KelabMama

Diari Hati Ibu: Ngerinya Buasir Selepas Bersalin (+ Tips)!

Bercerita tentang buasir selepas bersalin, Mama Siti yakin ramai para ibu berpengalaman menghadapi gejala ini.

Ia berlaku kerana perasaan yang teramat takut untuk membuang air besar. Dek kerana fobia, ia memberikan kesan untuk najis tersebut lawas.

Mama Siti juga tak terkecuali ‘diserang’ buasir selepas melahirkan anak pada tahun 2021. Namun, cerita dialami sedikit berbeza apabila masalah berkenaan berlaku selepas habis berpantang iaitu pada hari ke-40.

Kedengaran aneh bukan? Kerana rata-rata ibu mengalami buasir selepas bersalin, di awal tempoh berpantang. Namun, berbeza pula dengan Mama Siti.

Jom baca pengalaman saya.

Fobia Nak Buang Air Besar!

Puncanya sama iaitu fobia teramat sangat untuk membuang air besar. Lantaran terlalu bimbang untuk ‘meneran’ najis, maka Mama Siti ambil ubat pelembut najis sebaik sahaja discharge dari hospital.

Kiranya, pil tersebut Mama Siti dah mulai consumed since day 2. Setiap hari akan makan sebiji dan kesannya, memang tak perlu usaha lebih untuk buang air besar. Najis lembut dan membuang tanpa perlu ‘diteran’ sikit pun.

Punca Mama Siti ambil ubat berkenaan disebabkan jahitan bersalin yang agak pan\/mbnjang sampai hampir mencecah ke dubur. Malah, pengalaman bersalin ketika fasa lemah juga dirasakan sangat teruk sebab dah kehabisan tenaga untuk ‘push’ baby.

Maka, sewaktu labor process, Mama Siti bersalin sambil angkat punggung lantaran keadaan bayi yang telah beberapa kali hampir keluar, namun termasuk balik dan itu boleh memberi risiko kesihatan kepada si kecil.

Disebabkan situasi inilah, koyakan bersalin agak banyak dan memerlukan jahitan yang lama. Dek kerana ini, Mama Siti amat ngeri untuk membuang air besar meskipun perlu ‘teran’ sikit pun.

Jadi, Mama Siti amalkan ubat pelembut najis setiap hari sehinggalah hari ke-40 berpantang.

Padah Terlebih Makan Ubat

Ya, itulah kesilapan Mama Siti. Sebenarnya tak salah nak dapatkan bantuan ubat-ubatan yang selamat, namun pengambilannya perlu berpada-pada.

Ubat pelembut najis boleh dimakan cukup sehingga jahitan dah kembali pulih kerana masa tu Mama dah tak ada masalah untuk ‘meneran’ sekiranya perlu membuang air besar.

Tak dinafikan bagi wanita yang berssalin secara normal dan memerlukan jahitan di kawasan vagina, ‘meneran’ sedikit ketika membuang air besar pun dah berisiko untuk jahitan terbuka tau. Justeru, jika memerlukan bantuan ubat, makan sekadar yang perlu sahaja sehingga jahitan bercantum dan pulih.

Kebiasaannya dua ke tiga minggu, luka dah bercantum dan masa ni, Mama pun perlu stop ubat pelembut najis.

Berbalik kepada cerita Mama Siti, dek kerana pengambilan ubat yang terlalu lama, maka pada hari ke-41 berpantang, Mama Siti mulai berasa sukar untuk buang air besar.

Najis seperti keras dan cuba apa jua cara, memang terseksa nak keluar. Tak pernah Mama Siti alami sembelit yang teruk seperti ini.

Empat hari menderita sembelit, Mama Siti perasan darah turut menitis selepas buang air besar. Walaupun najis keluar setiap kali berada dalam toilet selama lebih sejam, namun ia sangat menyakitkan. Lalu, Mama Siti pergi ke klinik untuk pemeriksaan.

Selepas doktor memeriksa keadaan, beliau sahkan Mama Siti menghidap buasir. Doktor bekalkan ubat lawas najis dan ubat untuk pulihkan luka kerana melecet sehingga berdarah.

