Mozek merupakan kemasan lantai dan dinding yang selalu dipasang dalam bilik air. Kepelbagaian saiz, warna dan teksturnya memainkan peranan besar terhadap tema bilik air.
Ada lima tips yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih jenis mozek dan memulakan proses pemasangan. Kemudian, barulah kita boleh mempunyai pemilihan daripada lapan jenis mozek yang Mama Siti kongsikan ini.
5 Tips Memilih Mozek Bilik Air
#1 Tentukan Gaya dan Tema
Gaya bilik air pilihan Mama menentukan jenis mozek yang akan dipasang. Sekaligus, mengambil kira soal kos mozek dan kos pemasangan.
#2 Tentukan Saiz Mozek
Saiz standard mozek bilik air yang popular di Malaysia ialah 80cm x 80cm. Namun begitu saiznya boleh berubah dan berbeza mengikut jenis mozek.
#3 Elak Bilik Air Serabut
Satu warna dah biasa? Mama nak gabungkan beberapa jenis dan warna pun tak ada masalah asalkan tak lebih dari tiga ciri-ciri berbeza.
#4 Saiz Bilik Mandi
Menggunakan saiz jubin besar dalam bilik air kecil seperti bilik air rumah flat boleh jadi kelebihan dan kekurangan bergantung pada cara pemasangannya. Sebaiknya merujuk kepada orang yang lebih berpengalaman lebih baik.
#5 Penyelenggaraan
Faktor kebersihan dan pemasangan mungkin kurang diberi perhatian ketika memilih mozek bilik air.
Penting untuk kita tahu sama ada jenis mozek itu mempunyai ketahanan terhadap alat pencuci dan juga untuk memastikan cara pemasangan yang mudah.
8 Jenis Mozek Bilik Air
#1 Mozek Slate
Berbeza dengan mozek biasa, ianya diperbuat daripada batu semulajadi dan dipotong petak-petak seperti mozek.
Bahan-bahan yang terdapat dalam mozek slate ialah terdiri daripada kuarza, serisit dan mineral kumpulan klorit.
Kelebihan:
- Kos penyelenggaran rendah. Hanya perlu lap dengan kain atau tisu lembab.
- Teksturnya yang kasar mengurangkan risiko tergelincir dalam bilik air.
- Kesan estetik lebih lama kerana mempunyai ilusi anti kotor.
Kekurangan:
- Harganya lebih mahal berbanding mozek lain
- Tidak disyorkan berdiri tanpa alas kaki di atas mozek slate
#2 Mozek Kaca
Kebiasaannya mozek kaca dipasangkan di dinding bilik air. Saiz mozek kaca yang lebih kecil lebih menonjolkan kilauan berbanding saiz mozek yang besar.
Barulah boleh perasan macam Dato Siti Nurhaliza buat persembahan ketika di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke- 20.
Kelebihan:
- Didatangkan dengan pelbagai warna dan dalam bentuk lut sinar (translucent).
- Ketahanan terhadap pertumbuhan kulat.
Kekurangan:
- Hanya boleh dipasangkan di dinding kerana ia akan menjadi licin ketika basah.
- Tidak sesuai untuk pemasangan sendiri (DIY). Memerlukan khidmat pakar untuk pemasangan mozek kaca
#3 Mozek Marmar
Mozek bilik air yang seterusnya sering menjadi pilihan tuan rumah. Faktor pertama adalah kerana ia mudah dipadankan dengan pelbagai jenis kabinet dan aksesori bilik air.
Selain itu, coraknya yang tak seragam pun memainkan peranan dalam meningkatkan nilai sofistikated bilik air rumah Mama.
Kelebihan:
- Menonjolkan rekaan elegan dalam bilik air tidak kira apa warna yang dipilih
- Alur urat di permukaan mozek marmar menjadikannya unik dan menarik
Kekurangan:
- Mudah calar dan retak yang berpunca dari suhu panas dan hentakan
- Perlukan pemasangan rapi dan teliti tertumanya di bahagian berliang
#4 Mozek Bercorak
Jika kebanyakan rumah memilih corak diletakkan di dinding, apa kata kali ini Mama buat kelainan dengan memasang mozek bercorak di bahagian lantai bilik air.
