Mimpi sering dikaitkan sebagai mainan tidur. Pelbagai jenis mimpi yang cuba ditafsirkan oleh orang yang berilmu termasuklah mimpi menyusukan bayi, mimpi dipatuk ular, mimpi bersalin, mimpi ditenggelami air dan sebagainya. Ada mimpi yang hanya datang sekadar buat seketika, dan ada yang membawa kesan mendalam dalam kehidupan harian.
Menurut kajian yang dibuat oleh para pengkaji barat, menyatakan lebih ramai kaum wanita yang lebih ingat mimpi dan kebanyakannya adalah mimpi buruk, berbanding kaum lelaki. Sedangkan kaum lelaki lebih banyak bermimpi perkara yang agresif, wanita pula banyak bermimpi tentang interaksi mereka dengan orang yang dikenali.
Seorang wanita yang sedang hamil lebih kerap bermimpi berbanding dengan yang lain.Ini mungkin kerana, wanita hamil mudah berasa letih dan sukar untuk tidur lena kerana keadaan hormonnya yang tidak stabil hingga mengganggu tidurnya.
Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
Sesungguhnya mimpi itu mempunyai tiga jenis. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira itu yang datang daripada Allah SWT. Mimpi yang buruk dan membawa kesedihan itu adalah daripada syaitan. Dan mimpi yang disebabkan oleh apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain.
[Hadith riwayat Muslim: (2263)]
Di dalam Al-Quran juga ada beberapa kisah dan firman Allah perihal mimpi termasuklah mimpi Nabi Yusuf a.s. Yang melihat bintang, bulan dan matahari tunduk padanya, dan mimpi Nabi Ibrahim a.s. ketika baginda mendapat arahan untuk menyembelih anakanda tercinta.
Maka, untuk menolak kebenaran mimpi 100% mungkin sesuatu yang tidak wajar. Namun, kita haruslah sentiasa berhati-hati dalam mentafsir mimpi dan jangan hingga mimpi mentadbir kehidupan kita di alam nyata.
Mama Siti bukanlah seorang yang tahu mentafsir mimpi. Tetapi, Mama Siti percaya ada mimpi yang boleh diambil sebagai tanda dan panduan hidup, dan ada juga yang hanya sekadar peneman tidur.
Minggu lepas, jiran Mama Siti berkongsi mimpinya menyusu bayi dan amat terkesan dengan mimpi itu. Hasil dari pembacaan dari internet, Mama Siti dengan senang hati hendak berkongsi apa yang Mama Siti perolehi, sekadar menjadi bacaan ringan buat mama-mama di luar sana.
Mimpi Menyusukan Bayi Menurut Ahli Ugamawan
Menurut Ustaz Kazim Elias, mimpi menyusukan bayi ini adalah satu petanda yang tidak baik. Pendapat ini juga disokong oleh Almarhum Ustaz Dato Ismail Kamus.
Menurut Ustaz Kazim, mimpi menyusukan bayi adalah tanda-tanda saka atau tanda-tanda terkena sihir. Ustaz juga berpesan kepada sesiapa yang bermimpi menyusukan bayi ini untuk berhati-hati dalam setiap perbuatan dan perbanyakkan berdoa memohon perlindungan daripada Allah dan membaca Al-Quran, terutamanya ayat-ayat ruqyah.
Mimpi Menyusukan Bayi Orang
Ada para pentafsir mimpi menafsir susu sebagai sumber kekuatan, pendapatan dan kemewahan. Jika seorang wanita melihat dirinya menyusukan bayi, terutamanya bukan bayinya sendiri, ia bermakna sumber pendapatannya akan terhalang. Malah ada juga yang mentafsirkan bahawa dia akan memewahkan orang lain yang disusukannya.
Mimpi Menghasilkan Susu Badan
Jika seorang wanita bermimpi yang badannya menghasilkan susu walau secara realitinya dia tidak mempunyai sebarang susu badan, kemungkinan besar dia akan menyusukan bakal anaknya sendiri yang bakal dilahirkan.
