Minum air putih berlebihan boleh bawa maut? Biar betul? Iya! Siapa sangka, ‘hidrasi’ satu perkara yang sentiasa diperingati oleh pakar-pakar kesihatan, rupa-rupanya boleh membawa maut, sekiranya berlebihan.
Berdasarkan laporan laman wlfi.com, tanggal 6 Julai yang lalu, Ashley Summers, seorang pekerja taska dari Monticello, Amerika Syarikat meninggal dunia disebabkan satu insiden yang mengejutkan!
Summers menyambut Hari Kemerdekaan dengan menaiki bot di Tasik Freeman bersama suami dan anak perempuannya pada Sabtu tanggal 1 Julai hingga Selasa 4 Julai, sesuatu yang dia dan keluarganya gemar lakukan bersama. Summers mula mengalami sakit kepala pada hari Selasa 4 Julai.
“Dia berasa sangat dahaga,” kata Devon Miller, adik lelaki Summers melalui platform Zoom dari rumahnya di Iowa pada hari Rabu. Summers kemudiannya telah meminum 2 liter air dalam jangka masa 20 minit yang membuatkan dia pengsan tidak lama selepas itu.
Kematiannya pada 6 Julai adalah akibat mabuk air, yang juga dikenali sebagai intoksikasi air.
Menakutkan! Mama Siti pun baru tahu kalau minum air putih berlebihan boleh membawa maut sebenarnya. Tapi kenapa? Mari Mama Siti kongsikan.
Risiko Minum Air Putih Berlebihan
Mabuk air atau turut dikenali sebagai keracunan air, merupakan satu keadaan yang boleh menjejaskan fungsi otak disebabkan minum air dalam kuantiti yang banyak . Air yang diminum dalam jumlah yang berlebihan boleh mengakibatkan peningkatan air dalam darah.
Air tersebut boleh mencairkan elektrolit dalam darah terutamanya natrium. Natrium membantu mengimbangi cecair antara bahagian dalam dan luar sel. Apabila tahap natrium jatuh di bawah 135 mmol/L, keadaan ini dipanggil sebagai hyponatremia.
Apabila paras natrium turun, cecair yang berada di luar akan masuk ke dalam sel menyebabkan bengkak. Jika keadaan ini berlaku kepada sel-sel otak, ia boleh menyebabkan risiko bahaya dan berpotensi untuk mengancam nyawa.
Simptom
Seperti penyakit, badan kita juga mempunyai mekanisma untuk mengenal pasti bahawa paras air yang diambil adalah berlebihan antaranya:
- Sakit kepala
- Loya
- Muntah
Bagi kes yang serius, masalah ini boleh menyebabkan wujudnya gejala seperti:
- Peningkatan tekanan darah
- Kekeliruan
- Gangguan pada penglihatan
- Mengantuk
- Kesukaran untuk bernafas
- Otot lemah dan kebas
Pengumpulan air secara berlebihan di dalam otak dipanggil edema serebral. Ia merupakan keadaan yang menjejaskan otak dan mengganggu fungsi sistem saraf.
Dalam kes yang serius, ia berisiko mengakibatkan sawan, kerosakan otak, koma serta kematian.
Berapa Banyak Air Yang Diperlukan Sebenarnya?
Sememangnya tiada jumlah spesifik untuk menentukan keperluan air seseorang individu setiap hari. Ia adalah berbeza bergantung kepada berat, aktiviti fizikal dan harian yang dilakukan. Namun secara purata, lebih kurang 2 liter diperlukan bagi mendapatkan hidrasi yang baik secara BERKALA.
Peraturan yang terbaik untuk menentukan keperluan air adalah dengan ‘mendengar’ kepada badan dan mengambil air apabila rasa dahaga.
Walau bagaimanapun, sesetengah individu seperti atlet, individu dewasa berusia dan wanita hamil mungkin memerlukan air yang lebih dan tidak boleh sekadar bergantung kepada rasa dahaga semata-mata.
Iya memang tidak dinafikan langsung hidrasi merupakan salah satu faktor paling penting dalam penjagaan kesihatan kita.
Tapi, perlu juga diingatkan, jangan sesuka hati meneguk air tanpa henti! Hidrasi yang terbaik adalah mengikut keperluan harian anda dan berkala.
Belajar sesuatu yang baru kan? Mama Siti akan selalu muat naik info-info kesihatan terbaru di SINI.