KelabMama

Pakar Merungkai Asma Kanak-kanak: Memahami Pencetus, Pelan Rawatan dan Kemajuan Terkini

kanak-kanak perempuan mengalami serangan asma

Artikel ini telah ditulis oleh Dr Angelina Amaladoss, Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), khas untuk pembaca KelabMama.

Asma di kalangan kanak-kanak adalah salah satu isu kesihatan yang berleluasa di Malaysia, menjejaskan kira-kira satu daripada sepuluh individu, dengan kejadian yang lebih tinggi di kalangan kanak-kanak berumur 6-14 tahun di bandar.  

Sempena Hari Asma Sedunia bulan ini, kemajuan dalam penjagaan pediatrik telah membolehkan pelan rawatan secara individu, perkembangan ubat-ubatan terbaru dan pelan strategi pengurusan kolaboratif bagi meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang menghidap asma.  

Dr Angelina Amaladoss, Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC)

Menurut Dr Angelina Amaladoss, Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), membezakan asma dan selesema adalah penting kerana simptomnya yang serupa namun implikasinya berbeza. 

Selesema biasanya disebabkan oleh jangkitan virus dan menunjukkan simptom seperti demam mendadak, sakit badan, sakit kepala, dan sakit tekak.

Ia juga boleh menyebabkan masalah gastrousus seperti muntah atau cirit-birit.

Gejala-gejala ini biasanya sembuh dengan cepat dan tidak memerlukan ubat. 

Sebaliknya, asma melibatkan simptom yang lebih lama dan mungkin dikaitkan dengan sejarah keluarga seperti resdung, ekzema dan atopi.

Simptom batuk lebih ketara pada waktu malam, awal pagi dan bila penat lelah. Mungkin juga terdapat gejala semput, pernafasan yang cepat, sesak nafas dan sakit dada serta tanda resdung dan ekzema. 

“Mengenal pasti pencetus asma adalah sepenting memulakan rawatan yang sesuai,” jelas Dr Angelina. “Asma memerlukan pendekatan komprehensif untuk pengurusan yang berkesan, tidak seperti selesema. Diagnosis awal dan tepat penting untuk mencegah komplikasi jangka panjang dan memastikan kualiti hidup kanak-kanak tidak terjejas.” 

Peralihan Kepada Penjagaan Asma Secara Individu 

Pendekatan terkini untuk penjagaan asma bergantung pada simptom dan pencetus yang khusus kepada kanak-kanak. Rawatan disesuaikan untuk mengurangkan kesan sampingan dan menyasarkan paru-paru secara langsung.  

“Dalam rawatan asma, tiada ‘one-suit-fits-all.’ Rawatan disasarkan khusus untuk paru-paru, berbanding rawatan lama yang diambil secara oral dan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan. Merawat masalah yang lain seperti resdung juga penting,” kata Dr Angelina. 

Untuk kes asma yang teruk, memperkenalkan ubat baharu dan teknik invasif minima merupakan kemajuan yang paling ketara.

Inhaler kekal sebagai rawatan utama, tetapi untuk kes yang lebih serius, rawatan seperti antibodi monoklonal (cth., omalizumab atau mepolizumab) dan antagonis reseptor leukotriene (LTRA) digunakan untuk menguruskan gejala dengan lebih berkesan. 

Menggalakkan Penglibatan Ibu Bapa dan Pelarasan Gaya Hidup 

Mewujudkan persekitaran rumah yang harmoni adalah penting. Untuk menguruskan gejala asma dengan berkesan, pendedahan kepada perengsa biasa seperti asap rokok, vape, kemenyan, bulu haiwan peliharaan, patung mainan, dan juga permaidani harus dielakkan.

Dr Angelina menekankan kepentingan kawalan persekitaran dan pelarasan gaya hidup untuk menyokong pengurusan asma. 

Pelan pengurusan asma secara individu bukan sahaja menangani simptom dengan serta-merta tetapi juga meningkatkan kualiti hidup jangka panjang bagi kanak-kanak.

“Asma yang dikawal dengan baik membolehkan kanak-kanak berkembang dalam akademik dan sukan, mengurangkan lawatan ke klinik, dan meningkatkan produktiviti secara keseluruhan. Ramai ahli sukan antarabangsa, termasuk David Beckham dan Paula Radcliffe, mempunyai asma yang terkawal dan mereka berjaya maju dalam bidang sukan mereka,” Dr Angelina berkongsi. 

Mengurangkan beban ekonomi asma juga harus dihargai jika ibu bapa mungkin terpaksa mengambil cuti kerja, kehilangan waktu berkerja yang berharga dan kehilangan produktiviti. 

Satu lagi aspek kritikal dalam menguruskan asma kanak-kanak ialah memahami sifat kroniknya dan memastikan pematuhan berterusan pada pelan rawatan.

Dr Angelina menekankan bahawa asma tidak boleh diubati, walaupun ramai kanak-kanak tidak terjejas dengan asma apabila mereka semakin tua. Oleh itu, mematuhi rawatan dengan konsisten adalah sangat penting.  

Ramai pesakit menghentikan rawatan mereka apabila gejala berkurangan. Mematuhi rawatan yang ditetapkan adalah penting walaupun tiada gejala.

Pendekatan ini membantu mencegah asma dari berulang dan memastikan pengurusan asma jangka panjang dengan pengurangan kekerapan dan keterukan setiap episod. 

Nikmat Kehidupan Baru 

Dr. Angelina mengimbas kembali kes seorang budak lelaki berusia 8 tahun yang telah bergelut dengan batuk yang berterusan, terutamanya batuk yang teruk pada waktu malam dan awal pagi, disertai dengan hidung tersumbat selama enam bulan.  

Keadaannya telah menyebabkan banyak hari tidak ke sekolah mengakibatkan penurunan prestasi akademiknya. Dia terpaksa berhenti dari aktiviti sukan kerana batuk dan semput yang berterusan. Selepas penilaian menyeluruh, dia didiagnosis dengan asma bronkial dan resdung.  

Pelan rawatan termasuk bronkodilator dan kortikosteroid bertindak panjang, bersama semburan kortikosteroid hidung yang membantu mengawal simptomnya dengan baik.

Hanya dua minggu kemudian, dia boleh meneruskan aktiviti biasa dan menikmati kehidupan hariannya. 

Perjalanan menguruskan asma kanak-kanak adalah rumit, namun terdapat banyak harapan, berkat kemajuan dalam perubatan secara individu. Inovasi ini membolehkan kanak-kanak yang menghidap asma menjalani kehidupan dengan riang.

Untuk maklumat lanjut tentang penjagaan asma kanak-kanak dan perkhidmatan perubatan, sila layari https://subangjayamedicalcentre.com/.  


Tambah ilmu pengetahuan yang sahih dengan perkongsian pakar yang lain di SINI.