Bilik air boleh nampak lebih moden atau klasik dengan mozek bercorak bergantung kepda reka bentuk coraknya.
Kelebihan:
- Kos pemasangan mozek lebih murah berbanding seramik atau marmar
- Mudah dibersihkan dan mempunyai ketahanan terhadap bahan pembersih mozek
Keburukan:
- Risiko kerosakan tinggi kerana saiznya yang kecil
- Senang retak jika terkena hentakan barang yang berat
#5 Jubin Batu Kapur (Limestone)
Kepelbagaian reka bentuk dan warna menjadikannya pilihan ramai orang yang ingin menggunakan bahan mineral semula jadi dalam bilik air rumah mereka.
Mozek jenis limestone mempunyai tarikannya tersendiri terutama dari segi visual yang mempamerkan warna ‘warmth‘ dalam bilik air.
Kelebihan:
- Cip mozek boleh ditanggalkan dan diganti sekiranya pecah
- Dengan penjagaan yang betul, mozek batu kapur mampu bertahan ertahun-tahun lamanya.
Kekurangan:
- Ianya mempunyai ketahanan sederhana berbanding mozek marmar
- Pemasangan yang rumit dan mengambil masa
#6 Mozek Porselin
Dari segi kualiti, mozek jenis porselin mempunyai standard yang hampir sama dengan mozek seramik.
Tambahan pula, ianya merupakan antara jenis mozek yang sangat disarankan dipasangkan dalam bilik air kerana kurang berliang dan mempunyai rintangan air yang lebih baik.
Kelebihan:
- Warnanya tahan lama dan tidak pudar walaupun sudah beberapa kali dicuci dan digunakan
- Dikatakan mozek porselin dapat meningkatkan nilai hartanah
Kekurangan:
- Kepingan mozek memerlukan alat tertentu untuk memotong. Oleh itu, Mama mungkin memerlukan khidmat kepakaran individu berpengalaman
#7 Mozek Terracotta
Terracotta bermaksud tanah yang dibakar. Lebih tepat lagi, ianya diperbuat daripada tanah liat merah dan dibakar sehingga menampakkan warna kejinggaan di permukaannya.
Kesan penggunaan mozek jenis ini menyerlahkan nilai estetik bak rumah-rumah desa di Mediterranean.
Kelebihan:
- Bahan mozek mempunyai ketahanan terhadap pembentukan bakeria
- Mozek terracotta mampu bertahan berdekad lamanya
Kekurangan:
- Berliang dan cepat menyerap air
- Penyelenggaraan khusus diperlukan agar mozek sentiasa bersih
#8 Mozek Seramik
Mozek ini hadir dalam pelbagai warna dan corak sesuai untuk gaya bilik air pilihan Mama. Ianya ialah jenis mozek popular bagi pemasangan dalam bilik air.
Uniknya lagi, ia memberikan kesan suhu sejuk ketika musim pada yang kian melanda negara Malaysia.
Kelebihan:
- Mudah dibersihkan dengan pencuci bilik air
- Sesuai untuk pelbagai jenis gaya dan tema bilik air
Kekurangan:
- Permukaan lantai menjadi licin apabila mozek seramik terkena air
- Saiz setiap satu kepingan besar
Ternyata ada kriteria yang perlu diambil kira sebelum memilih dan memasang mozek dalam bilik air. Rupanya bukan semua mozek sesuai dipasangkan di lantai atau di dinding kerana bimbang akan menyebabkan tergelincir.
Mama Siti harap perkongsian kali ini membantu Mama menghidupkan suasana nyaman di bilik air. Aplikasikan beberapa tips diatas sebagai idea ubah suai bilik air.
Cantikkan rumah Mama dengan pelbagai idea dekorasi dalam dan luar rumah di SINI.