
Pastikan lokasi Sky Mirror menjadi salah satu pilihan utama dalam senarai tentatif percutian di Kuala Selangor.
Bagi yang berminat terdapat dua pakej yang disediakan;
- Lawatan sehari (Full-day)
- Lawatan Separuh hari (Half-day)
Waktu bertolak: 8am hingga 10am
Waktu pulang: 12pm hingga 2pm
#4 Pantai Remis, Jeram
Aktiviti menarik di pantai remis ialah Mama dapat menikmati makanan laut di tepi pantai, bermain layang-layang, memancing dan mencari kerang.
Walaupun ianya bukanlah lokasi sesuai untuk bermandi-manda tetapi Mama masih boleh membahagiakan diri dan keluarga dengan menginap di kabin berhampiran.
#5 Pantai Tanjung Rhu
Lokasi tepat pantai ini ialah di Pulau Carey iaitu merupakan kawasan persisir yang berkepanjangan 2.5 km dengan pemandangan laut terbentang dan pasir memutih.
Di samping itu jika berkesempatan, Mama dapat melihat cara hidup masyarakat orang asli Mah Meri yang sehingga kini masih mengamalkan cara hidup tradisional.
#6 Pantai Cunang, Tanjung Sepat
Merupakan sebuah pantai yang masih terpelihara kelestarian flora dan faunanya.
Fakta menarik, pantai ini sebenarnya diusahakan oleh masyarakat orang asli Tanjung Sepat untuk merancakkan lagi ekonomi setempat. Disini, Mama boleh memancing, berbasikal dan menjalankan hari keluarga.
#7 Pantai Morib, Kuala Langat
Sejak dulu lagi, Pantai Morib telah pun menjadi salah satu pantai popular di negeri Darul Ehsan. Kawasan pejalan kaki yang terdapat berhampiran pantai memudahkan Mama membawa kereta sorong bayi (stroller) dan kerusi roda ibu bapa yang tidak boleh berjalan.
Kemudahan gazebo, taman permainan, arena gasing tradisional dan gerai makan ada disediakan disini.
#8 Pantai Bagan Lalang, Sepang
Bagi yang tak tahu, Pantai Bagan Lalang pernah menjadi lokasi penggambaran telemovie ‘Oh My Ganu’ yang dilakonkan oleh Zizan Razak.
Dengan wujudnya Avani Sepang Gold Coast, semakin tinggilah nilai komersial Pantai Bagan Lalang. Selain itu, ada juga pilihan penginapan seperti homestay, resort dan chalet.
Oh ya, ada ‘port memancing’ juga disini tau.
#9 Pantai Redang, Sekinchan
Ha, Sekinchan tak cuma ada pemandangan sawah padi sahaja rupanya. Ada sebuah pantai cantik yang tersembunyi di mukim ini.
Kawasan pantainya terletak sangat dekat dengan restoran makanan laut di bagan. Jadi selepas menikmati makanan nanti, boleh lah ‘healing’ sambil jalan-jalan tepi pantai.
#10 Pantai Kelanang
Pokok kasuarina menghiasi segenap penjuru pantai ini. Ia agak jarang menerima pengunjung maka sebab itulah pantai ini sesuai untuk Mama yang pentingkan privasi.
Mama dan keluarga boleh berkelah dan berkhemah disini. Namun begitu, Mama Siti nak bagi satu pesanan. Pakai kasut dan pakaian yang bersesuaian kerana kawasan pantainya ialah gabungan pasir dan lumpur.
#11 Pulau Indah
Sebuah pulau yang terbahagi kepada dua kawasan iaitu utara dan selatan. Kedua-duanya menawarkan aktiviti berbeza.
Di sebelah utara, terdapat banyak aktiviti perniagaan, pembangunan dan perindustrian. Mama jangan lupa borong banyak barang di kawasan bebas cukai ini.
Manakala di selatannya, khas buat Mama yang inginkan ketenangan dan ingin melarikan diri dari kesibukkan kota.
#12 Pulau Ketam
“Ni bukan dekat Sungai Klang ke Mama Siti?”
Benar. Walaupun begitu, banyak perbezaan cara hidup yang dipaparkan oleh masyarakat Cina yang mendiami perkampungan nelayan disini.
Kalau sampai ke Pulau Ketam, jangan terkejut pula kalau Mama tak jumpa kereta kerana pengangkutan utama mereka ialah basikal.
#13 Pantai Aceh, Klang
Terletak di Pulau Indah yang popular dengan aktiviti memancing. Pantai ini menghadap Selat Melaka dan berada tidak jauh dari Pelabuhan Klang.
Geng kaki pancing, ini lubuk emas kalian!
#14 Pantai Tanjung Piai, Klang
Setelah ke Pantai Aceh, terus sahaja ke Pantai Tanjung Piai. Memang dekat sangat, bersebelahan sahaja.
Pokok-pokok rendang sesuai untuk berkelah sambil menikmati angin laut dan mendengar deruan ombak.
#15 Pantai Jeram
Pantai ini istimewa buat peminat makanan laut. Walaupun bentuk geografi pantainya landai, Mama dinasihatkan agar tidak bermandi-manda disini.
Sekali-sekala dapat juga ‘cuci mata’ melihat keindahan laut dan grounding atas pasir pun bagus juga kan.
Banyak kan pantai yang ada dekat negeri Darul Ehsan ini. Kalau Mama ke pantai berhampiran bandar, pemandangannya akan berselang-seli dengan binaan buatan manusia.
Tapi kalau nak lebih asli (original), Mama boleh datang ke daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Keindahan sawah padi menjadi terapi tambahan untuk Mama sekeluarga.
Semoga perkongsian ini membantu Mama merancang lawatan di pantai negeri Selangor.
Jom ke pelbagai tempat menarik di Malaysia dengan klik SINI.