Perkahwinan jarak jauh (PJJ) bukan satu lagi perkara asing hari ini. Ramai pasangan yang terpaksa melalui tempoh ini disebabkan komitmen masing-masing disebabkan kerjaya atau pelajaran. Untuk mengharungi setiap saat dan detik itu tidak semudah yang disangka. Bagi pasangan yang berpeluang berjumpa pada hujung minggu, mungkin itu lebih bernasib baik berbanding pasangan yang dipisahkan oleh benua. Ada yang berbulan-bulan tidak bersua, malah ada yang makan tahun!

Biarpun berjauhan dan ada perbezaan masa, anda berdua perlu bijak mencari ruang untuk berkomunikasi. Teknologi yang ada sekarang ini sangat mudah. Jangan lupa, ajak anak-anak turut sama berbual dengan ayah atau ibu mereka. Pastikan anak-anak tidak merasa diri mereka diabaikan. Si ayah yang jauh, pastikan anda selalu memberi pesanan yang positif dan ambil tahu aktiviti mereka. Tunjukkan kasih sayang anda kepada mereka agar mereka walaupun berjauhan.
- Apabila mendapat makluman, pasangan bakal tinggal berjauhan, anda sebagai isteri perlu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal. Sudah tentu perbincangan antara anda berdua itu perlu dan pastikan ia turut melibatkan anak-anak juga.
- Anda berdua juga perlu berfikiran terbuka bagi membincangkan tentang impak kepada perhubungan anda sebagai suami isteri. Mungkin sepanjang tempoh itu anda berdua dari segi kesetiaan. Tidak dinafikan pasti ramai yang bertanya, “ tak takut ke suami cari yang lain”.
- Hanya anda yang kenal suami anda luar dan dalam. Beri kepercayaan dan sentiasa berdoa agar hubungan anda dilindungi. Jangan terlalu mudah mendengar hasutan orang lain.
- Perasaan sedih tidak dinafikan namun usah biarkan ia berlarutan sehingga melenturkan semangat anda. Kalau dulu ada pasangan yang sering menyokong, membantu anda dalam pelbagai hal tapi kini anda perlu melaluinya sendirian. Anda perlu belajar berdikari.
- Anda perlu dapatkan sokongan moral daripada ibu bapa, saudara, rakan baik ataupun jiran. Ingat, anda bukan superwoman yang boleh melakukan perkara sendirian! Bagi anda yang tinggal dekat dengan ibu bapa atau adik-beradik, anda lebih bertuah berbanding mereka yang tinggal jauh daripada saudara mara. Bayangkan, selain kerja, anda perlu fikirkan perihal urusan rumah, sekolah dan sakit demam anak-anak, makan pakai mereka dan sebagainya.
- Latih anak-anak dengan memberi tugas mudah kepada anak-anak mengikut usia mereka misalnya membasuh pinggan, menyapu dan membuang sampah, sidai pakaian, melipat pakaian masing-masing dan sebagainya. Untuk lebih mudah, buat jadual tugas. Cara ini secara tidak langsung dapat mendisiplinkan diri anak-anak yang pastinya dapat membantu pembentukan kendiri mereka.
- Penat? Memang penat emosi dan fizikal lebih-lebih lagi andai anda tidak punya pembantu rumah dan anak-anak pula agak ramai. Bagi meringankannya, anda boleh mengupah cleaner pada hujung minggu untuk kerja-kerja mengemas rumah dan tugas-tugas lain.