Tak sangka kan dah lebih sebulan kita dalam fasa PKP. Dah lebih sebulan juga kita duduk memerap dalam rumah. Ada yang cuti bergaji, ada juga yang work from home. Mama papa yang work from home tu okay tak? Dah lama ni kan, mesti dah boleh sesuaikan diri dengan persekitaran dekat rumah kan walaupun kadang huru hara dibuatnya. Mama Siti pun sama. Lepas ini, kita kena biasakan diri dengan beberapa perkara ‘normal baharu’.
Perubahan demi perubahan yang terpaksa kita hadap kerana wabak yang menyerang ini. Apa pun yang berlaku, kita tetap kena akur dan hadapi dengan redha. Jadi, hari ini Mama Siti nak kongsikan 5 perkara normal baharu yang mama papa semua perlu tahu; supaya kita lebih sedia dari segi mental dan fizikal.
Get Ready Untuk Mulakan Rutin Baru
Menurut Malaysia Health Coalition, dari laman Twitternya, para doktor dan pengamal perubatan ini telah berkongsi lima perkara normal baharu untuk kita hadam dan praktis. Walaupun susah, perit untuk kita terima kenyataan ini, Mama Siti yakin kita semua boleh. Demi menjamin kesejahteraan negara kita, kita kena berganding bahu melawan Covid-19 ini!
#1 Niat Kita Masih Sama
Ramadan pun dah nak sampai ke penghujungnya, kenikmatan beribadat masih lagi diraikan walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta. Mama Siti tahu, bukan Mama Siti je yang rasa Ramadan kali ini suram dan tak meriah, mama papa pun rasa yang sama kan. Bahkan seluruh dunia rasa apa yang kita rasa. Walau terpaksa kekal di rumah, namun kita boleh ber-‘video call’ bersama keluarga jauh untuk berbuka puasa.
#2 Seluruh Rakyat Malaysia Bersama Kita
Tempoh PKP tak menghalang masyarakat kaum lain untuk menyambut perayaan mereka seperti Tahun Baru Tamil, Minggu Suci, Qing Ming, Vaisakhi dan Vishu. Walaupun sambutannya agak berbeza tapi Mama Siti tahu tujuan perayaan masih sama. Pemimpin agama juga diseru untuk mencari cara sambutan yang inovatif dan patuh dengan arahan PKP.
#3 Masa Untuk Muhasabah
Haa, alang-alang cuti panjang ini kan, masa inilah kita bermuhasabah diri dalam aspek kerohanian mengikut amalan keagamaan kita. Kekuatan iman kita diuji dengan dugaan yang getir ini, dan kita dinasihatkan supaya mengawal diri serta melindungi sanak-saudara. Mama Siti bukan apa, risau juga kalau ada yang lemah, tak kuat ketahanan mentalnya; sebab Mama Siti ada baca dekat Twitter, ada golongan yang alami depression dalam tempoh ini. Check keluarga dan kawan-kawan mama papa semua okay?
#4 Lebihkan Amalan Berkongsi, Elakkan Pembaziran
Tempoh PKP mungkin tempoh yang happy bagi sesetengah keluarga, namun tak semua ada kesenangan yang kita ada. Bagi segelintir pihak, mereka putus punca makanan. Jika barang keperluan kita lebih daripada mencukupi, berkongsilah dengan mereka yang kekurangan. Elakkan panic buying dan penyimpanan barangan runcit secara berlebihan. Pembelian berhemah juga salah satu cara kita berkongsi dengan orang lain.
#5 Semarakkan Semula Semangat Muhibbah
Nak menang dalam perang kali ini, kuncinya satu je bagi Mama SIti. Kita semua kena bersatu. Virus tak mengenal golongan kaya mahupun miskin. Ia tak dapat membezakan kewarganegaraan, bangsa atau agama. Kita perlu terus maju dengan berbuat baik dan bertolak-ansur antara satu sama lain. Kalau kita sama-sama patuh dengan arahan kerajaan, tak mustahil kita akan menang tak lama lagi.
Bak kata pepatah yang berat sama dikendong, yang ringan sama dijinjing. Kita boleh! Gitu..
Sumber: Malaysia Health Coalition
BACA LAGI PENJAGAAN IBU HAMIL KETIKA MUSIM WABAK
Pesan Mama Siti
Walaupun susah untuk kita terima semua ini, kita kena yakin yang kita boleh fight benda ni sama-sama. Kita kena ingat yang kalau kita rasa diri kita ni dah susah sangat, tapi percayalah ada yang lagi susah dari kita. Yang penting #KitaJagaKita! Sama-sama kita perangi Covid-19 dan biasakan diri kita dengan perkara normal baharu ini.