Ada juga tafsiran yang mengaitkan susu sebagai ubat dan penyembuhan daripada sesuatu penyakit. Jika seseorang yang sedang sakit bermimpi berkaitan susu badan, para tafsir mimpi menyatakan yang dia akan sembuh dari penyakitnya.
Namun demikian, ada juga yang mengaitkan susu badan dengan perasaan ragu-ragu dan was-was terhadap kepercayaan dan pendirian agamanya. Menyusukan juga ditafsirkan sebagai keburukan, penipuan dan pemalsuan.
Mimpi Lelaki Menyusukan Bayi
Berbeza pula bila seorang lelaki yang bermimpi menyusukan bayi. Jika anda seorang lelaki (atau kenal mana-mana lelaki) yang bermimpi menyusukan bayi, ia adalah satu khabar gembira yang melambangkan kejayaan dan kemewahan yang bakal diterima di masa akan datang.
Mimpi Menyusukan Bayi Di Sebelah Kanan atau Kiri
Ada juga kepercayaan bangsa Melayu yang menafsirkan mimpi menyusukan bayi di sebelah kanan menandakan seseorang itu akan memperolehi rezeki yang halal. Sebaliknya jika dia bermimpi menyusukan bayi di sebelah kiri menandakan yang dia akan memperolehi rezeki yang haram.
Mimpi Menyusukan Bayi Menurut Henry Miller
Menurut Henry Miller, seorang penulis daripada Amerika melalui bukunya The Dream Book, mimpi menyusukan boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu sesuatu yang berkaitan dengan perkara negatif ataupun positif.
Antara mimpi menyusukan yang negatif ialah:
- Mimpi menyusukan bayi orang lain melambangkan masalah tambahan yang memerlukan perhatian lebih.
- Mimpi menyusukan tanpa rela bermakna kesilapan yang dilakukan oleh ibu muda.
- Mimpi menyusu bayi yang sedang menangis menandakan masalah yang akan timbul.
- Mimpi bayi terhenti menyusu secara tiba-tiba bermakna pergaduhan yang akan wujud antara kita dan pasangan.
- Mimpi menyusukan bayi menggunakan botol atau sudu malambangkan kekurangan diri atau keculasan dalam mengutamakan apa yang penting.
Mimpi menyusukan yang ditafsir sebagai positif termasuklah:
- Mimpi menyusukan bayi sendiri tanda bayi yang sihat dan kebahagian rumahtangga.
- Ibu yang hamil bermimpi menyusukan bayi menandakan kelahiran yang mudah dan tidak menyakitkan.
- Mimpi menyusukan bayi perempuan kembar ditafsirkan sebagai satu perubahan positif yang akan berlaku dan hidup seseorang. .
- Mimpi menyusukan bayi lelaki ditafsirkan sebagai impian dan cita-cita yang akan tercapai serta kejutan yang menyenangkan hati akan tiba.
Walaupun apa pun, Mama Siti ingin mengingatkan diri Mama Siti sendiri dan juga para pembaca, segala apa hal yang berlaku dalam diri tidak seharusnya kita kaitkan dengan mimpi yang hadir di dalam tidur.
Sesungguhnya, segala apa yang berlaku dan akan berlaku sudah pun menjadi ketentuan Ilahi dan kepadaNyalah tempat kita memohon segala perlindungan kepada Dialah tempat kita bergantung dan meletak harap.
Tulisan Mama Siti berkenaan mimpi ini hanyalah sekadar untuk bacaan ringan para pembaca, dan bukanlah untuk dijadikan panduan khusus dalam menjalani kehidupan.
Sesungguhnya menyusukan bayi adalah satu perkara mulia yang istimewa untuk kaum ibu di luar sana, maka ambillah peluang selagi mampu untuk menyusu badan.