Ish, takutlah saya nak ambil suntikan perancang. nanti tulang reput macam mana???
Hmm, inilah persoalan yang selalu Mama Siti dapat kalau nak merancang keluarga. Katanya kalau ambil suntikan perancang ni, tulang jadi rapuh, boleh jadi gemuk, muka pun berjerawat. Ini semua akibat daripada info yang berlegar di media sosial.
Buat pengetahuan mama, suami isteri ada role yang tersendiri dalam merancang kehamilan ni. Dua-dua kena ambil tahu dan peka dengan isu ni. Yalah, bukan senang isteri nak ‘tanggung’ semuanya sorang-sorang tau!
Kat sini Mama Siti kongsikan beberapa perkara yang mama dengan papa kena faham tentang suntikan perancang serta kesannya.
Apa itu suntikan perancang?
Suntikan Depo Medroxyprogesterone Acetate (DMPA, Depo-Provera) , atau nama ringkasnya suntikan perancang merupakan salah satu kaedah merancang atau menjarakkan kehamilan di Malaysia.
Melalui suntikan ini, hormon progestogen berdos tinggi akan diberikan secara suntikan ke dalam otot di bahagian punggung atau lengan.
Berbanding pil perancang yang perlu dimakan setiap hari, suntikan perancang ini akan berkesan mencegah kehamilan selama 3 bulan lamanya.
Macam mana suntikan ni cegah kehamilan?
Suntikan depo-provera ni bertindak untuk elakkan kehamilan dengan 3 cara iaitu:
- Halang ovari dari melepaskan telur
- Pekatkan mukus/lendir serviks untuk cegah sperma memasuk rahim
- Menyebabkan lapisan rahim menipis dan akan mencegah kehamilan berlaku
Tahap keberkesanan suntikan perancang
Keberkesanan suntikan ni adalah 99%.
Menurut Dr Imelda Balchin, kalau 100 pasang suami isteri buat hubungan kelamin selama 1 tahun, tanpa guna sebarang kaedah merancang keluarga, 85 pasangan suami isteri tersebut akan hamil.
Tapi, kalau 100 isteri ambil suntikan DMPA, dalam masa 1 tahun, hanya 6 pasangan saja yang akan hamil.
Satu lagi yang mama kena tahu, kesihatan janin takkan terjejas kalau mama ambil suntikan perancang ketika mama hamil.
Kelebihan suntikan perancang
- Berkesan dan tahan lama (3 bulan sekali)
- Kurangkan masalah endometriosis
- Sesuai untuk wanita menyusu (takkan jejaskan penghasilan susu badan)
Masa yang sesuai ambil suntikan perancang
Secara amnya, suntikan diambil pada hari ke-4 selepas haid bermula.
Bagi ibu yang menyusu bayi selepas bersalin, suntikan akan diberi pada atau sebelum 6 minggu.
Bagi ibu yang tak menyusu bayi lepas bersalin pula, suntikan boleh diberi bila-bila masa saja lepas hari ke-5. Tapi menurut doktor, sebaiknya ia diberi sebelum 21 hari. Sebab kalau suntikan diberi lepas 3 minggu, mama kena guna kaedah perancang keluarga tambahan untuk jangka masa 2-3 minggu.
Macam mana nak hamil semula lepas ambil suntikan perancang?
Kalau mama bercadang untuk hamil semula, mama boleh berhenti gunakan kaedah ini dan mama akan kembali subur dalam masa 13 minggu selepas suntikan terakhir.
Menurut doktor, ada wanita yang lewat kembali kesuburannya, mungkin ambil masa dalam 6 bulan atau setahun. Mama jangan risau sebab setakat ni tak ada risiko mandul disebabkan suntikan ni.
Kesan sampingan suntikan perancang
Ramai yang mengadu dekat Mama Siti, katanya risau dengan kesan sampingan suntikan perancang. Tapi sebenarnya kesan suntikan perancang ni berbeza pada setiap orang. Ada yang alami kesan tu, ada juga yang tak rasa apa-apa pun.
Tapi biasanya, kesan sampingan ni bersifat SEMENTARA saja dan ia selalunya berlaku di awal pengambilan suntikan. Antara kesan yang biasa dialami:
- Pendarahan yang berterusan selepas berhenti ambil suntikan tersebut
- Kitaran haid berubah
- Haid mungkin akan ambil masa dalam setahun untuk kembali kepada kitaran yang biasa
- Berat badan naik
- Kemungkinan kebolehan untuk hasilkan ovum yang sihat akan ambil masa lebih kurang setahun
- Rambut gugur, kurang nafsu seks, sakit kepala, gangguan mood
- Risiko menghidap penyakit osteoporosis
Harga suntikan depo
Kos suntikan depo adalah sekitar RM 35 hingga RM 40 di klinik swasta. Kalau di klinik LPPKN, harganya sekitar RM18 – RM36, depends kepada jenis suntikan yang kita ambil.
Di klinik kerajaan, biasanya FREE saja.
Siapa yang tak sesuai pilih kaedah perancang ni?
Mama tak disarankan untuk ambil suntikan perancang sekiranya mama mengalami masalah kesihatan seperti:
- Hamil
- Sakit jantung atau strok, darah tinggi dan individu yang ada risiko penyakit kardiovaskular (seperti perokok atau pesakit diabetes)
- Pesakit diabetes yang kronik melebihi 20 tahun atau mengalami komplikasi
- Pesakit kanser payudara, kanser uterus dan kanser serviks
- Pernah alami pembekuan darah pada salur darah di kaki (Deep Vein Thrombosis)
- Pernah menghidap penyakit jaundis (kawasan putih mata atau kulit menjadi kuning) semasa mengandung atau semasa menggunakan pil pencegah kehamilan
- Penghidap penyakit hati (liver cirrhosis), jangkitan (hepatitis) atau ketumbuhan hati (tumor)
Perancang keluarga bersifat SEMENTARA!
Menurut Dr Imelda, tak ada halangan untuk guna suntikan ni selagi tak ada sebarang masalah kesihatan. Ia juga boleh diguna untuk jangka masa panjang. Tak adanya istilah tulang reput lah rapuh lah sebab suntik hormon ni.
Jadi,terpulang kepada suami isteri untuk cuba kaedah ni ataupun kaedah yang lain.
Sumber: SirapLimau
BACA JUGA YE KE MAKAN PIL PERANCANG KEHAMILAN BOLEH NAIK BADAN?
Pesan Mama Siti:
Kalau ada antara mama yang nak rancang kehamilan tapi was-was untuk guna cara ni, ada lagi kaedah lain yang mama boleh cuba contohnya, mama boleh telan pil perancang atau masukkan alat ke dalam rahim atau dipanggil IUD/IUCD (Intra Uterine Device). Tapi seeloknya, mama dengan papa pergi consult dengan doktor dulu, tengok kaedah mana yang sesuai. Jangan terus cuba saja!