Selain faktor perjalanan yang hanya memakan masa dua jam sahaja dari Kuala Lumpur, negeri Melaka sering menjadi pilihan untuk aktiviti pantai kerana terdapat beberapa pantai di Melaka yang cantik dan sesuai untuk seisi keluarga.
Terdapat 10 pantai di Melaka yang menawarkan pengalaman bermakna untuk Mama bersama-sama pasangan dan anak-anak.
Ayuh, kita terokai tempat dan keunikan setiap satunya.
10 Pantai di Melaka dan Aktiviti Menarik
#1 Pantai Klebang
Kalau sebut pasal pantai Klebang, apa yang terlintas ialah bukit-bukit pasir memutih di tepi pantai.
Ramai yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan saat-saat bermakna mereka bersama-sama pasangan dan anak-anak di Pantai Klebang.
Alamat: Jalan Klebang Besar, Melaka 75200
#2 Pantai Puteri Melaka
Antara sebab ia menjadi pilihan teratas pengunjung adalah kerana kemudahan yang disediakan merangkumi tempat ibadah, tempat makan dan tempat penginapan.
Pantai yang juga dikenali dengan nama Pantai Kundor itu memberikan pengalaman melihat matahari terbenam di persisir pantai sepanjang 2.5 km yang berhadapan dengan Selat Melaka.
Alamat: Tanjung Kling, Central Melaka, Melaka
#3 Pantai Pengkalan Balak
Pantai ini sudah tidak asing lagi dengan penduduk tempatan. Pada setiap hujung minggu dan hari cuti, Pantai Pengkalan Balak ramai dengan pengunjung terutamanya ibu bapa yang berkelah bersama-sama anak-anak.
Soal makan dan kemudahan asas, Mama tak perlu bimbang kerana terdapat restoran dan gerai yang menawarkan pelbagai jenis makanan untuk dinikmati.
Selain itu, Mama juga boleh meneruskan lagi kunjungan ke tempat menarik di Melaka dengan melawat ke Pusat Konservasi dan Penetasan Penyu Karah di Pantai Kamunting dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi.
Alamat: Masjid Tanah, Melaka
#4 Pantai Siring
Pantai Siring merupakan perkampungan nelayan tempatan dan jeti nelayan yang menawarkan perkhidmatan bot untuk aktiviti memancing di laut.
Orang ramai menjadikan Pantai Siring sebagai tempat persinggahan untuk menikmati makanan tengah hari dan petang dengan hidangan asam pedas dan sotong celup tepung.
Alamat: Jalan Jeti Anjung Batu, Kampung Pulai, 77300 Merlimau Melaka.
#5 Pantai Padang Kemunting
Pantai di Melaka waktu malam yang wajib Mama singgah ialah di Pantai Padang Kemunting. Terdapat gerai yang menyediakan makanan laut segar yang diperolehi dari jeti berdekatan.
Selain itu, Mama juga boleh merehatkan minda dan menikmati angin laut sambil mendengar deruan ombak pantai. Sungguh mengasyikkan!
Alamat: Jalan Persisiran Pantai, Kampung Padang Kemunting 78300 Masjid Tanah, Masjid Tanah, Melaka 78300
#6 Pulau Besar
Pengunjung sering datang ke Pulau Besar kerana ingin melawat Gua Yunus, Kubur Tok Putih & Tok Janggut dan Muzium Pulau Besar.
Tidak hairanlah jika terdapat banyak tinggalan sejarah berunsur keislaman kerana di Pulau Besar ini merupakan lokasi awal penyebaran agama Islam di Melaka.
Alamat: Pulau Besar, Melaka
#7 Pantai Pulau Upeh
Terletak tidak jauh dari Pantai Klebang ialah sebuah pantai yang terletak di Pulau Upeh. Menurut rekod sejarah, batu binaan Kota A Famosa diambil dari sumber batu yang ada di Pulau Ini.
Pantai yang dahulunya dikenali dengan nama Liha De Pedras oleh orang Portugis itu terletak tidak jauh dari hotel dan chalet di kawasan semenanjung berdekatan. Ia memudahkan akses Mama datang ke Pantai Upeh pada bila-bila masa sahaja.
Alamat: Pulau Upeh, Melaka
#8 Pantai Sungai Tuang
Di kawasan masjid tanah ada satu lagi pantai yang sesuai untuk kita berehat di bawah pokok-pokok di tepi pantai.
Ada kalanya, pengunjung memanfaatkan suasana nyaman pantai ini untuk berkelah pada hari minggu dan hari cuti sekolah.
Alamat: Pantai Sungai Tuang, Masjid Tanah, Melaka
#9 Pantai Tanjung Kling
Ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Pantai Tanjung Kling antaranya ialah i menaiki banana-boat, menyelam skuba, berkayak dan island hopping.
Jika Mama inginkan suasana yang lebih eksklusif, Mama sekeluarga dijemput untuk menginap di Everly Resort Hotel yang mempunyai akses secara terus dari tempat penginapan ke Pantai Tanjung Kling.
Alamat: Tanjung Kling, Melaka
#10 Pantai Tanjung Bidara
Merupakan pantai di Melaka yang boleh mandi-manda untuk orang dewasa dan kanak-kanak yang teringin nak mandi laut.
Bagusnya, di sini terdapat Menara Kawalan Pantai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk memantau keadaan pengunjung demi memastikan keselamatan sentiasa terjamin.
Alamat: Pantai Tanjung Bidara, Terendak, 78300 Masjid Tanah, Melaka
Manfaatkan hari cuti untuk mencipta kenangan dengan aktiviti menarik di waktu malam dan siang di tepi pantai.
Alam semula jadi dan keindahan pantainya mendamaikan jiwa sesiapa sahaja yang mengunjungi pantai di Melaka. Semoga percutian Mama lebih bermakna kali ini.
Jom ke pelbagai tempat menarik di Malaysia dengan klik SINI.