Namun, dos ubat dibekalkan sangat terhad iaitu sekitar tiga ke empat hari. Meskipun dos ubat luka dah habis, namun penyakit buasir belum reda ekoran luka melecet belum pulih. Masih terseksa untuk buang air besar , cuma tak seteruk macam sebelum ini.

Cuba Rawatan Semula Jadi Untuk Buasir Selepas Bersalin

Jadi, Mama Siti pergi pula ke klinik lain dan hasil penerangan oleh doktor, beliau menjelaskan buasir menimpa Mama Siti adalah disebabkan kekurangan usus bekerja lantaran terlalu bergantung pada ubat dalam tempoh yang lama.

Doktor yang satu ni menerangkan dengan sangat teliti sehingga Mama Siti faham akan kesalahan dilakukan. Jelas beliau, pengambilan ubat lembut najis itu telah bekerja dengan sebaiknya hingga menyebabkan usus Mama Siti hampir tidak perlu memproses apa-apa makanan.

Sehingga dalam tempoh lama usus tidak bekerja, ia mulai lemah dan progress nya perlahan. Dan ketika Mama Siti decide untuk berhenti makan ubat tersebut, usus Mama Siti dah kurang rangsangan untuk bekerja dan memproses najis dengan baik.

Itulah penyebab Mama Siti menderita buasir selepas bersalin. Doktor membekalkan ubat untuk merawat luka di rektum dan tiada ubat lawas najis diberikan kerana kata beliau, usus perlu dirangsang jika mahu ia aktif dan memproses makanan dengan baik.

Caranya adalah, doktor menyarankan Mama Siti makan sebanyak mungkin buah dan sayur yang memberikan kesan optimum dalam proses melawas. Banyakkan pengambilan air masak dan sentiasa bergerak aktif.

Jadi, kaedah pertama, Mama Siti ambil makanan seperti buah betik, sayuran berdaun hijau dan buah oren. Mama boleh lihat makanan berserat tinggi yang mana sesuai untuk tubuh sebab kesan pada semua orang tak sama. Ada yang makan buah betik pun sukar untuk lawas.

Tips kedua iaitu jaga pengambilan air kosong. Memang setiap hari Mama Siti amalkan minum air kosong paling kurang 1 liter.

Selain itu, Mama Siti mulai bersenam contohnya dengan berjalan kaki di sekeliling kawasan perumahan atau apa-apa aktiviti yang boleh mencergaskan tubuh dan mengeluarkan peluh.

Menurut doktor, aktiviti bersukan antara yang paling berkesan dalam memastikan usus seseorang itu bergerak aktif sekaligus melancarkan pencernaan makanan dan melawaskan najis dengan mudah.

Alhamdulillah, Pulih Sepenuhnya!

Mama Siti konsisten amalkan ketiga-tiga kaedah di atas dan dalam masa terus mengambil ubat luaran untuk memulihkan luka di dubur.

Tiadalagi ubat lawas najis atau lembut najis dimakan. Setelah luka melecet beransur pulih, Mama Siti tidak lagi ambil sebarang ubat. Alhamdulillah, dalam dua minggu selepas berjumpa doktor tadi, buasir Mama Siti semakin hilang dan Mama Siti mampu membuang air besar seperti biasa.

Sehingga kini meskipun kejadian itu dah hampir dua tahun berlalu, Mama Siti masih wajib pemakanan tinggi serat seperti betik atau buah-buahan lain setiap hari.

Malah, gaya hidup sihat diamalkan ini juga mungkin membantu tubuh Mama Siti kembali kepada bentuk badan asal dengan cepat serta penghasilan susu badan yang banyak.

Moga perkongsian ini memberi manfaat. Untuk sesiapa yang mengalami buasir seperti keadaan berlaku pada Mama Siti, cuba amalkan tiga kaedah tadi iaitu ambil makanan berserat tinggi, minum air kosong yang banyak dan cuba elakkan gaya hidup tidak cergas.


Penafian: Sebarang maklumat, informasi serta perkongsian pakar yang terdapat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak KelabMama. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, anda dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan sah.


Untuk pelbagai info dan tips tentang kesihatan, Mama boleh klik di SINI!